GELOMBANG UMNO TOLAK BERSATU

267
SHARES
860
VIEWS

SURAT PEMBACA | Musim Persidangan Bahagian-bahagian UMNO di seluruh negara memperlihatkan gelombang besar menolak kerjasama dengan Bersatu. 

Ternyata akar umbi telah bersuara, yang merupakan mesej jelas kepada kepimpinan UMNO.

Dengan kata lain, pertautan UMNO dan Bersatu termasuk dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) hanya bagi tempoh sehingga Parlimen terbubar (bagi pilihan raya umum ke-15).

Perkembangan terbaru ini membuktikan akar umbi sudah meluat dengan segala hipokrasi dan muslihat para pemimpin Bersatu seperti Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan Datuk Seri Azmin Ali yang memudaratkan UMNO.

Kerjasama antara UMNO dan Bersatu hanya menguntungkan Bersatu bagi mengukuhkan cengkaman serta akhirnya penguasaan parti itu ke atas UMNO.

Ini juga mesej yang jelas kepada PAS yang telah terpengaruh ‘mengikat diri’ dengan Bersatu sehingga sanggup membelakangkan UMNO yang terlebih dahulu telah menjadi sekutu dalam Muafakat Nasional (MN). Tanpa sokongan besar UMNO, Perikatan Nasional apatah lagi Bersatu pasti lebih mudah tersungkur pada PRU-15.

Menarik juga untuk diperkatakan adalah bagaimana Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), TS Annuar Musa kelihatan seperti kera sumbang kerana masih mahu bertunjangkan Bersatu.

Beliau yang juga Ketua Bahagian UMNO Ketereh kini sudah dilabel sebagai pengkhianat dan sewajarnya melepaskan jawatan sebagai Setiausaha Agung BN.

Sekiranya Annuar berhijrah ke parti lain juga tiada masalah. UMNO perlukan pembersihan daripada pemimpin jenis ini yang lebih bahaya daripada Ahli Parlimen UMNO yang melompat parti.

Ketika Setiausaha Agung parti lain mengambil sikap dan pendirian yang menguntungkan parti mereka, Annuar pula membawa kerugian dan kerosakan kepada BN dan UMNO. Beliaulah penyandang Setiausaha BN paling teruk dan paling tidak boleh dipercayai dalam sejarah.

Kini Annuar menjadi liabiliti kepada UMNO malah beliau paling dibenci sekarang oleh akar umbi dan para penyokong parti itu. Beliau lebih ghairah menghentam para pemimpin UMNO dan sebaliknya mendiamkan sahaja segala kepincangan, penganiayaan dan pengkhianatan ke atas UMNO.

Ternyata Annuar mempunyai kepentingan peribadi apabila mahu terus mendaulatkan Bersatu dan Perikatan Nasional dengan pelbagai alasan serta muslihatnya. Pendedahan mengenai isu projek ratusan juta ringgit (secara rundingan terus) atas permintaan Annuar dengan kelulusan Perdana Menteri, antara yang telah terdedah kepada umum.

Setakat ini, penjelasan Annuar berhubung isu tersebut tidak menyakinkan rakyat terutama ahli UMNO. Maka adalah lebih baik UMNO meletakkan calon lain di Ketereh pada PRU-15.

Episod ini memberi isyarat jelas bahawa akar umbi UMNO menolak pemimpin yang tiada jati diri dan menjadi alat kepada Bersatu.

Keangkuhan Annuar yang seolah-olah mengatasi kuasa Presiden akan menerima padahnya. Biar beliau dan beberapa kerat lagi seperti Datuk Seri Shahidan Kassim sahaja yang terikut rentak dan percaturan Bersatu.

Yang pasti, majoriti ahli dan para penyokong UMNO tidak akan termakan umpan Annuar. Cukuplah, drama konspirasi anda sudah boleh dibaca dan ditolak. Yang penting UMNO mesti bebas untuk bangkit tanpa lagi musuh dalam selimut.

Zamani Zaman

Penganalisis

Bangi, Selangor

Facebook
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts