Agak meragukan apabila pihak pendakwaan dalam kes melibatkan bekas Perdana Menteri keenam, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak, meminta mahkamah memberi amaran keras kepada beliau agar tidak mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai bekas Gabenor Bank Negara Tan Sri Zeti Akhtar Aziz.
Perkara ini dipertikai oleh Ketua Penerangan Barisan Nasional Selangor Isham Jalil yang juga bekas Pegawai Khas Najib.
“Pihak pendakwaan kerajaan minta mahkamah beri amaran keras kepada Dato’ Seri Najib agar tidak komen pasal Zeti dalam Facebook.”
Menurut Isham, Najib berhadapan dengan hukuman penjara selama 20 tahun dan semestinya wajar mempertahankan dirinya, apatah lagi portal Malaysia Today telah mendedahkan butiran lengkap mengenai pemindahan dana oleh Jho Low ke dalam akaun keluarga Zeti di akaun pesisir Singapura.
“Najib berhadapan dengan hukuman 20 tahun penjara dan dia ingin pertahankan dirinya. Dan dia minta Zeti jawab tuduhan yang mempunyai asas dan bukti akuan bersumpah yang ditandatangani suami dan anak Zeti sendiri.”
Skandal keluarga Zeti diburukkan lagi oleh cubaan gagal portal Sarawak Report yang kononnya cuba mengawal keadaan dan “damage control” namun malah menyulitkan keadaan apabila mendedahkan bahawa Zeti dan suaminya mempunyai hubungan yang baik dengan Jho Low sejak sekian lama – yang semakin menimbulkan persoalan.
“Jika benar keluarga Zeti ada terima duit berjuta dari Jho Low, maka ada elemen konspirasi jahat untuk menjatuhkan Najib dan kerajaan Barisan Nasional dahulu yang perlu disiasat di mana Najib dan Barisan Nasional teraniaya menjadi mangsa.”
Isham turut mempertikai kenapa pihak pendakwaan beriya mempertahan Zeti walaupun keluarganya sedang menghadapi pendakwaan di Singapura kerana skandal ini.
“Kenapa pihak pendakwaan kerajaan beria-ia ingin pertahan Zeti yang mana keluarganya sedang didakwa oleh kerajaan Singapura atas tuduhan menerima wang beratus juta dari Jho Low?”
Seperti kenyataan peguam Najib, Tan Sri Shafie Abdullah, di mana sebelum ini anak guamnya dikenakan dengan pelbagai perkara namun Najib tetap bertenang menghadapinya.
Sebaliknya dalam isu skandal Zeti yang terdedah ini, kenapa tiba-tiba pihak pendakwaan ‘melatah’ tidak mahu Zeti ‘ditekan’, sedangkan mereka bukan pihak pembelaan yang mewakili keluarga Zeti?
Tindakan dan permohonan pihak pendakwaan ini semakin menambah keraguan, seperti mana Jho Low yang “hidup dalam buruan” sejak sekian lama tetapi masih gagal dapat dibawa pulang – dengan pelbagai alasan tidak masuk akal termasuk sudah bertukar menjadi beruang.
Semoga kebenaran terungkap tidak lama lagi.