PARLIMEN KINI BOLEH DIBUBARKAN MELALUI KUASA PREROGATIF YDP AGONG

1.8k
SHARES
10.8k
VIEWS

Oleh Mohd Khairul Azam Bin Abdul Aziz

Ordinan Darurat 2021 telah meminda beberapa peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan.

1. Ramai yang tidak perasan tentang Perkara ini dan saya mengambil kesempatan ini untuk memberikan penerangan berkaitan.

2. Perkara 150 (2B) dan (2C) Perlembagaan Persekutuan memberikan kuasa kepada YDP Agong (dalam tempoh Parlimen tidak bersidang) untuk membuat apa-apa Ordinan dalam tempoh darurat ini dan Ordinan berkenaan akan berkuatkuasa sama seperti Akta Parlimen.

3. Dalam keadaan sebelum darurat, Perlembagaan Persekutuan boleh dipinda dengan Akta Pindaan Perlembagaan dengan sokongan dua pertiga Ahli Parlimen dan disebabkan darurat telah diisytiharkan, maka YDP Agong boleh membuat Ordinan di bawah Perkara 150 (2B) Perlembagaan Persekutuan untuk maksud meminda beberapa peruntukan di dalam Perlembagaan Persekutuan.

4. Pindaan ini hanya berkuatkuasa selama tempoh 6 bulan sahaja mengikut Perkara 150 (7) Perlembagaan Persekutuan atau sehingga ia (Ordinan Darurat 2021) dibatalkan oleh Parlimen di bawah Perkara 150 (3) Perlembagaan Persekutuan (Tertakluk kepada bila YDP Agong memperkenankan untuk Parlimen bersidang)

5. Hal ini ditegaskan dalam Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021, pada Seksyen 18 Ordinan berkenaan yang menyatakan bahawa “Ordinan ini adalah mengatasi apa-apa undang-undang yang lain setakat yang berlawanan dengan apa-apa undang2 lain, maka Ordinan ini mengatasi undang2 berkenaan setakat mana percanggahan itu“. 

PINDAAN PERLEMBAGAAN No. 1

6. Seksyen 12(4) Ordinan berkenaan telah MEMOTONG PERKATAAN yang terkandung di dalam Perkara 55(3) Perlembagaan Persekutuan “Selama lima tahun dari tarikh mesyuarat pertamanya dan selepas itu adalah terbubar” telah dipotong.

7. Sebelum Pindaan, Perkara 55(3) Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa “Melainkan jika dibubarkan terlebih dahulu, Parlimen hendaklah terus berjalan selama lima tahun dari tarikh mesyuarat pertamanya dan selepas itu adalah terbubar.”

8. Dengan kuatkuasa Ordinan Darurat 2021 ini bermaksud, bacaan terkini Perkara 55(3) Perlembagaan Persekutuan adalah seperti berikut “Melainkan jika dibubarkan terlebih dahulu, Parlimen hendaklah terus berjalan“. 

PINDAAN PERLEMBAGAAN No. 2

9. Selanjutnya, Seksyen 12(5) Ordinan berkenaan telah MEMOTONG PERKATAAN yang terkandung di dalam Perkara 55(4) Perlembagaan Persekutuan “Dalam tempoh enam puluh hari dari tarikh ia bubar dan Parlimen hendaklah dipanggil bermesyuarat pada suatu tarikh yang tidak lewat daripada satu ratus dua puluh hari dari tarikh itu” telah dipotong.

10. Sebelum Pindaan, Perkara 55(4) Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa “Apabila Parlimen bubar suatu pilihan raya umum hendaklah diadakan dalam tempoh enam puluh hari dari tarikh ia bubar dan Parlimen hendaklah dipanggil bermesyuarat pada suatu tarikh yang tidak lewat daripada satu ratus dua puluh hari dari tarikh itu“.

11. Dengan kuatkuasa Ordinan Darurat 2021 ini bermaksud bacaan terkini Perkara 55(4) Perlembagaan Persekutuan adalah seperti berikut “Apabila Parlimen bubar suatu pilihan raya umum hendaklah diadakan“. 

LANJUTAN DARIPADA 2 PINDAAN PERLEMBAGAAN BERKENAAN

12. Selanjutnya, Seksyen 12(6) Ordinan berkenaan menyatakan bahawa “Pilihan raya umum hendaklah diadakan dan mesyuarat Parlimen hendaklah dipanggil pada tarikh sebagaimana yang difikirkan sesuai oleh Yang Di-Pertuan Agong.

13. Seterusnya peruntukan Seksyen 14 (1)(a) dan (b) Ordinan berkenaan memberikan kuasa kepada YDP Agong untuk memanggil, memprorog (menggantung) atau membubarkan Parlimen pada bila-bila masa mengikut Ordinan ini dan perkara memanggil, memprorog dan membubarkan Parlimen seperti di Perkara 55 (2) Perlembagaan Persekutuan TIDAK LAGI TERPAKAI.

14. Mengikut tafsiran saya sendiri, maksud seksyen 14 (1)(a) dan (b) di atas menunjukkan bahawa YDP Agong boleh membubarkan Parlimen pada bila-bila masa TANPA PERLU TERDAPATNYA PERMINTAAN (daripada Perdana Menteri) UNTUK PEMBUBARANNYA.

15. Sebab itulah peruntukan seksyen 14(1)(a) Ordinan Darurat 2021 menyatakan Perkara 55(2) (Kuasa YDP Agong untuk bubar Parlimen di bawah Perlembagaan Persekutuan) TIDAK LAGI TERPAKAI.

16. Yang terpakai kini adalah kuasa baginda YDP Agong yang sama (untuk bubarkan Parlimen) cuma pembubaran itu nanti akan dibuat mengikut Seksyen 14(1)(b) Ordinan Darurat 2021, bukan lagi di bawah Perkara 55 (2) Perlembagaan Persekutuan.

17. Mengikut Ordinan Darurat 2021, YDP AGONG TIDAK ADA TANGGUNGJAWAB UNTUK MENERIMA APA-APA PERMINTAAN MEMBUBARKAN PARLIMEN kerana tiada apa-apa peruntukan dibuat berkaitan dengannya.

18. Oleh itu Parlimen ke-14 kini boleh dibubarkan dengan perkenan YDP Agong secara kuasa prerogatif baginda sendiri mengikut Ordinan Darurat 2021, tidak lagi perlu MENGIKUT Perkara 55(2) Perlembagaan Persekutuan.

DAULAT TUANKU

Sekian terima kasih.

(Penulis juga dikenali sebagai Buzze Azam)

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts