1. UMNO dituduh oleh penyokong-penyokong serta jentera kerajaan Perikatan Nasional sebagai penyebar ‘fake news‘ atau berita palsu ke atas Menteri Agama Datuk Seri Zulkifli Al-Bakri mengenai pelan pemulihan Tabung Haji (yang diteruskan mengikut model Pakatan Harapan sebelum ini) iaitu tindakan beliau ingin menyemak semula “ketetapan jaminan kerajaan” bersama Menteri Kewangan Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz.
2. Sedangkan Menteri Agama sendiri yang telah membuat ‘posting‘ atau siaran di akaun Facebook-nya yang boleh dilihat dengan mudah di bahagian ‘edit history‘ beliau. Rujuk siaran asal 3 perenggan Zulkifli;
“Perbincangan secara sidang video bersama Menteri Kewangan, YB Senator Dato’ Sri Tengku Zafrul bin Tengku Abdul Aziz berkenaan beberapa penambahbaikan dalam tadbir urus Lembaga Tabung Haji (LTH).”
“Antara yang dibincangkan adalah pelaksanaan model baharu operasi LTH, semakan semula ketetapan jaminan Kerajaan dan pindaan Akta 535.”
“Ini merupakan inisiatif berterusan Kerajaan di samping Pelan Pemulihan dan Penstrukturan LTH yang sedang dilaksanakan demi menjamin kelestarian LTH untuk jangka masa panjang serta memenuhi hasrat Kerajaan untuk LTH kembali kepada matlamat asal penubuhan.”
3. Siaran tersebut kemudiannya diedit dan dibuang, hanya perenggan pertama iaitu “Perbincangan secara sidang video bersama Menteri Kewangan, YB Senator Dato’ Sri Tengku Zafrul bin Tengku Abdul Aziz berkenaan beberapa penambahbaikan dalam tadbir urus Lembaga Tabung Haji (LTH)” sahaja yang dikekalkan.
Rujuk pautan;
https://www.facebook.com/654227084641097/posts/4029161717147600/?d=n
4. Apa yang mengejutkan, beliau turut membuat siaran terkini menafikan perkara tersebut selepas tindakannya dikritik oleh Pemuda UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak, dengan Zulkifli menaikkan poster “fake news“.
5. Bukankah siaran tersebut ditulis oleh beliau atau setidak-tidaknya direstui oleh Zulkifli jika akaun Facebook-nya dijaga oleh pentadbir? Timbul juga persoalan kenapa beliau (atau pentadbir) memadamkan dua perenggan terakhir tersebut jika ia benar-benar berita palsu atau fitnah seperti dikatakan?
Rujuk pautan;
https://www.facebook.com/654227084641097/posts/4032137413516697/
6. Persoalannya, adakah mempertikai tindakan salah atau tidak wajar yang diambil untuk Tabung Haji yang disiarkan sendiri oleh Menteri Agama yang dilihat terlalu mengikut pelan pemulihan yang dirangka oleh pegawai-pegawai kanan Tabung Haji yang dilantik oleh Pakatan Harapan, kini boleh ‘diwartakan’ sebagai satu berita palsu atau fitnah?
7. Sedangkan tindakan itu dikritik demi ‘kelestarian’ Tabung Haji itu sendiri seperti yang diharapkan oleh Zulkifli.
8. Malah, bukankah pelan pemulihan Tabung Haji ini pernah didedahkan juga oleh Timbalan Menteri Kewangan 2, YB Mohd Shahar Abdullah di Dewan Rakyat sebagai tidak berdaya maju serta bekas Pengerusi Tabung Haji Datuk Seri Azeez Rahim juga pernah mendedahkan di Parlimen bahawa penjualan aset-aset TH masih diteruskan?
Rujuk pautan;
https://editormalaysia.com/19300/
Rujuk pendedahan Azeez Rahim di pautan;
https://editormalaysia.com/19649/
9. Selain isu cara pegawai-pegawai kanan Tabung Haji mengendalikan TH yang sangat diragui kerana pasukan yang sama terlibat menjual aset Tabung Haji secara lambak sebelum ini masih dikekalkan kerajaan Perikatan Nasional, isu tidak mahu atau takut Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) dilaksanakan juga menjadi tanda tanya.
10. Sedangkan melalui RCI banyak perkara boleh dirungkaikan dan dalam masa yang sama dapat mengembalikan kepercayaan rakyat hadap agensi milik umat Islam tersebut yang kini semakin meragukan selagi ia di bawah tanggungjawab pegawai-pegawai lantikan Pakatan Harapan.
11. Apa yang ditakutkan atau dikhuatiri terdedah sedangkan pimpinan UMNO lah yang dituduh dengan pelbagai tohmahan sebelum ini?
12. Inilah peluang keemasan Pakatan Harapan dan Perikatan Nasional untuk memulihkan keadaan dan membawa pemimpin UMNO terlibat ke muka pengadilan dan dihukum. Kenapa membuang masa dan mendedahkan diri sendiri dikritik berterusan melainkan ada “udang di sebalik batu” yang tidak ingin diketahui umum?
13. Sama juga jika yang bersalah adalah Pakatan Harapan, maka dipersilakan membawa mereka ke muka pengadilan untuk diadili sewajarnya dan jangan pula dikesampingkan kerana ‘rule of law’ tertegak atas semua pihak tanpa mengira status dan kedudukannya.
14. Setiap Kementerian sepatutnya perlu bersikap telus dan wajib terlihat telus. Apatah lagi Kementerian Hal Ehwal Agama yang diterajui oleh Zulkifli yang patut menjadi contoh kepada semua kementerian.
15. Rakyat hanya mahu tahu perkara sebenar. Rakyat sudah muak dengan retorik ‘demi agama’ , ‘demi Islam’, ‘demi bangsa’, ‘demi Melayu’, ‘demi negara’ dan bermacam-macam ‘demi’ lagi tetapi hakikatnya harta umat Islam seperti Tabung Haji yang dijarah teruk sebelum ini bukan sahaja tidak mahu dikembalikan, malah diteruskan penjualannya oleh kerajaan.
16. Bukankah ini juga bukti jelas kerajaan Perikatan Nasional ini meneruskan agenda DAP-PH di sebalik retorik-retorik tersebut?
17. Naratif ini tentu mahu dielak oleh Perikatan Nasional kerana ia boleh memberi impak yang besar dan merugikan kelak.
18. Jika perkara ini tidak dipersetujui oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, beliau perlu bertindak segera sebelum kerajaannya ‘dihukum’ oleh rakyat pada PRU-15 kelak.
19. Jika tidak beliau akan dilihat merestui tindakan ke atas Tabung Haji tersebut yang sangat menyakitkan hati umat Islam di negara ini.
20. Persoalan terakhir, apa yang sebenarnya Pakatan Harapan dan kerajaan Perikatan Nasional ‘sakit hati’ sangat dengan Tabung Haji sehinggakan kedua-duanya seolah-olah ‘senada’ dalam banyak perkara dan sama-sama tidak mahu atau melengah-lengahkan RCI?
Nota: Mungkin J-Kom perlu kerja keras sedikit dengan naratif baru dan lebih segar berbanding naratif basi “siar, padam, nafi dan tuduh”. Ini kerana kelemahan ‘black propaganda‘ dalam gerak saraf dan perang saraf (GSPS) adalah apabila berdepan dengan fakta sebenar.