Siapa sahaja yang dilantik menjadi Perdana Menteri oleh Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong ini wajar dipertahan, tidak kira sama ada beliau boleh membuat kerja ataupun tidak, pandai mentadbir negara dengan berkesan ataupun tidak.
Tidak kira sama ada melalui kuasa yang diperuntukkan atau ‘dipinjamkan’ sebagai satu amanah oleh YDP Agong kepada beliau ini dapat dilaksanakan dengan sebaik mungkin ataupun hanya menghabiskan masa sepenggal yang masih tersisa, seorang Perdana Menteri tetap wajar dipertahan oleh pasukannya, terutama PMO atau Pejabat Perdana Menteri.
Pertahanan ampuh ini wajar dilakukan segera dan isu National Immigration Integrated System (NIIS) dikaitkan dengan menantu Tan Sri Muhyiddin Yassin, iaitu Datuk Muhamad Adlan Berhan ini menjadi “medan ujian” terkini bagi PMO untuk melaksanakannya. Kemudian PMO boleh mengembangkan pertahanan ini kepada isu-isu lain di masa hadapan.
Cara hebahan dan “counter narrative” melalui blogger, portal berita pro kerajaan, termasuklah cytro di media sosial ini akan menjadi ‘tumpul’ dan ‘tidak bertaring’ apabila PMO sendiri tidak ke hadapan bagi mengambil tanggungjawab menjelaskan isu tersebut terlebih dahulu.
Fakta yang dijelaskan oleh PMO tersebut kemudiannya dihebahkan oleh puluhan ribu cytro yang bergerak di pelbagai medium media sosial terutamanya di platform yang popular digunakan oleh rakyat Malaysia iaitu Facebook.
Sebagai contoh di Arab Saudi, dalam pelbagai isu yang melibatkan kerabat DiRaja Saudi yang perlu dipertahan oleh kerajaan mereka, medium yang digunakan bagi hebahan dan penerangan adalah melalui Twitter kerana platform tersebut paling popular digunakan malah tertinggi di dunia.
Ini sekaligus membantu portal-portal berita dan juga blogger termasuklah laman web pro kerajaan lain serta mana-mana ‘influencer‘ yang sedia bekerjasama.
Contoh yang lain, dalam isu 1MDB yang jauh lebih besar dan rumit, kerajaan Barisan Nasional konsisten membuat penerangan ke seluruh negara secara bersemuka termasuk ke universiti-universiti bersama CEO 1MDB Arul Kanda sendiri. Melalui ‘engagement‘ ini kerajaan Barisan Nasional dilihat berani bersemuka menjelaskan isu yang berlaku.
Rujuk pautan; https://www.google.com/amp/s/www.hmetro.com.my/node/337559/amp
Selain itu, blogger, portal berita ataupun laman web peribadi serta cytro mereka termasuk pasukan JASA menerima input penuh daripada kerajaan untuk tujuan hebahan dan ditularkan secara konsisten untuk memberi penerangan kepada rakyat. Isu sama ada rakyat percaya ataupun tidak, perkara tersebut adalah isu kedua, bergantung kepada fakta kukuh yang ada.
Jika hebahan atau counter narrative itu tumpul kerana ‘tidak berpeluru’ (tiada fakta jelas dan konsisten) kerana PMO tidak mengambil inisiatif ke hadapan menjelaskan isu sebenar, bagaimana mungkin blogger, portal berita pro kerajaan serta cytro ingin membuat kerja gerak saraf, perang saraf (GSPS) mereka sendiri dengan berkesan?
Perlu diingat, cara mengendalikan isu oleh PMO perlulah secara jelas, berfakta dan konsisten serta melalui koordinasi kerja serta ‘distribution‘ yang betul.
PMO juga ketika ini tidak boleh mengharapkan pasukan J-KOM yang dijenamakan semula daripada JASA (Jabatan Komunikasi di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia) kerana selain jumlahnya terhad, sebahagian besarnya kini dipengaruhi oleh pasukan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Ini menyebabkan banyak penerangan PMO sendiri tersekat di tengah jalan serta tidak mencapai maksud yang diharapkan. Agenda J-KOM juga tidak sama dengan PMO kerana mereka lebih kepada mempertahan ketua mereka sendiri dan bukannya Perdana Menteri.
Inilah kelemahannya apabila ia diterajui oleh ‘parti lain’ yang tentu mempunyai agenda peribadi masing-masing.
Justeru lebih baik PMO segera wujudkan satu ‘war room‘ khusus untuk kerja-kerja koordinasi dan ‘distribution‘ kepada portal berita, blogger serta puluhan ribu cytro pro kerajaan sedia ada yang sehingga kini dilihat ‘masih tidur’ atau menghilang entah ke mana.
War room ini juga berperanan sebagai bilik GSPS yang amat diperlukan PMO apatah lagi Pilihan Raya Umum ke-15 bakal dijadualkan selewat-lewatnya akhir tahun ini, malah mungkin terpaksa dicepatkan jika darurat ditamatkan lebih awal.
Persoalannya kenapa puluhan ribu cytro pro kerajaan yang sedia ada dan hanya perlu sedikit bantuan koordinasi dan pengagihan kerja ini masih tidak digerakkan atau dimanfaatkan sepenuhnya?
Apatah lagi ia tidak memerlukan perbelanjaan yang besar untuk digerakkan, atau hampir tiada kos untuk membuatkannya beroperasi, maka kenapakah pasukan ini masih tidak ‘diaktifkan’ oleh PMO?
Atau sebenarnya PMO sendiri terlepas pandang dan tidak tahu mereka sebenarnya mempunyai cytro seramai ini?