KUARANTINPUN ADA DUA DARJAT?

376
SHARES
2.2k
VIEWS

Keputusan kerajaan untuk menyingkatkan tempoh kuarantin daripada 10 hari ke 3 hari menimbulkan keresahan ramai dan dilihat tindakan yang amat tidak wajar selain membahayakan nyawa rakyat.

Perkara ini turut disuarakan oleh Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi melihatnya sebagai pelaksanaan  “dua darjat” sedangkan virus Covid-19 bukannya ‘kenal’ siapa Menteri dan rakyat biasa.

Beliau mempertikai keputusan tersebut yang dilihatnya berat sebelah dan berbeza antara rakyat biasa dan Perdana Menteri serta Menteri-menteri Kabinet. 

Tiba tiba sahaja Menteri Kesihatan keluar surat. Semua Menteri balik bertugas dari luar negara tidak perlu kuarantin 10 hari. Mereka terkecuali dari Seksyen 15 Akta 342.” 

Benarkah berlaku kekecohan di Lapangan Terbang Subang? Pegawai KKM sudah menunggu untuk urusan kuarantin apabila rombongan Perdana Menteri sampai dari Jakarta. Katanya mereka tidak mahu kuarantin 10 hari? Rakyat perlu penjelasan.” 

Itu sebab Menteri keluar surat arahan baru melalui Warta Persekutuan. Kuarantin cuma 3 hari. Arahan KP Kesihatan di bawah Akta 342 kena ‘over rule‘?” 

Kalau tidak mahu dikuarantin, apa perlunya keluar negara? Kalau setakat mahu bincang laluan hijau, elok guna sidang maya sahaja.”

Malah tindakan kerajaan akan membuka “laluan hijau” ini turut menimbulkan keresahan dalam masyarakat berikutan kes di negara tersebut masih tinggi sedangkan jika tidak dibuka sekalipun, rakyat Indonesia dengan mudah boleh masuk melalui lorong tikus yang wujud telahpun menjadi “laluan hijau” buat mereka selama ini. 

Tindakan kerajaan memendekkan tempoh kuarantin ini dilihat bukan sahaja ‘double standard‘ malah turut membahayakan nyawa rakyat yang lain. Lebih malang perkara ini juga tentu tidak boleh dipertikai oleh Ahli-ahli Parlimen lain kerana Parlimen terlebih dahulu telah digantung oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini. 

Setakat ini juga tiada sebarang data saintifik yang boleh menyokong tindakan ini bagi merasionalkan kenapa Jemaah Menteri hanya dikenakan kuarantin selama tiga hari jika pulang dari luar negara? 

Selain itu juga tiada sebarang kenyataan mengenai Perdana Menteri dan Menteri-menteri Kabinet telah menerima suntikan vaksin lebih awal daripada rakyat biasa yang memungkinkan mereka hanya dikuarantin selama 3 hari. 

Adakah kerajaan tidak mempunyai perasaan belas terhadap petugas-petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang sebegitu gigih bertungkus lumus bersama frontliner lain mengekang pandemik ini sejak sekian lama? 

Nampaknya kerja keras mereka ini “tidak dihargai” oleh Menteri Kabinet apabila syarat terhadap diri sendiri ‘dilonggarkan’ manakala syarat kepada rakyat pula semakin tegas malah ingin diketatkan melalui denda yang tinggi kerana kononnya tidak mematuhi SOP.

Hakikatnya Menterilah yang paling tidak mematuhi SOP sehingga sanggup “mewartakan pengecualian” bagi melepaskan diri masing-masing daripada kuarantin 10 hari. Sedangkan menurut WHO, kuarantin tidak wajar dikurangkan walaupun sehari, inikan pula kuarantin hanya selama 3 hari.

Justeru jika saranan WHO mengenai vaksin boleh diikuti kenapa dalam isu tempoh kuarantin 14  hari ini kerajaan tidak mahu pula mematuhi saranan badan kesihatan dunia tersebut?

Sungguhpun begitu, di sudut yang lain, langkah memendekkan tempoh kuarantin ini dilihat sebagai peluang buat kerajaan memberikan keyakinan kepada rakyat mengenai keberkesanan dan keselamatan vaksin.

Kerajaan wajar wajibkan para Menteri ‘3 hari’ ini dan ahli keluarga mereka terlebih dahulu diberi suntikan vaksin sambil dipantau oleh pihak ketiga contohnya NGO untuk memastikan vaksin sebenar yang diberikan. Ini akan membuktikan keberkesanan dan sekaligus menghapuskan kesangsian dalam kalangan masyarakat. 

Bukan dengan terus ‘melabelkan’ rakyat yang sangsi dengan keberkesanan dan keselamatan vaksin tersebut sebagai ‘antivax‘.

Kerajaan wajar tunjukkan contoh, bukan terus menghukum rakyat. 

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts