LANTIKAN BOS POLIS, FELDA BERI KESAN POSITIF 

92
SHARES
296
VIEWS

Dua pengumuman pelantikan yang terbaharu oleh Kerajaan Perpaduan telah mendapat reaksi positif kalangan masyarakat.

Tinjauan saya selaku aktivis NGO dan pengamatan melalui media sosial, mendapati rakyat dan pelbagai pihak menyambut baik perubahan teraju Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pelantikan Pengerusi Felda yang baharu.

Sebelum ini, Kerajaan Perpaduan berdepan dengan banyak kritikan berikutan beberapa pengumuman pelantikan yang kontroversi tetapi kali ini berbeza.

Ternyata pelantikan Tan Sri Razarudin Husain sebagai Ketua Polis Negara dan Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay sebagai Timbalannya, secara tidak langsung menaikkan imej kerajaan.

Begitu juga pelantikan beberapa pegawai kanan PDRM termasuk Datuk Mohd. Khalid Ismail sebagai Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman. Mereka dilihat sebagai gandingan terbaik, berwibawa, berkebolehan dan berintegriti.

Terbaik dan rakyat bangga atas pemilihan mereka,” kata salah satu daripada sekian banyak komen di Facebook.

Dalam pada itu, pelantikan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek sebagai Pengerusi FELDA disifatkan tepat dan melegakan banyak pihak. Ramai yang sebelum ini agak bimbang sekiranya berulang lagi “kes silap lantik”.

Rata-rata warga FELDA dan peneroka serta industri komoditi sawit menyambut baik keputusan kerajaan melantik Ahmad Shabery. Beliau disifatkan sebagai tokoh berwibawa dengan pengalaman luas sebagai Menteri Kabinet dan karektor yang disenangi ramai.

Dengan reaksi sedemikian, mesej yang boleh ditafsir ialah kerajaan mampu membuat pelantikan terbaik berasaskan merit.

Rakyat sudah tentu mengharapkan kerajaan di bawah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi impak dalam soal pemilihan calon ke pelbagai jawatan tinggi perkhidmatan awam, agensi kerajaan dan dan syarikat berkaitan awam.

Harapan semua, teruskanlah buat pelantikan yang betul dan tepat kerana ia akan memberi keyakinan kepada rakyat dan kesan positif kepada negara.

Saya mengambil kesempatan ini untuk ucapkan tahniah kepada Tan Sri Razaruddin, Dato Seri Ayob dan Datuk Khalid. Semoga mereka dapat melaksanakan tanggungjawab dengan cemerlang dan penuh amanah. Itulah juga harapan kepada Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Kepada Datuk Seri Anwar, saya tabik sambil ucapkan tahniah juga kerana menyuntik pembaharuan dalam soal pelantikan jawatan utama dan tinggi seperti ini.

Samsudin Awang

Pengerusi Jasanusa

Kuala Lumpur 

Facebook
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts