KENYATAAN MEDIA PERTUBUHAN JALINAN SAHABAT NUSANTARA (JASANUSA)
27 Disember 2020 / 12 Jamadilawal 1442H
اَلسَلامُ عَلَيْكُم وَرَحْمَةُ اَللهِ
Rakaman video Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji Properties, Encik Damanhuri Mahmod yang mengeluarkan kata-kata kesat dan memaki hamun adalah amat memalukan. Pertubuhan Jalinan Persahabatan Nusantara (JASANUSA) memandang serius perbuatan tersebut apatah lagi ia membabitkan anak syarikat milik Tabung Haji (TH).
Sebagai seorang anggota pengurusan tertinggi TH, Encik Damanhuri sepatutnya menunjukkan akhlak yang baik termasuk dari segi tutur kata dan bukan sebaliknya.
Rakyat Malaysia yang mengikuti rakaman video tersebut tentu terkejut dan marah dengan perbuatan tidak bermoral itu, yang kini sudahpun tular di media sosial.
Sebagai badan bukan kerajaan yang mendokong prinsip kesopanan dan kesusilaan sebagaimana terkandung dalam Rukun Negara, maka JASANUSA mahu TH bertindak tegas.
Siasatan harus dijalankan ke atas Encik Damanhuri dan bukannya tertumpu kepada sesiapa yang mendedahkan video itu yang dirakamkan dalam satu mesyuarat tersebut.
Memandangkan perbuatan tersebut telah mencemarkan nama baik TH, adalah lebih wajar sekiranya Damanhuri mengambil tanggungjawab untuk melepaskan jawatannya.
Kegagalan berbuat demikian akan mengakibatkan TH terheret kepada isu moral yang serius. Beban dalam isu berkenaan tidak harus terpikul kepada TH semata-mata.
Selagi Encik Damanhuri berada dalam barisan pengurusan TH terutama mengetuai TH Properties, selagi itu kesannya melekat kuat dan tidak dapat dibersihkan. Dengan kata lain, ia tidak semudah sekadar memohon maaf sebagaimana melalui kenyataannya hari ini.
TH sebagai organisasi Islam tidak boleh berkompromi dalam hal sedemikian yang tentunya akan memberikan mesej yang salah kepada rakyat khususnya umat Islam. TH juga mesti kelihatan membela dan melindungi golongan pekerja (bukannya golongan pengurusan) daripada gejala penghinaan oleh orang atasan.
Kegagalan TH untuk bertindak juga akan memberikan imej buruk kepada pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang diterajui Parti Bersatu.
Maka demi kepentingan semua pihak adalah lebih baik bagi Damanhuri mengambil langkah untuk berundur secara budiman.
Ia juga dengan sendirinya dapat membantu membersihkan namanya atas asas kebertanggungjawaban. Dalam hal ini organisasi lebih utama daripada individu.
Samsudin Awang
Presiden JASANUSA
Kg. Baru Kuala Lumpur