Kenyataan penuh Astro AWANI yang tersalah lapor bahawa “mahkamah mendapati” kononnya wujud pengeluaran dan kemasukan sejumlah wang yang besar ke akaun yang melibatkan Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, sedangkan apa yang berlaku ialah “mahkamah hanya dimaklumkan” mengenai dakwaan tersebut.
Kesilapan sebesar ini tidak sepatutnya dilakukan oleh sebuah konglomerat media yang besar dan ternama apatah lagi apabila ia melibatkan seorang tokoh dan bekas pemimpin negara. Jika lebih banyak pihak media hanya ‘melontarkan’ berita seperti ini tanpa menyemak fakta sebenar seperti Astro AWANI kerana tanpa disedari ia dipercayai dan disebarkan oleh orang ramai, maka ia bukan sahaja menjadi agen penyebaran fitnah dan berita palsu, tetapi juga boleh menimbulkan kebencian dan kemarahan orang ramai terhadap mangsa.
Rakyat negara ini perlu diajar kembali mengenai nilai dan etika antara ‘apa’ dan ‘siapa’ iaitu jika perkara tersebut tidak benar maka jangan dihebahkan walaupun si pengutaranya atau individu yang menghantarnya disukai. Sama juga jika perkara tersebut benar tetapi diutarakan atau dihantar oleh individu yang tidak disukai, ia tetap tidak mengubah hakikat perkara tersebut tetap benar, betapapun kita tidak suka mengenainya.
Semoga selepas ini semua pihak media tanpa mengira ternama ataupun media ‘independent‘ termasuk blogger adalah diharapkan dapat menyemak fakta terlebih dahulu sebelum disebarkan. Jika tidak pasti adalah lebih baik ia tidak disebarkan sehingga dapat disahkan.
Berikut merupakan kenyataan penuh Astro AWANI memohon maaf kepada Datuk Seri Zahid;
….
Kami merujuk kepada klip video infografik yang bertajuk “Kronologi Siasatan dan Pendakwaan Terhadap Zahid Hamidi” yang disiarkan pada 9 Mac 2021 di saluran Astro AWANI.
Pada segmen waktu (minit) ke-0:58-1:05 yang melaporkan prosiding-prosiding mahkamah yang telah dijalankan pada 4 Mac 2021, kami menerbitkan perkataan-perkataan:
“Mahkamah Tinggi mendapati terdapat pengeluaran dan kemasukan jumlah wang yang besar ke akaun syarikat membabitkan Ahmad Zahid tanpa aktiviti perniagaan.”
Sebenarnya, penerbitan tersebut sewajarnya merujuk kepada fakta bahawa mahkamah dimaklumkan mengenai dakwaan-dakwaan tersebut, bukan membuat keputusan mengenai dakwaan-dakwaan tersebut.
Kesilapan yang tidak sengaja ini adalah dikesali dan tiada niat untuk salah lapor prosiding tersebut. Kesilapan tersebut bersifat jujur.
Video itu telah dipadamkan dengan segera pada 10 Mac 2021 selepas kami mendapati kesilapan tersebut.
Kami dengan seikhlasnya dan sesungguhnya MEMOHON MAAF kepada Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi atas kekhilafan penerbitan tersebut.
Penerbitan itu berkemungkinan telah menyampaikan suatu cadangan bahawa suatu keputusan telah dibuat oleh mahkamah mengenai dakwaan-dakwaan yang dikenakan terhadap Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Kami secara tegas menyatakan bahawa tiada keputusan telah dibuat oleh mahkamah.
Tiada sangkaan negatif berkenaan dengan nama atau reputasi Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi adalah diniatkan.
Kenyataan di atas boleh dirujuk di pautan; https://www.google.com/amp/s/www.astroawani.com/berita-malaysia/astro-awani-mohon-maaf-kepada-datuk-seri-ahmad-zahid-hamidi-290815%3famp=1