GAGAL RAIH KEPUTUSAN 6-0, MAHIADDIN WAJAR LETAK JAWATAN

380
SHARES
2.2k
VIEWS

SURAT PEMBACA | Sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) dijalankan serentak semalam, kita melihat betapa angkuhnya pimpinan Perikatan Nasional terutamanya Tan Sri Mahiaddin Yassin mengeluarkan kenyataan bahawa Gelombang Hijau mereka mampu memperoleh keputusan 6-0 di enam negeri tersebut.

Sungguhpun begitu, keputusan mengecewakan berlaku di mana Gelombang Hijau berjaya dipatahkan oleh majoriti rakyat yang masih rasional dan cintakan kestabilan serta kemakmuran negara. Menatijahkan Perikatan Nasional hanya mampu mengekalkan penguasaan di tiga negeri sendiri sahaja iaitu di Kelantan, Terengganu dan Kedah.

Kekecewaan Mahiaddin, Haji Hadi dan Perikatan Nasional ini berterusan di tiga negeri lain terutamanya di Selangor yang amat didambakan oleh mereka untuk dijadikan ‘markas’ terbesar dan terkaya Perikatan Nasional, dengan Azmin menjadi Menteri Besarnya, namun terbantut di tengah jalan. Umpama anak muda yang bermimpi enak di malam hari namun terjaga kerana terkencing di atas katil.

Lebih teruk beliau bukannya mahu bertanggungjawab dan meletakkan jawatan tetapi meminta pula Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri meletakkan jawatan walaupun jelas beliau sendiri yang gagal membawa Perikatan Nasional menang 6-0 di PRN semalam. Rujuk pautan di; https://editormalaysia.com/31545/

Sudahlah angkuh dan over confident tetapi tidak mahu bertanggungjawab pula. Jelas ini bukanlah sikap pemimpin yang baik serta boleh dicontohi. Sama seperti perlakuan buruknya mengisytihar darurat dan ingkar titah YDP Agong, rakyat dikurung lama tiada pendapatan sehingga tertekan dan ada yang mati membunuh diri.

Lebih teruk wang rakyat disakau di belakang rakyat untuk diagih-agihkan kepada anak menantu dan kaum keluarga sendiri sehingga menjadi Kluster Mahkamah. Ada juga rakyat terpaksa mengangkat bendera putih meminta bantuan sesama jiran namun itupun disindir oleh pimpinan PAS yang tidak berhati perut. 

Kesimpulannya, pemimpin-pemimpin dan penyokong-penyokong Perikatan Nasional sepatutnya menuntut Mahiaddin dan Haji Hadi bertanggungjawab atas kegagalan mereka serta berundur diri kerana “cakap besar” kononnya mampu memperoleh keputusan 6-0 dan menumbangkan kerajaan. 

Rakyat yang cintakan kestabilan dan kemakmuran juga wajib mendesak mereka ini meletakkan jawatan dan beri laluan kepada pimpinan baru yang tidak ekstrem dan angkuh serta peduli dengan nasib rakyat, bukannya memilih pemimpin jenis yang tidak kisah rakyatnya terpaksa gali telaga sendiri.

Cukup-cukuplah beri mereka ini kepercayaan dan mandat memerintah negara, kitapun tidak mahu budaya ekstrem dan taksub tidak menentu akhirnya menjadi barah di negara ini.

Hisham Jamaluddin, Cyberjaya

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts