RAKYAT JADI MANGSA KEPUTUSAN ‘FLIP FLOP’ KERAJAAN

490
SHARES
2.9k
VIEWS

Jika PKP boleh dilonggarkan untuk membolehkan kegiatan ekonomi diteruskan, mengapa darurat tidak boleh dilonggarkan untuk membenarkan Parlimen untuk bersidang?” -Isham Jalil

……..

Kelmarin kerajaan telah memaklumkan bahawa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan dilonggarkan pada minggu depan dan digantikan dengan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Sebab yang diberikan oleh kerajaan adalah kerana mereka bimbang berkenaan kesan PKP kepada ekonomi.

Dengan PKPB, hampir semua kegiatan ekonomi boleh berjalan seperti biasa, kedai-kedai dan gedung membeli belah semua boleh dibuka.

Keputusan ini dibuat setelah dua minggu PKP diumumkan pada 13 Januari 2021 lalu oleh kerajaan diikuti dengan perintah darurat hari berikutnya dengan sebab yang diberikan kerajaan ialah kebimbangan mereka ke atas jangkitan wabak COVID-19 yang semakin meningkat pada ketika itu di paras 3,337 kes sehari.

Kini setelah dua minggu PKP dilaksanakan, kadar jangkitan masih lagi tidak turun malah meningkat ke paras 4,094 kes semalam.

Sebelum ini saya telah menyatakan bahawa keputusan-keputusan ‘flip-flop‘ kerajaan telah membawa kepada peningkatan kes jangkitan wabak COVID-19 sehingga melebihi jumlah 100 ribu kes.

Ini terjadi apabila kerajaan membenarkan Pilihan Raya Negeri Sabah pada bulan September 2020, dan apabila mereka melonggarkan PKPB dan membenarkan merentas negeri pada 7 Disember 2020, selepas permohonan darurat atas alasan COVID-19 mereka ditolak oleh Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong pada 24 Oktober 2021.

Jika mereka serius untuk mengekang COVID-19, tidak masuk akal untuk mereka benarkan rentas negeri pada ketika kes sedang mencanak naik terutama apabila mereka telah memohon darurat atas alasan untuk mengekang wabak COVID-19 hanya beberapa minggu sebelum itu.

Kini dalam tempoh dua bulan lepas, jumlah kes COVID-19 di Malaysia telah meningkat sekali ganda daripada 100 ribu kes pada bulan Disember 2020 ke 200 ribu kes bulan ini.

Hakikatnya kerajaan telah gagal untuk mengekang COVID-19 yang semakin meningkat, namun bercadang ingin melonggarkan perintah kawalan pergerakan pula.

Pelan vaksinasi yang dijanjikan akan diumumkan pada bulan ini juga masih gagal dimuktamadkan di kala hampir semua negara-negara jiran yang lain telah mula memberikan vaksinasi kepada rakyat mereka.

Tanpa vaksinasi dengan segera, kes jangkitan akan bertambah kerana PKP atau PKPB yang dibuat terbukti tidak lagi memadai untuk membendung wabak COVID-19.

Di negara lain seperti di Amerika Syarikat, mereka mengejar masa untuk memvaksinasi rakyat mereka secepat mungkin kerana pakar-pakar mereka bimbang jika dibiarkan masa berlalu, mutasi virus mungkin mengakibatkan vaksin sedia ada tidak berkesan.

Sebab itu kerajaan mereka telah mengumumkan untuk memvaksinasi 1.5 juta rakyat mereka setiap hari dan memvaksinasi hampir semua rakyat mereka sebelum pertengahan tahun ini.

Ada kebarangkalian jika kita lambat dalam program vaksinasi, apabila rakyat mendapat vaksin ini pada tahun depan ia mungkin tidak lagi akan berkesan ke atas mutasi virus yang baru.

Jika ini berlaku, kita hanya akan membazir wang dan membahayakan nyawa rakyat.

Sebab itu semak imbang ke atas keputusan-keputusan kerajaan adalah penting untuk mengelak keadaan daripada menjadi lebih buruk.

Tanpa semak imbang dan akauntabiliti yang mencukupi, keputusan-keputusan yang tidak cermat, tidak bijak atau salah, besar kebarangkalian akan terus dibuat oleh kerajaan yang akan memberikan kesan negatif kepada rakyat dan negara.

Dan sebab itu Parlimen perlu dibenar bersidang dengan segera untuk proses semak imbang yang telus oleh Ahli-ahli Parlimen yang mewakili rakyat.

Jika PKP boleh dilonggarkan minggu depan untuk membolehkan kegiatan ekonomi diteruskan, mengapa darurat tidak boleh dilonggarkan untuk membenarkan Parlimen untuk bersidang bagi meneruskan proses semak imbang dalam sistem demokrasi?

Tidak masuk akal jika gedung membeli belah boleh dibuka tetapi Parlimen kekal ditutup.

Lebih-lebih lagi apabila dalam Ordinan Darurat yang diisytiharkan telah termaktub bahawa Ordinan tersebut perlu dibentangkan di Parlimen mengikut Perlembagaan.

Darurat boleh diteruskan tetapi Parlimen perlu dibenar bersidang.

Jika tidak rakyat akan terus menjadi mangsa terhadap kekhilafan keputusan-keputusan kerajaan yang yang dibuat dengan tidak cermat atau dengan agenda tertentu.

ISHAM JALIL

29 Januari 2021

https://www.facebook.com/220524935369705/posts/907311140024411/?d=n

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts