1. Apabila Annuar ‘mengata’ dirinya sendiri
1.1. Bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional Tan Sri Annuar Musa yang kelihatan seperti masih belum berpuas hati terhadap partinya sendiri, kini menyindir pula kononnya “ada anak buah berhempas pulas membuat ulasan bagi mempertahan boss”.
1.2. Annuar juga berkata “jika anak buah amatur cuba membela boss maka nanti boss pula akan kelihatan amatur”.
1.3. Annuar Musa juga kelihatan semakin angkuh apabila memperlekeh dengan berkata jika “bermain dalam liga di bawah, jangan beraksi di liga super, kasihan melihatnya” – yang sebenarnya seumpama pepatah “kata dulang paku serpih, mengata orang dia yang lebih”.
1.4. Ini kerana hakikatnya Annuar sendiri kerap bersikap kebudak-budakan selama ini apabila selalu membuat kenyataan tidak sepatutnya termasuk mengajak Ketua Pemuda parti beliau “face to face” jika tidak berpuas hati dengan beliau.
1.5. Rujuk artikel “Sindir Nur Jazlan dan Asyraf Wajdi, Annuar Musa semakin angkuh dan tidak profesional” di pautan;
https://editormalaysia.com/19051/
2. Sikap Annuar “kata dulang paku serpih”
2.1. Langkah mengata diri sendiri ini bukan kali pertama. Walau apa sahaja yang dicadangkan atau disarankan oleh UMNO, Annuar akan cuba ‘spin‘ sebaik mungkin walaupun ia sering memakan dirinya sendiri.
2.2. Inilah yang menjadi masalah apabila Annuar dan keluarganya sendiri yang menjadi pentadbir akaun media sosial seperti Facebook, maka apa sahaja yang disiarkan kadang kala amat emosional dan tidak profesional.
2.3. Seperti propaganda gagal beliau iaitu kononnya “UMNO bekerjasama dengan DAP dan Anwar”, sedangkan Annuar sendiri dalam cubaannya ‘berbaik-baik’ dengan Pakatan Harapan selepas menang PRU-14, pernah memuji beriya Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai tokoh yang layak memimpin negara serta hasratnya ingin bekerjasama dengan DAP.
3. Propaganda gagal Annuar vs. logik akal
3.1. Logiknya UMNO satu-satunya parti besar berorientasikan Melayu Islam yang tidak pernah bekerjasama dengan DAP dan Anwar sehingga ke hari ini.
3.2. Selagi tiada kerjasama jelas sepertimana kerjasama jelas antara “Bersatu dengan DAP dan Anwar” ketika dalam Pakatan Harapan dan kerjasama jelas antara “PAS dengan DAP dan Anwar” ketika dalam Pakatan Rakyat, maka selagi itulah propaganda yang digerakkan pihak tertentu menggunakan naratif ini sukar dipercayai rakyat dan mudah dipatahkan.
3.3. Rujuk artikel “Propaganda guna naratif UMNO sokong PH-DAP-ANWAR” di pautan;
https://editormalaysia.com/20554/
3.4. Sama juga tuduhan beliau UMNO derhaka kepada Raja, yang beliau sendiri pernah lakukan suatu ketika dahulu.
4. Tuduhan Annuar seumpama “senjata makan tuan”
4.1. Jika diamati dengan baik, tuduhan Annuar bahawa UMNO menderhaka Raja serta tuduhan UMNO bekerjasama dengan DAP dan Anwar, termasuk yang terkini mengenai “sikap amatur sesetengah pihak”, hakikatnya adalah tiga perkara yang beliau sendiri lakukan.
4.2. Mungkin beliau cuba mengalih perhatian tetapi terang-terangan ia tidak berjaya dan mudah dipatahkan – yang kini semuanya berbalik kepada dirinya sendiri.
5. Annuar tidak boleh lagi salah strategi
5.1. Annuar wajar memikirkan strategi dan naratif yang lebih segar untuk membuatkan dirinya kekal relevan dalam politik kerana beliau akhir-akhir ini dilihat semakin ‘meroyan’, terutamanya sejak disingkirkan sebagai Setiausaha Agung Barisan Nasional.
5.2. Ini tidak sesuai dengan umur beliau yang sepatutnya menjadi contoh dan teladan kepada Ahli politik lain yang lebih muda daripadanya. Kata-kata sindiran, ‘menganjing’ ini hanya layak dikeluarkan oleh ahli politik murahan. Annuar tentu tidak mahu dilihat ‘murahan’ seperti itu.
5.3. Apatah lagi jika partinya sendiri kelak menggugurkan beliau sebagai calon Parlimen Ketereh, tanpa perlu memecat beliau terlebih dahulu – perkara ini tentunya akan membuatkan Annuar termalu sendiri kelak.
5.4. Ketika itu, Bersatu mungkin boleh menerima beliau tetapi selagi Annuar tidak dipecat atau tidak keluar UMNO lebih awal, tindakan beliau menerima tawaran Bersatu akan dilihat merumitkan kerjasama antara dua parti tersebut.
6. Sikap berlebihan Annuar akan menjadi beban buat Bersatu
6.1. Bersatu akan dilihat ‘jahat’ dan tidak profesional kerana mengambil kesempatan atas rakan politik sendiri, yang tentunya ingin mereka dielakkan.
6.2. Ini kerana ia bukan sahaja akan menjadi bukti Bersatu tidak boleh dipercayai tetapi tentu tidak mahu tembelang mereka kali ini dilihat terang-terangan oleh PAS.
6.3. Annuar mungkin tidak peduli perkara ini asalkan tetap mempunyai peluang bertanding, tetapi persoalannya kerusi manakah yang mampu ditawarkan oleh Bersatu bagi mengelakkan pertembungan tiga penjuru?
6.4. Ketika itu Annuar akan dilihat sebagai beban oleh Bersatu, bukan lagi sumber kekuatan.
6.5. Jika ini berlaku, ke mana pula Annuar hendak pergi? Meminta maaf daripada UMNO atau lebih rela meminta ehsan dan talian hayat daripada Anwar dan DAP?