10 PERKARA UNTUK SELAMATKAN MUHYIDDIN, BERSATU DAN PERIKATAN NASIONAL

136
SHARES
439
VIEWS

Apa perkara yang perlu dilakukan bagi membantu memulihkan imej kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. 

Langkah yang digariskan secara ringkas ini bukan sahaja dapat membantu kerajaan PN khususnya Bersatu malah mengekang terhakisnya keyakinan terhadap Institusi Raja.

Langkah Muhyiddin dan kerajaan PN mengheret Yang Di-Pertuan Agong dalam beberapa keputusan kerajaan yang bertentangan dengan demokrasi ternyata kesilapan besar.

Sekiranya kerajaan Perikatan Nasional karam dan tumbang tidak mengapa tetapi tidak sewajarnya menjerumuskan Institusi Raja kepada penolakan dan kebencian rakyat. Sentimen ini makin meluas dan dikhuatiri diambil kesempatan oleh pihak-pihak yang sememangnya mahu menjadikan Malaysia negara republik.

Perkembangan terbaru ini telah mendedahkan Institusi Raja terutama Istana Negara kepada pelbagai tohmahan termasuk tuduhan berkaitan pemberian beberapa kontrak dan projek besar oleh kerajaan Perikatan Nasional. 

Apakah langkah-langkah yang wajar diambil jika mahu kerajaan hari ini terus bertahan dengan lebih stabil dan meyakinkan?

PERTAMA. Menamatkan segera pelaksanaan darurat dan membenarkan semula persidangan Parlimen bagi memulihkan demokrasi.

KEDUA. Meneruskan pelaksanaan Undi-18 pada PRU-15 seperti yang telah diluluskan di Dewan Rakyat. Mengkhianati dan mengorbankan orang muda demi kepentingan politik adalah jalan mati kepada demokrasi.

KETIGA. Menghentikan segera penganiayaan dan kezaliman ke atas musuh-musuh politik Muhyiddin dan Bersatu (yang pernah menjadi sebahagian daripada kerajaan PH selama 22 bulan). Terutamanya dalam menyalahgunakan kuasa dengan menjadikan SPRM, LHDN dan pendakwaan mahkamah secara terpilih sebagai senjata politik.

KEEMPAT. Mengambil tindakan ke atas Menteri Kanan, Datuk Seri Azmin Ali yang terlibat dalam skandal liwat yang menggemparkan negara. Kegagalan Muhyiddin mengambil tindakan ke atas Azmin akan terus menjadikan beliau sebagai liabiliti besar.

Ketika Muhyiddin berbangga tidak mahu campur tangan dalam urusan pendakwaan terpilih (atas konspirasi politik PH termasuk beliau dan Bersatu) kononnya demi integriti, beliau kelihatan melindungi Azmin Ali tanpa rasa malu dan bersalah.

KELIMA. Dalam hubungan ini, Azmin Ali perlu keluar daripada Bersatu dan menubuhkan parti baru yang boleh bergabung di bawah PN. Langkah ini bertujuan untuk menjaga imej, integriti dan moral Bersatu agar dapat diterima oleh umat Islam sebagai parti masa depan yang bersih dan berakhlak.

Selagi Azmin berada dalam Bersatu apatah lagi sebagai orang nombor dua dalam parti itu, selagi itu Bersatu dipandang jijik oleh majoriti Melayu sebagaimana ke atas PKR yang diketuai Dato Seri Anwar Ibrahim. Sebab itu, usaha menambah keahlian Bersatu tidak mendapat sambutan bahkan ramai meninggalkan parti itu dalam diam. Lebih-lebih lagi ramai yang tidak mempercayai pemimpin kanan Bersatu seperti Dato Seri Hamzah Zainuddin. Selain Muhyiddin, Azmin dan Hamzah termasuk dalam senarai teratas pemimpin politik paling dibenci oleh rakyat Malaysia.

KEENAM. Perdana Menteri perlu tampil meminta maaf kepada rakyat Malaysia atas prestasi buruk terutama dalam pengurusan ekonomi sehingga rakyat melihat kerajaan yang ada sekarang sebagai gagal. Sebaliknya prestasi ekonomi kerajaan begara-negara jiran termasuk Indonesia, melonjak.

