Pakatan Harapan seperti biasa akan mengambil kesempatan melalui apa sahaja cara untuk merendah-rendahkan kredibiliti dan memperbesarkan kelemahan kerajaan walaupun sedang berdepan dengan pandemik Covid-19 yang masih belum dapat ditangani sepenuhnya.
Walaupun penurunan penilaian Fitch Ratings tersebut memberi kesan terhadap negara yang juga bakal berdepan dengan masalah yang lebih serius jika agensi penarafan lain seperti Moody’s dan Standards & Poor turut menurunkan penilaian mereka, tetapi seperti yang diketahui umum, ia bermula sejak Pakatan Harapan mengambil alih pemerintahan negara, diburukkan lagi oleh ketidakstabilan politik negara dan pandemik Covid-19.
Kini kumpulan yang sama yang telah menjahanamkan negara secara ‘terancang’ dengan fitnah negara dilanda hutang yang tinggi, menghapuskan GST, menjarah aset dan harta negara yang dijual secara lambak dan bermacam lagi, tiba-tiba pula ingin menjadi juara tidak bertempat apabila Fitch Ratings menurunkan penarafan terhadap Malaysia daripada AAA- ke BBB+ pada 4 Disember lepas.
Pakatan Harapan kononnya berkata, “Ia adalah satu tamparan hebat buat kerajaan, khususnya Menteri Kewangan. Ia menampakkan kegagalan perancangan dasar serta tatakelola kerajaan, lanjutan dari ketidaktentuan politik yang berlarutan sejak perubahan kerajaan pada Mac lalu” – sedangkan satu dunia tahu bahawa Menteri Kewangan zaman Pakatan Harapan adalah menteri yang paling teruk pernah dilihat oleh negara.
Pakatan Harapan juga berkata bahawa kesan penurunan penarafan ini terhadap ekonomi negara masih belum dapat ditentukan sepenuhnya, tetapi kemudiannya menuduh langkah-langkah yang diusahakan oleh Menteri Kewangan selama ini telah gagal.
Tengku Zafrul dikatakan gagal memberi keyakinan sehingga berlakunya penurunan tersebut yang menurut Pakatan Harapan cukup serius – walaupun sebelum itu berkata tidak pasti apa kesannya terhadap negara dan ini jelas hanya ingin merendah-rendahkan kredibiliti Menteri Kewangan.
Mereka turut menyindir Perdana Menteri dalam isu tender terbuka dan pelantikan profesional bukannya ahli-ahli politik ke dalam syarikat berkaitan Kerajaan (GLC), sedangkan ketika memerintah dahulu, bukan sahaja ramai penjawat awam dibuang kerja malah membuat lantikan politik seramai mungkin – yang sehingga kini masih ramai yang belum dibuang oleh kerajaan Perikatan Nasional.
Majlis Presiden Pakatan Harapan turut berpendirian bahawa kerajaan perlu menyegera dan mengutamakan usul undi tidak percaya yang telah dibawa Ahli-Ahli Parlimen dalam sidang Dewan Rakyat yang berlangsung sehingga 17 Disember – yang dilihat ramai pihak sebagai cubaan terakhir mereka merampas kuasa melalui Sidang Parlimen kali ini.
Kenyataan media Majlis Presiden tersebut hanya melibatkan tiga nama sahaja iaitu Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Mohamad Sabu dan Lim Guan Eng tanpa kelihatan Tun Mahathir, Datuk Seri Shafie Apdal dan Syed Saddiq yang sepatutnya mewakili Pejuang, Warisan dan parti Muda – yang menunjukkan Pakatan Harapan sendiri masih terkial-kial mencari rentak terkini dalam suasana politik yang semakin caca-marba.