Oleh Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek
Maaf ya. Biasanya kalau beza sesama sendiri kita hanya bercakap di dalam bilik. Oleh kerana 2020 sudah hendak menutup tirai, rasanya hendak mengikut sama ‘sembang’ di serambi. Biarlah jiran dengar.
Sejak PRU ke-14 berlaku 12 pilihan raya kecil (PRK), 7 daripadanya Barisan Nasional menang. Walaupun tidak ada kuasa, tidak ada sumber. Tidak ada juga ‘aparatus’.
Tahun 2018 ada 4 PRK. Semua Pakatan Harapan menang iaitu di Sungai Kandis, Seri Setia, Balakong dan Port Dickson.
Tahun 2019 ada 5 PRK. 4 daripadanya dimenangi oleh Barisan Nasional menang dan 1 dimenangi oleh PH-DAP.
Barisan Nasional menang di Cameron Highland, Semenyih, Rantau dan Tanjung Piai. Manakala Pakatan Harapan pula menang di Sandakan.
Tahun 2020 ada 3 PRK yang semua dimenangi oleh Barisan Nasional iaitu di Kimanis, Chini dan Slim.
Kemenangan paling klasik ialah di Tanjung Piai melawan PPBM. Menang lebih 15 ribu majoriti. Begitu juga di Semenyih melawan PPBM yang memerintah.
Sabah kita tidak mahu bincang di sini. Agak kompleks namun sebagai parti tunggal, UMNO lebih banyak di kalangan yang menerajui kerajaan negeri sekarang.
Rakyat sedang memerhatikan kita. Mereka sangat bijak membuat keputusan. Sumber dan aparatus ada peranannya tetapi tidak segalanya. Banyak lagi faktor yang menentukan kepercayaan mereka kepada kita atau sesiapa. Mungkin yang lepas ada kelemahan kita, namun selepas itu mereka mula buat perbandingan.
PakatanHarapan hanya kuat dalam tahun pertama mereka memerintah. Itu tahun “honey moon“. Selepas itu rakyat buat perbandingan. Apabila “kena sumbat 5 gol” berturut-turut mereka mula kucar-kacir. Rumah tangga Pakatan Harapan runtuh.
Sekarangpun rakyat masih memerhatikan kita. Bukan bagaimana kita gunakan sumber dan aparatus tetapi bagaimana kita menjaga amanah untuk berikan yang terbaik untuk mereka.
Apa-apapun boleh berlaku.