MUHYIDDIN PERLU BUAT TIGA PERKARA YANG BETUL

354
SHARES
2.1k
VIEWS

Oleh Isham Jalil

Beberapa bulan lalu ada satu tinjauan (survey) dibuat di pantai Timur dengan 425 orang responden yang menyatakan bahawa Perdana Menteri Muhyiddin popular dengan 58 peratus tahap sokongan.

Hari ini suatu tinjauan dari satu institusi kajian (IDE) mendapati bahawa daripada 8,352 responden yang ditanya, hanya 1,587 atau 19 peratus sahaja yang mahu Muhyiddin kekal sebagai Perdana Menteri sehingga habis penggal, dan lebih 80 peratus responsen mahu Parlimen dibubarkan untuk pilihan raya.

Kajian yang dibuat oleh Universiti Utara Malaysia baru-baru ini mendapati bahawa daripada 608 responden yang ditanya tentang Perdana Menteri pilihan mereka menjelang PRU-15, hanya 61 orang atau 10.2 peratus menjawab mahukan Muhyiddin, dan hampir 90 peratus mahukan orang lain sebagai Perdana Menteri.

Kelmarin tinjauan yang dibuat oleh Utusan Malaysia ke atas 27,277 responden mendapati hanya 1,487 atau 5 peratus sahaja responden mahu Muhyiddin sebagai Perdana Menteri.

……..

Tan Sri Muhyiddin perlu menerima hakikat bahawa rakyat telah menolak beliau sebagai Perdana Menteri akibat kegagalan beliau dan kerajaan PN menangani wabak COVID-19 dan mengendali ekonomi yang semakin buruk kini.

Jika beliau kisah dengan kepentingan rakyat dan tidak hanya mementingkan kuasa dan diri sendiri, beliau perlu mengambil tiga langkah berikut:

PERTAMA, membuka Parlimen untuk bersidang dengan secepat mungkin supaya proses semak imbang dapat dilaksanakan ke atas penentuan dan pelaksanaan dasar-dasar kerajaan.

KEDUA, akur kepada titah SPB YDP Agong untuk menghentikan berpolitik dalam tempoh wabak.

Contoh utama ‘berpolitik’ dalam tempoh wabak ini ialah apabila Perdana Menteri atau parti beliau cuba ‘memujuk’ Ahli-ahli Parlimen melompat parti untuk menyokongnya dalam tempoh darurat di kala sokongan ke atasnya goyah.

Tempoh darurat ini tidak sepatutnya digunakan untuk mengukuhkan kedudukan politiknya melalui lompat parti di kala kes COVID semakin meningkat.

KETIGA, membenarkan usul undi percaya (atau tidak percaya) dibawa ke atasnya apabila Parlimen dibuka kelak untuk menguji keabsahan sebenar yang diperolehnya sebelum beliau menentukan dasar-dasar dan halatuju kerajaan serta menggunakan sumber-sumber (jentera dan kewangan) kerajaan yang memerlukan keabsahan sebagai Perdana Menteri di Parlimen dengan majoriti.

……..

Saya pasti Muhyiddin tidak berani untuk membuat ketiga-tiga perkara di atas pada masa ini.

Kenyataannya bahawa dia akan membubarkan Parlimen “apabila wabak COVID” reda amatlah subjektif dan tergantung kerana wabak ini boleh berterusan selama beberapa tahun lagi dengan program vaksinasi yang lambat dengan Perdana Menteri yang tidak ada motivasi untuk menyelesaikannya.

Ini memandangkan lebih lama wabak ini berterusan, lebih lama Parlimen tidak perlu dibubar dan lebih lama Muhyiddin boleh terus berkuasa.

Kerajaan Malaysia hari ini diterajui oleh seorang Perdana Menteri yang mengetuai parti di mana 25 (atau 80 peratus) daripada 31 ahli-ahli Parlimennya adalah pelompat parti dan pengkhianat mandat rakyat.

Malaysia tidak akan selamat di tangan mereka ini.

Sebab itu kita perlu tukar mereka ini segera.

2 Mac 2021

https://www.facebook.com/220524935369705/posts/927449561343902/?d=n

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts