Oleh Datuk Dr. Mohd Puad Zarkashi
Menantu Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin didakwa menerima projek RM1.16 bilion. Ia menjadi kontroversi. Integriti Kerajaan Perikatan Nasional dipersoalkan.
Syarikat Iris Corp Brrhad umum di Bursa Malaysia bahawa mereka sudah menerima surat anugerah atau “letter of award” (LOA) projek National Immigration Integrated System (NIIS) Jabatan Imigresen bernilai RM1.16 bilion. Surat LOA dari KDN itu bertarikh 29 Januari 2021. Ini tidak boleh dinafikan.
Menantu lelaki Muhyiddin, Datuk Muhamad Adlan Berhan adalah rakan kongsi IRIS. Manakala anak lelaki Vincent Tan adalah pemilik majoriti saham IRIS.
Justeru ada 4 soalan yang Muhyiddin kena jawab segera dengan sejujurnya.
Pertama, adakah benar menantu beliau pemilik majoriti saham S5 System?
Kedua, adakah benar S5 System adalah rakan kongsi IRIS? IRIS menggunakan konsortium untuk melobi kontrak itu dan S5 adalah pemain utamanya.
Ketiga, benarkah anak Vincent Tan sebagai pemegang majoriti saham IRIS membeli saham tersebut selepas PRU ke-14?
Keempat, kenapa luluskan projek mega NIIS tersebut secara tergesa-gesa di musim darurat ini?
Projek NIIS Jabatan Imigresen ini akan menggantikan sistem sedia ada iaitu Malaysian Immigration System (myIMMS). Ia akan dipasang di semua pintu masuk negara seperti di lapangan terbang.
Empat soalan itu ditujukan kepada Muhyiddin kerana beliau adalah Perdana Menteri. Kedua, kerana menantunya terlibat. Ketiga, pada 11 Disember 2018, Muhyiddin selaku Menteri KDN Kerajaan Pakatan Harapan telah membatalkan kontrak yang sudah diberi kepada Prestariang pada Ogos 2017.
Kemudian Muhyiddin minta proposal baru “request for proposal” (RFP) pada tahun 2019. Ini memberi peluang syarikat yang ada kaitan dengan menantunya melobi dan membida.
Sebab itu Muhyiddin kena jawab. Jangan hanya membisu. Jangan autokratik. Jangan guna darurat serta gantung Parlimen sebagai muslihat untuk buat perkara lain.
Banyak yang rakyat mahu tahu termasuk tindakan saman oleh Prestariang yang menuntut ganti rugi sebanyak RM732 juta. SPRM mesti berani menyiasat.
Amat mendukacitakan di musim darurat ini macam-macam diluluskan. Buat 3 dewan di Parlimen Pagoh sampai RM35.4 juta. Kini menantu pula adalah orang berkepentingan dalam projek yang bernilai RM1.16 bilion.
Jawab, jangan tidak dijawab.