Saya pernah tinggal di luar negara selama 8 tahun.
Di sesetengah kawasan di luar negara terutama di negara-negara barat, memang agak sukar untuk mendapatkan daging halal.
Namun, kesukaran ini tidak mendorong saya untuk makan daging tidak halal (atau daging ‘katok’ dalam bahasa pasar) selama saya berada di sana.
Saya usahakan juga untuk membeli daging halal walaupun kedai yang menjualnya terletak agak jauh dari tempat tinggal saya.
Semasa saya tinggal di Bristol, United Kingdom pada pertengahan tahun 90an, setiap minggu saya merentas daerah dengan keretapi selama sejam pergi dan sejam pulang untuk membeli daging halal.
Semasa saya tinggal di Boston, USA sepuluh tahun lalu, saya berjalan kaki selama sejam untuk membeli daging halal di kedai yang jauh walaupun terdapat pasaraya yang menjual daging tidak halal di depan rumah.
Saya tidak mahu makan daging yang tidak halal kerana ia akan menjadi darah daging, samalah sebabnya kenapa selama 20 tahun saya bekerja dengan kerajaan dan syarikat berkenaan kerajaan saya tidak pernah makan rasuah kerana ia juga akan menjadi darah daging.
Dan jika kita memberi anak dan isteri kita makan makanan yang tidak halal, ia akan menjadi darah daging mereka juga. Saya tidak akan benarkan ini berlaku.
Saya pasti kebanyakan umat Islam di Malaysia juga berpendirian begini berkenaan daging tidak halal.
Mereka juga tidak mahu makan dan memberi anak isteri mereka makan dengan daging yang tidak halal yang akan menjadi darah daging mereka.
Sebab itu isu daging yang dicampur dengan daging tidak halal ini adalah amat serius.
Mana-mana pihak yang bertanggungjawab membenarkan perkara ini berlaku lebih-lebih lagi jika mereka mendapat keuntungan atau rasuah daripadanya menanggung dosa yang berat kerana telah menyebabkan berjuta-juta umat Islam di Malaysia selama bertahun-tahun yang secara tidak sengaja makan daging yang tidak halal atau daging haram.
Di akhirat kelak mereka yang tidak bertanggungjawab ini perlu menjawab perkara ini dengan Allah SWT.
Dan untuk mengelakkan perkara seperti ini daripada berlaku lagi, suatu siasatan serius setaraf dengan Siasatan Suruhanjaya Diraja (RCI) perlu dibuat untuk membawa pesalah-pesalah yang bertanggungjawab ini ke muka pengadilan di dunia ini juga.
Mereka tidak boleh lepas begitu sahaja.
ISHAM JALIL
28 Disember 2020
https://www.facebook.com/220524935369705/posts/888079005280958/?d=n