PUNCA DUA AHLI PARLIMEN PKR MELOMPAT PARTI

353
SHARES
1.1k
VIEWS

Oleh Isham Jalil

Pada hari ini Ahli Parlimen Julau Larry Sng dan Ahli Parlimen Tebrau Steven Choong, kedua-duanya daripada PKR mengumumkan untuk keluar parti.

Khabar mengatakan bahawa kedua-dua Ahli Parlimen ini kini mengalih sokongan kepada Tan Sri Muhyiddin dan PPBM dalam kerajaan Perikatan Nasional. 

Langkah dua Ahli Parlimen PKR itu melompat parti bagi menyokong Muhyiddin hari ini tentunya didorong oleh keadaan terdesak Perdana Menteri dan kuncu-kuncunya untuk mengekalkan kuasa dengan membuat apa sahaja.

Memandangkan DYMM Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong telah menitahkan bahawa Parlimen boleh dibuka semasa darurat atas nasihat Perdana Menteri, dan tiada sebab kukuh untuk Perdana Menteri menangguhkan persidangan ini, maka Muhyiddin tahu dia tidak lagi boleh mengelak daripada berhadapan dengan Ahli-ahli Parlimen dalam masa terdekat ini.

Oleh itu, sebelum Parlimen dibuka, Muhyiddin perlu sekurang-kurangnya mendapatkan majoriti mudah 112 Ahli Parlimen untuk menyokongnya daripada hanya 110 orang ahli Parlimen yang dia ada sekarang.

Jika tidak, tanpa majoriti, dia tidak akan ada keabsahan terutama dari segi moral untuk berbuat apa-apa di Parlimen termasuk mengarahkan Speaker untuk tidak membenarkan usul undi tidak percaya terhadapnya.

Dari dahulu kita telah lihat PPBM inilah yang telah menjadi punca ketidakstabilan politik di Malaysia dengan banyak kejadian lompat-melompat parti dan mandat rakyat dikhianati.

Sehingga hari ini mereka (PPBM) telah menyebabkan sekurang-kurangnya 25 Ahli Parlimen melompat parti, tidak termasuk dua Ahli Parlimen PKR yang melompat parti hari ini.

Selagi PPBM berkuasa, politik di Malaysia tidak akan stabil dan mandat rakyat akan sentiasa dikhianati untuk kepentingan diri serta pengekalan kuasa dan jawatan mereka.

Muhyiddin mungkin selamat hari ini dengan bantuan dua lagi Ahli Parlimen khianat dan pelompat parti untuk menambah lagi jumlah pengkhianat dalam PPBM dan PN.

Namun esok lusa belum tentu lagi.

Nasibnya akan ditentukan oleh rakyat dalam pilihan raya nanti.

Tiada siapa yang suka pengkhianat dan pelompat parti.

Rakyat tidak lagi menyokong mereka (PPBM) dan rakyat tidak suka dikhianati berulang kali.

Keadaan ekonomi, pengurusan wabak dan kebajikan rakyat juga semakin teruk di tangan mereka (PPBM).

Oleh itu lambat laun lebih ramai Ahli Parlimen akan menarik balik sokongan daripada Muhyiddin berbanding dengan yang berjaya ‘dipujuk’ melompat untuk menyokongnya.

Langkah terdesak PPBM ini hanya akan menyelamatkan mereka dengan sementara dan sedikit masa sahaja.

Mereka tidak lagi ada banyak masa kerana kifarah mengejar mereka.

28 Februari 2021

https://www.facebook.com/220524935369705/posts/926223558133169/?d=n

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts