PEMUDA UMNO BUAT LAPORAN POLIS TERHADAP KARTEL DAGING HARAM

99
SHARES
320
VIEWS

1. Hari ini Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia telah membuat satu laporan polis berhubung dengan pendedahan media massa berkaitan kegiatan kartel penyeludupan daging import haram yang diragui status halal.

2. Pendedahan ini telah menimbulkan keresahan dan kegusaran di kalangan masyarakat khususnya umat Islam kerana melibatkan status bekalan daging import halal yang meluas di pasaran dan didakwa sudah berlaku sejak 40 tahun lalu.

3. Pemuda UMNO juga telah memperolehi beberapa maklumat penting yang melibatkan agensi kerajaan yang terlibat secara langsung dalam aspek pemeriksaan, pemantauan dan penguatkuasaan melibatkan pemprosesan daging, rumah sembelih dan loji pemprosesan hasilan haiwan di luar negara.

4. Sebagaimana yang sedia maklum, urusan pemantauan, pemeriksaan dan penguatkuasaan terhadap pemprosesan daging di luar negara melibatkan beberapa agensi termasuk yang utamanya Jabatan Pemeriksaan Veterinar (DVS) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

5. Manakala bagi aspek keselamatan makanan halal pula, beberapa agensi lain juga terlibat bersama JAKIM seperti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) dan Bahagian Penguatkuasaan Sistem Maklumat Keselamatan Makanan Malaysia (FOSIM).

6. Memandangkan banyak agensi dan institusi yang terlibat dalam urusan kawal-selia, pensijilan, pemeriksaan dan penguatkuasan industri halal di negara ini, maka PEMUDA UMNO mendesak agar ditubuhkan segera PASUKAN KHAS yang turut melibatkan Polis DiRaja Malaysia dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) agar segala siasatan dapat dijalankan secara pantas dan bersepadu.

7. Beberapa persoalan yang rakyat berhak mendapatkan maklumat tepat dan jelas mengenai isu kartel daging haram ini termasuklah:

(i) Siapakah dalang yang bertanggungjawab menguruskan proses import daging sejuk beku yang diragui status halalnya?

(ii) Mengapakah berlakunya monopoli kilang pemprosesan daging halal terutamanya di China, Thailand dan India?

(iii) Kenapakah Jabatan Pemeriksaan Veterinar (DVS) hanya menghadkan beberapa kilang sahaja di China, India dan Thailand untuk mengeksport ayam dan daging ke Malaysia?

(iv) Apakah DVS dan JAKIM melakukan pemeriksaan secara berkala setiap tahun untuk memastikan status halal, kesihatan (pencegahan penyakit berjangkit daripada binatang) dan kebersihan kilang-kilang yang diberikan kelulusan status halalnya? (Daripada maklumat yang Pemuda UMNO perolehi, kali terakhir dua kilang utama yang membekalkan daging ayam di China dibuat pemeriksaan adalah pada 20 Januari 2016 setelah mendapat pensijilan).

(v) Adakah benar DVS tidak pernah mengeluarkan sebarang Permit ImportĀ  (AP) bagi ekor lembu (oxtail)? Justeru apakah status halal ekor lembu yang begitu banyak berada di pasaran tempatan yang dikatakan kebanyakannya diimport dari luar negara terutamanya dari Argentina?

8. Berdasarkan beberapa persoalan dibangkitkan di atas, Pemuda UMNO mendesak agar siasatan segera secara bersepadu harus dilakukan melalui PASUKAN KHAS melibatkan PDRM dan SPRM, bagi segera mendakwa dan mendedahkan individu-individu dan syarikat-syarikat yang terlibat dan disyaki terlibat dalam segala bentuk penyelewengan termasuk melibatkan rasuah.

9. Pemuda UMNO juga menuntut agar siasatan secara telus dan pantas dilakukan agar keyakinan dan kepercayaan rakyat dan masyarakat antarabangsa terhadap logo halal Malaysia dapat segera dipulihkan dan dipelihara.

Dr Asyraf Wajdi Dusuki

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia

28 Disember 2020

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts