DARURAT MEMUDAHKAN KERAJAAN MELAKSANAKAN UNDANG-UNDANG BAGI MENGEKANG COVID-19

353
SHARES
2.1k
VIEWS

Abdul Rahim Hilmi Zakariya

Pengisytiharan darurat ni adalah hak YDP Agong. Walaupun melalui nasihat Perdana Menteri, tetapi amat tidak sopan jika ada mana-mana pihak mempertikaikan keabsahannya. 

Namun begitu, rakyat juga tidak sepatutnya dihalang bagi membincangkan kesan atau perincian Proklamasi Darurat selagi mana ia tidak menghina dan merendahkan institusi beraja.

Kerajaan pula seharusnya konsisten dalam memberikan penjelasan darurat. Kalau benar ini darurat kesihatan, maka jangan dicampur aduk dengan alasan politik. Jika tidak, ia hanya membenarkan tuduhan bahawa tindakan ini adalah bagi mengekalkan kuasa.

Penjelasan Datuk Seri Ismail Sabri semalam sangat memuaskan. Katanya dengan darurat maka kerajaan dapat membuat undang-undang segera bagi mengenakan denda dan hukuman besar kepada pengusaha kelab malam atau pihak industri yang melanggar peraturan kesihatan.

Ini sangat jelas dan munasabah. Kerana tanpa darurat, penggazetan undang-undang dan pelaksanaannya memerlukan masa berbulan-bulan melalui proses di Dewan Rakyat dan Dewan Negara. 

Itu belum dikira jika ada penolakan daripada ahli Dewan.

Inilah yang sepatutnya diulang-ulang dan digunakan bagi memahamkan rakyat. Alasan seperti kerajaan boleh ambil alih aset swasta ketika darurat bagi menangani Covid-19 sebenarnya kurang munasabah.

Bukan sahaja perkara itu boleh selesai dengan rundingan kewangan, tetapi ia juga boleh membimbangkan pemilik premis tentang nasib perniagaan mereka.

Setakat hendak menggunakan hotel untuk pusat kuarantin, bayar sahaja. Pemilik hotelpun suka.

Tetapi sudah tentu penjelasan Datuk Seri Ismail Sabri itu akhirnya perlu dibuktikan. Jika tiada Menteri yang langgar SOP dikenakan hukuman lebih berat atau jika ada Timbalan Menteri tidak pakai penutup muka di gerai goreng pisang masih terlepas, maka segala alasan itu akan dilihat bohong dan mempermainkan rakyat pula.

Ramai penyokong dan pimpinan Perikatan Nasional kata UMNO telah di-‘check-mate‘ dalam pengisytiharan darurat ini. Tetapi bagi saya, tidak.

Kewujudan darurat telah memberikan kuasa yang sangat besar kepada kerajaan dan mewujudkan kestabilan sekurang-kurangnya bagi tempoh 7 bulan.

Oleh itu, tiada sebarang alasan sekiranya kerajaan masih gagal membangunkan semula ekonomi, menambahbaik kehidupan rakyat dan membasmi wabak dalam tempoh tersebut.

Benar kuasa itu adalah nikmat. Tetapi kuasa juga boleh menjadi sumpahan. 

Ia adalah hukum alam yang selalu kita lupakan. 

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts