Nampaknya kerajaan PN terus diasak oleh rakyat berhubung isu dua darjat dalam pelaksanaan SOP ketika musim PKP sekarang.
Terbaru panas pasal Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa dan sekumpulan orang yang makan di satu meja tanpa patuhi SOP. Ini bukan kali pertama TS Annuar buat hal. Sebelum ini beliau bersiar-siar dengan rakan VIPnya tanpa memakai pelitup muka.
Dalam kedua-dua kejadian tersebut, kalau tidak silap, beliau tidak memohon maaf. Sekarang ini memang TS Annuar menjadi sasaran kritikan ramai netizen di media sosial. Komen beliau yang kononnya memetik sahabatnya di Italy memuji cara Malaysia menangani pandemik Covid-19 menjadi bahan sinikal ramai.
Yang menarik komen-komen netizen mempersoalkan TS Annuar bukan sahaja lebih sedap dibaca malah lebih bernas dan lebih tajam hujah mereka. Itu belum menyentuh mengenai insiden netizen membangkitkan menteri tersebut memakai jam tangan sangat mewah ketika memberi sidang media tentang isu kemiskinan rakyat.
Ada yang menggeleng kepala macam tidak percaya sambil bertanya bagaimana menteri mendapat wang yang banyak untuk membeli jam tersebut? Atau adakah ia hadiah dan daripada siapa pula?
Persoalannya lagi perlukah menteri kabinet memperagakan kekayaan dan kemewahan apatah lagi ketika rakyat hidup tertekan kesan pandemik Covid-19?
Mesejnya, TS Annuar sebagai pemimpin kena lebih sensitif. Sekadar kata-kata dan retorik tidak memadai. Ia hanya akan merosakkan lagi imej beliau. Sebaliknya perbaikilah segera diri agar tidak menjadi pemimpin yang dalam senarai rakyat benci.
—————
Jarang sekali golongan profesional dalam bidang perubatan sebulat suara menyanggah keputusan Menteri Kesihatan, Dato Seri Adham Baba berkaitan satu lagi isu dua darjat. Isunya adalah bantahan terhadap keputusan menteri berkenaan mengurangkan tempoh kuarantin untuk delegasi Menteri Kabinet yang melawat luar negara kepada tiga hari sahaja:
Ini ekoran lawatan Perdana Menteri dan beberapa menteri Kabinet ke Indonesia baru-baru ini, yang mencetuskan kontroversi. Bantahan golongan itu melibatkan kesemua persatuan yang berkaitan dan turut didokong oleh barisan tokoh-tokoh perubatan negara.
Nampaknya kerajaan Perikatan Nasional kini berdepan imej yang merudum dalam soal pengurusan pandemik Covid-19 kebelakangan ini. Memburukkan persepsi rakyat ke atas kerajaan PN adalah perintah darurat dan tergantungnya persidangan Parlimen.
Selain itu, isu ketidaktentuan politik, ekonomi yang terjejas teruk, ketidakyakinan pelabur asing, kenaikan harga barang dan melonjaknya pengangguran meresahkan rakyat.
Maka tidak mengejutkan apabila rakyat meluahkan kekecewaan melalui media sosial ke atas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika lawatan ke Indonesia. Rakyat Indonesia sendiri tertanya-tanya mengapa rakyat Malaysia kurang senang dengan pemimpin sendiri?
Sekiranya pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) diadakan dalam tempoh beberapa bulan ini, kerajaan PN yang diterajui TS Muhyiddin daripada parti Bersatu pasti berdepan kesukaran untuk memenangi majoriti hati rakyat.
Perdana Menteri dan Bersatu perlu bersiap sedia menghadapi penolakan rakyat pada PRU-16 nanti. Lebih-lebih lagi jika penyertaan BN dalam PN akan terhad sehingga Parlimen terbubar (bagi membolehkan PRU-15 diadakan).
Bersatu dengan PAS sahaja tidak akan mampu memberikan impak memandangkan sokongan akar umbi terhadap UMNO di Semenanjung dan Sabah jauh lebih besar. Lagipun ramai ahli PAS sendiri tidak selesa dan kurang yakin terhadap Bersatu yang turut menyaksikan Dato Seri Azmin Ali sebagai pemimpin kanan.
Ahli-ahli PAS terbahagi dua meskipun pemimpin utama seperi Presidennya, Dato Seri Hadi Awang dan Setiausaha Agong, Dato Seri Takiyuddin Hassan condong kepada Bersatu. Pendedahan kes semburit membabitkan DS Azmin menjejaskan imej Bersatu selain faktor kesihatan dan usia TS Muhyiddin, tiadanya calon pengganti berwibawa bagi menerajui Bersatu dan kurangnya sokongan akar umbi Melayu dan Bumiputera.
Satu lagi kelompongan dalam Bersatu adalah TS Muhyiddin selaku Presiden parti tidak ke hadapan dalam peranan politiknya. Beliau tidak dilihat sebagai komander politik kerana ia lebih aktif dilakukan oleh DS Azmin dan Dato Seri Hamzah Zainudin.
Realitinya hari ini keadaan tidak memihak kepada Bersatu di sebalik diterajui Presiden parti itu dan jawatan utama kabinet yang dikuasainya.
Tidak banyak pilihan yang ada pada Bersatu melainkan jika TS Muhyiddin mengambil langkah drastik bagi menyelamatkan kedudukan parti itu pada PRU-15.
Apakah langkah drastik itu dan bersediakah beliau… termasuk melakukan pengorbanan sebenar demi rakyat?
Oleh Zamani Zaman