Mohd Puad Zarkashi
Slogan “No Anwar No DAP” digunakan oleh beberapa pemimpin yang berjawatan. Mereka tidak mahu kerajaan Perikatan Nasional tumbang.
Apakah mereka ini nasionalis dan agamawan tulen? Biar ahli dan rakyat menilai sama ada mereka hipokrit ataupun tidak.
Maaf, kalau kritikan ini keras dan pedas. Tetapi saya tidak mahu menoleh ke belakang. Saya tidak apologetik dan takut dikecam.
Hendak marah, marahlah. Saya yakin masih ramai yang bersetuju dengan saya tetapi mereka simpan di dalam hati.
Pemimpin PPBM tumpang semangkuk guna slogan “No Anwar No DAP” untuk serang UMNO. Sejujurnya mereka takut dan rasa terancam jika wujud kerjasama itu.
Benar, no Anwar no DAP adalah keputusan MKT UMNO. Annuar Musa guna slogan ini untuk pertahan Perikatan Nasional. Saya pula tidak mahu UMNO terlalu rigid dengan slogan itu.
Ia bukan soal membentuk satu gabungan baru. Ini hanya kerjasama politik. Seperti Pakatan Harapan sokong usul UMNO di Perak. Tidak salah. UMNO bukan ahli Perikatan Nasional. Muafakat Nasional juga belum daftar.
Kita harus terbuka dengan kerjasama politik. DAP dan PKR pernah sokong usul tergempar UMNO dalam Parlimen bila membantah serangan Israel di Palestin.
Tidak dinafikan ada akar umbi UMNO yang keliru. Tetapi mereka juga keliru bila ada pemimpin UMNO yang berunding dengan Tun Mahathir dan Azmin tanpa pengetahuan Majlis Kerja Tertinggi (MKT).
Dahulu, siapa terfikir PAS bergabung dengan DAP? Siapa terfikir muslimat PAS julang bendera ‘roket’ semasa PRU dan PRK?
Siapa terfikir Mahathir dan Muhyiddin bergabung dengan DAP untuk menjatuhkan UMNO?
Wajarkah mereka dianggap pengkhianat kepada orang Melayu dan Islam kerana menjatuhkan kerajaan Melayu dengan bantuan Anwar dan DAP?
Sebab itu slogan no Anwar no DAP tidak semestinya relevan sepanjang masa. Senario berubah, orang berubah. Pemikiran politik lagi cepat berubah.
Lim Chong Eu dipecat daripada MCA kerana terlalu cauvinis. Tetapi apabila dia membentuk kerajaan campuran di Pulau Pinang bersama Barisan Nasional, dia dilihat sebagai tokoh moderate.
Maka jika perlu, apa salahnya kerajaan perpaduan bermula di Perak. UMNO mesti berani mempeloporinya demi kelangsungan rakyat. Kenapa mesti takut?
UMNO luas pengalaman berpuluh tahun mentadbir negara dengan suhu perkauman yang sentiasa tinggi. Rusuhan kaum 1969 adalah pengajaran terbaik.
Tetapi dengan formula Barisan Nasional 1974, peristiwa itu tidak berulang walaupun sentiasa panas. Bahkan MCA dan MIC ada kalanya lebih keras membangkitkan isu kaum.
Maka apakah dengan pengalaman itu tiba tiba UMNO rasa takut dan lekeh untuk urus kerjasama dengan sesiapa hatta DAP? Yang penting kemampuan, kebijaksanaan, ketegasan, konsensus dan kejujuran politik.
Justeru UMNO Perak wajar diberi peluang bentuk kerajaan perpaduan tanpa perlu gabungan parti politik yang rigid. Ia pembuka jalan.