MENUNGGU KEPUTUSAN MKT – SHAHRIL HAMDAN

232
SHARES
747
VIEWS

Oleh Shahril Sufian Hamdan

Ketua-ketua UMNO Bahagian mengadakan sesi dialog tertutup bersama Presiden UMNO Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini.

Susulan majlis tertutup itu, banyak persoalan dan spekulasi ditimbulkan di media.

Yang saya boleh jelaskan, saya jelaskan di bawah. Selebihnya, menunggu keputusan rasmi parti supaya tidak mendahului.

1) Adakah UMNO akan keluar dari kerajaan yakni mengarahkan Ahli Parlimennya menarik sokongan kepada Kerajaan PN?

Majlis Kerja Tertinggi UMNO akan berbincang segala kemungkinan. MKT bermesyuarat esok.

2) Adakah UMNO menolak kerjasama dengan PPBM untuk PRU-15?

Sepertimana dimaklumkan Setiausaha Agung UMNO, lebih 140 bahagian mengusulkan menolak kerjasama dengan PPBM.

MKT ambil maklum sentimen tersebut dan esok akan berbincang serta mempertimbang segenap sudut, ke arah pendirian rasmi.

3) Adakah ini bermaksud UMNO sedia menjalin kerjasama dengan DAP?

Walaupun kurang mendapat liputan media, persidangan-persidangan bahagian banyak juga yang menegaskan keputusan PAU 2019 iaitu tiada kerjasama dengan DAP dan Anwar Ibrahim. Ini keputusan dasar PAU. Jika pertalian UMNO-PPBM terputus sekalipun, tak bermakna kita begitu cepat menggantikan dengan pihak lawan lain tanpa usul periksa.

4) Bagaimana pula dengan PAS?

Saya hanya boleh menyentuh pendirian UMNO – iaitu UMNO masih menaruh harapan untuk mengukuhkan kerjasama dengan PAS. Jika pertalian UMNO-PPBM terputus sekalipun, UMNO tidak akan membelakangkan persahabatan Muafakat Nasional yang telah terbentuk.

5) Adakah PRU semakin hampir?

Secara teknikal dan mengikut Perlembagaan, kuasa menentukan pembubaran Parlimen dan PRU adalah terletak di tangan YAB Perdana Menteri dengan perkenan SPB Yang DiPertuan Agong.

UMNO boleh mempengaruhi daripada sudut politik kerana umum sedia maklum jumlah blok Ahli Parlimen UMNO yang selama ini mendukung Kerajaan PN di Dewan Rakyat.

Namun, penentuan PRU bukan semata-mata di tangan UMNO dan selain UMNO bertindak, pihak lain juga ada perancangan dan tindakan balas. Semua ini akan diteliti oleh MKT.

Pendirian MKT sebelum ini – yang juga telah disiarkan – adalah untuk kerajaan mengembalikan mandat kepada rakyat sesegera yang mungkin. Jika kelak ada pendirian untuk mendesak lebih jelas dan khusus daripada itu, kenyataan rasmi lain akan dikeluarkan selepas Mesyuarat MKT.

6) Adakah Tan Sri Annuar Musa dipecat?

Jawatan Setiausaha Agung BN dan Setiausaha Agung bersama Muafakat Nasional adalah jawatan lantikan. Pertukaran jawatan lantikan adalah hak Presiden parti bergantung kepada kebijaksanaan beliau. Hari ini, Presiden telah melantik YB Dato’ Seri Ahmad Maslan.

Bagi saya, ia tidak sedikitpun mengurangkan jasa Tan Sri Annuar Musa kepada parti selama ini – termasuklah dalam penggal mencabar ini, di mana beliau telah menguruskan operasi banyak PRK-PRK dan PRN di mana UMNO beroleh kejayaan. Tidak wajar kita melupakan jasa tersebut – malah Presiden sendiri mengungkapkan penghargaan beliau dalam ucapan tadi.

Benar, lewat ini Tan Sri Annuar Musa dilihat berlainan arus dan tegas dengan pendiriannya dalam beberapa hal yang kurang disenangi ramai dalam parti. Tetapi setakat hari ini, beliau masih orang UMNO dan saya yakin beliau kekal setia bersama parti walaupun tanpa jawatan pusat. Selagi beliau kekal setia, pengalaman dan kebijaksanaan beliau tetap harus menjadi aset parti.

7) Situasi asyik berubah. Apa yang pasti?

Yang pasti, UMNO mesti terus fokus kepada kekuatan parti sendiri. Apa sahaja formula dan keputusan kelak, tiada untungnya jika UMNO tidak mengukuhkan kekuatan sendiri – supaya tidak perlu terlalu bergantung harap kepada pihak lain.

Jika kita perkuatkan parti, In sha Allah ruang pilihan kita akan di perluas.

(Penulis merupakan Ketua Penerangan UMNO) 

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts