SUATU PENGENALAN STRUKTUR ASAS PERLEMBAGAAN DARI PERSPEKTIF MALAYSIA (SIRI III)

371
SHARES
2.2k
VIEWS

WAN AHMAD FAUZI WAN HUSAIN

Pengarah Institut Tamadun dan Kajian Strategik, Universiti Malaysia Pahang (UMP) 

TERAS KENEGARAAN PERSEKUTUAN

Perlembagaan Persekutuan dikuatkuasakan pada 31 Ogos 1957 melalui ikatan Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1957. Perlembagaan Persekutuan yang merakamkan sistem Perlembagaan moden Tanah Melayu sebagai sebuah Persekutuan terdiri daripada sembilan buah Kerajaan Negeri Melayu dan dua buah Negeri Selat. Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957 memiliki aspek-aspek kenegaraan seperti berikut:

Yang Di-Pertuan Agong Ketua Utama Persekutuan Yang Merdeka

Yang Di-Pertuan Agong menurut Perkara 32 Perlembagaan Persekutuan merupakan ketua utama Persekutuan. Baginda dipilih dalam kalangan sembilan orang Raja-Raja Melayu mengikut Bahagian I dan III Jadual Ketiga, secara bergilir-gilir bagi tempoh lima tahun. Sebagai ketua utama Persekutuan, baginda dan isteri baginda bergelar Raja Permaisuri Agong diberi keutamaan daripada segala orang lain di dalam Persekutuan.

Yang Di-Pertuan Agong diberi kuasa oleh Raja-Raja Melayu melalui Perlembagaan Persekutuan, dan kuasa-kuasa tersebut hanya boleh dilaksanakan setelah baginda melafazkan sumpah dan menandatangani surat berjawatan seperti diperuntukkan di bawah Perkara 37 Perlembagaan Persekutuan.

Hubungan Kerajaan Inggeris atau Great Britain dengan Kerajaan-Kerajaan Negeri Melayu pada dasarnya diikat dengan siri-siri perjanjian antara dua entiti yang berdaulat. Status kemerdekaan Kerajaan-Kerajaan Negeri Melayu terus diakui dalam “Proclamation of Independence Ceremony-Lowering of Union Jack” bertarikh 18 Julai 1957 yang menyatakan, “That the Malay States never having been British territory but only British protected territory, the British flag cannot be lowered since it has never been raised,”

Kerajaan-Kerajaan Negeri Melayu melalui Perjanjian Negeri 1948 bersetuju untuk mengagihkan kuasa dan bidang kuasa sedia ada bagi maksud pembentukan sebuah Kerajaan Persekutuan berkerajaan sendiri. Perlembagaan Persekutuan menjelaskan kuasa-kuasa yang telah didelegat oleh Raja-Raja Melayu bagi pembentukan sebuah sistem Perlembagaan berpusat tanpa melucutkan kedaulatan mereka. Justeru terdapat peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan berkaitan penginstitusian Majlis Raja-Raja dan kuasanya terserlah boleh melantik bahkan melucutkan jawatan Yang Di-Pertuan Agong.

Yang Di-Pertuan Agong memegang kuasa tertinggi Kerajaan Persekutuan mewakili Raja-Raja Melayu dalam sistem politik berteraskan kedaulatan raja-raja dan keluhuran Perlembagaan di samping pengekalan kuasa-kuasa tertentu pada negeri-negeri seperti diperuntukkan oleh Jadual 9 Perlembagaan Persekutuan. Pada Yang Di-Pertuan Agong terletak sumber kuasa perundangan, eksekutif dan kehakiman yang dilaksanakan secara syura dalam bentuk hari ini. Malaysia merupakan ahli Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang menandakannya sebuah negara merdeka.

Yang Di-Pertuan Agong Hendaklah Beragama Islam

Yang Di-Pertuan Agong hendaklah dipilih dalam kalangan Raja-Raja Melayu. Undang-undang tubuh di setiap Negeri Melayu mensyaratkan seorang raja hendaklah beragama Islam. Justeru, mustahil seorang yang tidak beragama Islam terpilih sebagai Yang Di-Pertuan Agong berdasarkan prinsip Perlembagaan pada hari ini. Yang Di-Pertuan Agong juga merupakan ketua agama Islam bagi Negeri-negeri yang tidak beraja, selain daripada negeri baginda sendiri dan dikehendaki melafazkan sumpah untuk memelihara agama Islam sebelum memulakan jawatan. 

Syarat-syarat di atas dan Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan dengan tegas mengisytiharkan bahawa Islam adalah agama bagi Persekutuan menunjukkan betapa akrab hubungan antara Yang Di-Pertuan Agong dengan prinsip kedaulatan dan sistem Perlembagaan Persekutuan. Kebenaran buat agama-agama lain diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan tertakluk pada syarat-syarat di bawah Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan menunjukkan sistem Perlembagaan negara kita menerima masyarakat berbilang-bilang agama di bawah pemerintahan Kerajaan Islam.

Yang Di-Pertuan Agong Naik Takhta Atas Baiah Dan Syura

Secara amalannya, pemilihan Yang Di-Pertuan Agong baharu akan dibuat sebelum tamat tempoh lima tahun pemerintahan Yang Di-Pertuan Agong semasa. Seksyen 1 Jadual III Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa seseorang Raja layak dipilih menjadi Yang Di-Pertuan Agong melainkan jika:

1. Raja itu belum dewasa:

2. Raja itu telah memberitahu Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja bahawa Raja itu tidak berhasrat dipilih; atau

3. Majlis Raja-Raja mengambil ketetapan melalui undi sulit bahawa Raja itu tidak sesuai untuk menjalankan fungsi Yang Di-Pertuan Agong disebabkan oleh kelemahan akal atau tubuhnya, atau kerana apa-apa sebab lain.

Sesuatu ketetapan Majlis Raja-Raja seperti di atas tidak boleh diluluskan melainkan sekurang-kurangnya lima orang anggota Majlis Raja-Raja telah mengundi menyokongnya. Amalan ini menunjukkan syura dalam sistem politik negara di peringkat yang paling tinggi.

Pemakaian Prinsip Kedaulatan Watan

Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957 diinstitusikan atas kedaulatan sembilan orang Raja-Raja Melayu (Negeri Sembilan ditandatangani oleh Yang Di-Pertuan Besar dan Pembesar-Pembesar Memerintah) bagi sembilan buah negeri Melayu dan Ratu England bagi Melaka dan Pulau Pinang. Amalan tersebut sudah bermula sejak sebelum Hukum Kanun Melaka.

Bermulanya Hukum Kanun Melaka dan undang-undang Perlembagaan pascanya menyaksikan ciri-ciri kedaulatan Raja Melayu bersumberkan ajaran Islam sesuai dengan akidah baginda. Islam sebagai ad-Din tidak mengabsahkan fahaman Dikotomi dalam pentafsiran prinsip kedaulatannya.

Penggubalan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu dibuat atas terma-terma rujukan seperti diputuskan dalam Persidangan London 1956 dengan mengambil kira sejarah undang-undang watan Tanah Melayu. Dalam konteks Malaysia, kedaulatan watan dipasak dengan kemas sebagai prinsip utama Perlembagaan Persekutuan meskipun menurut pandangan popular agama Islam berada di bawah bidang kuasa negeri.

Pada sisi sejarah undang-undang, bidang kuasa Persekutuan seperti Senarai I Jadual 9 Perlembagaan Persekutuan adalah tertakluk pada prinsip perundangan Islam selaras dengan prinsip kedaulatan watan yang dijamin oleh Perkara 181(1) Perlembagaan Persekutuan. Kuasa dan bidang kuasa Raja-Raja Melayu didelegat kepada Yang Di-Pertuan Agong melalui Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1957. Prinsip kedaulatan watan juga terserlah dalam Perlembagaan Persekutuan dihakimi pada sumpah Yang Di-Pertuan Agong di bawah Perkara 37. Lafaz sumpah Yang Di-Pertuan Agong berbunyi, “Kami berikrar mengaku dengan sesungguh dan dengan sebenarnya memeliharakan pada setiap masa agama Islam dan berdiri tetap di atas pemerintahan yang adil dan aman di dalam negeri” adalah manifestasi pengekalan prinsip kedaulatan watannya.

Peruntukan di atas saling mengukuhkan antara satu sama lain dengan Perkara-perkara 3(1) dan 3(5) iaitu Islam sebagai agama bagi Persekutuan dan kedudukan Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua agama bagi Negeri-negeri tidak beraja. Lafaz dan posisi Yang Di-Pertuan Agong memberi signifikasi besar kepada legitimasi kedaulatan watan. Di samping prerogatif baginda, amalan syura menyerlahkan lagi posisi Yang Di-Pertuan Agong sebagai seorang ketua negara sebuah kerajaan Islam. Pemakaian amalan syura diterjemahkan melalui peruntukan-peruntukan Perlembagaan Persekutuan berikut:

1. Melaksanakan budi bicara baginda di bawah Perkara 40(2).

2. Merundingi Majlis Raja-Raja di bawah Perkara 38.

3. Bertindak mengikut nasihat di bawah di Perkara 40(1).

4. Bertindak mengikut nasihat di bawah Perkara 40(3).

5. Bertindak mengikut nasihat di bawah Perkara 3(5).

6. Bertindak mengikut nasihat seperti diperuntukkan di bawah lain-lain peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan pelbagai statut.

Perlembagaan Persekutuan juga menubuhkan institusi-institusi seperti Majlis Raja-Raja, Jemaah Menteri, Majlis Parlimen, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan dan berbagai-bagai suruhanjaya berkonsepkan syura bagi membantu Yang Di-Pertuan Agong untuk melaksanakan suatu pemerintahan yang adil.

Jika diteliti setiap peruntukan Perlembagaan Persekutuan, didapati tiada sekatan terhadap penggubalan undang-undang berdasarkan prinsip perundangan Islam. Jadual 9 Perlembagaan memperuntukkan pembahagian bidang kuasa Parlimen dan Dewan Undangan Negeri. Undang-undang Perlembagaan membenarkan prinsip perundangan Islam boleh diperkenalkan dalam bentuk akta Parlimen dan enakmen Negeri menurut pembahagian bidang kuasa masing-masing.

(Bersambung ke Siri IV) 

Tulisan ini dipetik daripada jurnal QALAM International Journal of Islamic and Humanities Research

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts