Keadaan ekonomi negara sedang tenat. Pertumbuhan ekonomi negara masih negatif di paras -5 peratus, lebih teruk dari kebanyakan negara-negara jiran.
Kadar pengangguran Malaysia juga tinggi berbanding negara-negara lain. Hari ini hampir 800,000 orang tidak ada kerja atau telah hilang pekerjaan di Malaysia.
Pelabur-pelabur juga tidak mahu melabur di Malaysia dalam tempoh darurat.
Aliran modal negara masih negatif sejak 8 suku tahun sebelum ini. Lebih banyak modal yang keluar Malaysia berbanding yang masuk.
Sementara itu kerajaan terus berhutang, dengan hutang negara di paras 62 peratus daripada saiz ekonomi (KDNK) dan telah melebihi had yang ditetapkan iaitu pada 60 peratus.
Hutang negara kini adalah RM879 billion, sedikit hari lagi akan mencapai RM1 trillion walaupun Menteri Kewangan berdolak-dalik berkenaan hal ini.
Selepas setahun, wabak COVID-19 di Malaysia juga tidak semakin baik malah kadar kebolehjangkitan (R-Naught) di Malaysia naik semula ke paras 0.94 semalam dan kadar jangkitan harian masih lagi melebihi seribu rakyat sehari.
Namun demikian, sebaliknya kadar vaksinasi negara adalah lebih rendah berbanding negara-negara lain di kadar 0.01 rakyat setiap 100 orang sehari, atau 1 orang setiap 10,000 rakyat setiap hari, berbanding 4 orang di Indonesia dan 26 orang di Singapura setiap 10,000 rakyat mereka setiap hari.
Di Selangor, negeri yang paling teruk dilanda COVID-19, hanya 1 dalam setiap 1,000 rakyat telah divaksin sehingga kini; Setiap 1 rakyat yang divaksin, ada 999 lagi yang terdedah.
Kerajaan juga bercadang untuk membenarkan rakyat merentas negeri untuk balik kampung menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri pada bulan Mei ini untuk ziarah ibubapa dan orang-orang tua di kampung.
Namun 90 peratus daripada hampir 10 juta orang-orang tua melebihi umur 60 tahun di Malaysia belum lagi didaftar untuk divaksin, jauh sekali memperoleh imuniti atau bebas dari virus COVID-19.
Apa akan jadi apabila berjuta-juta orang dari bandar-bandar besar yang mempunyai kadar COVID-19 yang tinggi ini pulang ke kampung berjumpa beratus-ratus ribu orang-orang tua yang hampir semuanya berisiko tinggi?
Adakah selepas itu jika atau apabila kadar COVID-19 naik semula kerajaan akan mengenakan PKP semula dan melanjutkan darurat lagi?
Jika begini, bilakah kitaran ini akan tamat? 2023?
Akta untuk membolehkan pengundi-pengundi berumur 18 tahun untuk mengundi yang telah diluluskan sebulat suara oleh Parlimen hampir dua tahun lalu pada bulan Julai 2019 ditangguhkan perlaksanaan sehingga tahun depan walaupun kerajaan telah berjanji sebelum ini untuk melaksanakannya selewat-lewatnya pada Julai 2021.
Pelbagai alasan diberikan oleh kerajaan.
Sambil itu demokrasi tercabul, Parlimen masih ditutup dan proses semak imbang kerajaan terkekang.
Oleh itu kita dan Ahli-ahli Parlimen tidak boleh tanya kerajaan, Perdana Menteri dan Menteri-menteri apa yang sedang berlaku kini atau menegur mereka di Parlimen.
Mereka (Perdana Menteri dan Menteri-menteri) boleh berbuat sesuka hati dengan tidak banyak kekangan untuk mengekalkan kuasa mereka walaupun mereka tentunya tahu negara sedang terumbang-ambing dan teruk sekali di tangan mereka.
Antara mereka juga ada yang langgar SOP berkali-kali tetapi tidak diambil tindakan dan tidak dikompaun tetapi rakyat ramai yang dikenakan kompaun beribu-ribu ringgit malah ada yang kena RM10,000.
Semakin hari keadaan menjadi semakin teruk di Malaysia. Setiap hari kita tunggu setiap hari semakin ramai rakyat yang sengsara, hilang kerja, tidak makan, dijangkiti COVID-19 atau mati.
Sebab itu keadaan dan kerajaan hari ini tidak boleh dibenarkan berterusan.
Sesuatu perlu dibuat untuk mengubah keadaan ini.
Jika kita perlu tukar kerajaan supaya nasib rakyat lebih terjaga dan menjauhkan mereka dari mudarat, maka itu wajib dibuat dengan mengenepikan kepentingan jawatan dan diri sendiri yang walaupun secara naluri ingin dikekalkan dengan apa cara sekalipun.
Nasib rakyat adalah lebih penting daripada jawatan Menteri dan Perdana Menteri.
31 Mac 2021
https://www.facebook.com/220524935369705/posts/945641356191389/?d=n