Bukan itu sahaja. Beliau juga perlu memohon maaf atas pelbagai kelemahan dan kegagalan lain termasuk pengurusan Covid-19 serta program vaksinasi nasional. Jika tidak mahu memohon maaf, beri penjelasan menyeluruh yang boleh memuskan hati rakyat. Strategi berdiam dan menyorok akan memburukkan keadaan. Ini meliputi isu harga pembelian vaksin yang dikatakan masih misteri kerana terlalu mahal berbanding kebanyakan negara. Itu belum menyentuh beberapa kes kematian penerima vaksin dan puluhan kes positif wabak itu meskipun telah menerima suntikan dos lengkap. Tiada penjelasan yang meyakinkan setakat ini, yang ada sekadar kenyataan, reaksi dan komen ringkas menteri berkenaan dan Ketua Pengarah Kesihatan.
KETUJUH. Muhyiddin juga harus berani tampil memberikan jawapan dan penjelasan kepada beberapa isu melibatkan tuduhan ke atas dirinya dan keluarga termasuk menantu beliau. Apatah lagi terdapat tuduhan-tuduhan yang amat serius terutama melibatkan skandal dan isu tersebut telahpun berlegar di media sosial. Sebagai ketua kerajaan beliau tidak boleh menutupnya begitu sahaja kerana ia makin menjadi isu liabiliti yang besar kepada Bersatu pada PRU-15 nanti. Pada masa yang sama, Muhyiddin perlu diberi keadilan untuk mempertahankan dirinya menerusi penjelasan dan jawapan beliau dalan isu-isu berkenaan.

KELAPAN. Perdana Menteri mesti mengambil langkah segera membetulkan kesilapan dan kelemahan beliau yang menyebabkan popularitinya merudum. Daripada hal-hal yang mungkin dianggap kecil hinggalah kepada hal besar. Antaranya tabiat beliau suka meletakkan kedua-dua tangan bersilang di belakang ketika berurusan dengan pembesar negara lain mahupun ketika meninjau rakyat di bazar Ramadan. Ini biasanya ditafsir sebagai simbol kesombongan.

Begitu juga dengan air muka yang selalunya tegang, sukar melemparkan senyuman dan begitu serius. Kunjungan dan tinjauan ke atas rakyat, hambar dan tidak menerima sambutan. Antara isu yang beliau perlu memohon maaf adalah penggunaan nama glamornya Muhyiddin, pelaksanaan darurat, penangguhan undi 18 tahun, isu menantu terlibat kontrak besar kerajaan, ramai pelabur utama lari ke negara lain dan mengheret Yang Di-Pertuan Agong ke kancah politik PN.

KESEMBILAN. Merombak kabinetnya segera dengan menggugurkan menteri-menteri yang lemah prestasi. Begitu juga dengan unit media di pejabat Perdana Menteri yang ternyata gagal berperanan secara berkesan dalam banyak bidang komunikasi dengan rakyat. Lebih banyak perbelanjaan mengalir untuk pengiklanan termasuk dalam kempen melawan Covid-19 dan kempen vaksin tetapi tidak berkesan. Pendaftaran rakyat bagi program vaksin masih amat rendah. Antara puncanya strategi pengiklanan yang sterotaip dan tidak kreatif.

Jentera komunikasi kerajaan PN amat lemah dan bercelaru yang tanggungjawab ini harus dipikul sama oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifudin Abdullah.

Organisasi media yang dikawal kerajaan seperti Bernama dan RTM kelihatan lesu dalam membela dan melonjakkan imej Perdana Menteri serta kerajaan PN. Banyak isu yang gagal ditangkis oleh media berkenaan walaupun ia sebenarnya mudah.

Begitu juga dengan media arus perdana seperti TV3, BH, NST, Utusan, Sinar dan Star yang tidak lagi menjadi sandaran rakyat yang kini beralih kepada media sosial. Penubuham organisasi media, JKOM untuk menjayakan agenda politik tidak berkesan disebabkan banyak isu tertunggak. Antaranya perebutan beberapa pihak dalam Bersatu untuk menguasai JKOM, kelemahan struktur, para petugas kurang berpengalaman dan isu kebocoran banyak maklumat dalaman. Selain itu, JKOM terlalu menjaga kepentingan Bersatu sehingga mengabaikan kepentingan parti-parti lain dalam PN termasuk PAS. 

KESEPULUH. Menangani segera penolakan para penjawat awam termasuk frontliners terhadap kerajaan. Para penjawat awam seperti guru, polis dan tentera kini lebih menyokong tokoh lain sebagai pemimpin harapan mereka berbanding Muhyiddin.

Yang paling popular dalam kalangan penjawat awam adalah bekas Perdana Menteri, Dato Seri Najib Tun Razak. Ini diikuti dengan Tengku Razaleigh Hamzah, Dato Seri Mohamad Hasan, Tun Mahathir Mohamad, Dato Seri Anwar Ibrahim dan Dato Seri Ismail Sabri.

Jika kesemua 10 perkara ini tidak diatasi dan tangani segera, bukan sahaja rating Muhyiddin akan terus merudum malah Bersatu dan kerajaan PN akan bakal tersungkur pada PRU15 atau dijangka lebih awal daripada itu.

Beliau akan tercatat sebagai Perdana Menteri paling singkat selain peneraju kerajaan paling teruk dalam sejarah negara iaitu mengatasi rekod kerajaan PH. Yang hanya pasti, Muhyiddin akan dikenang sebagai ‘Perdana Menteri perutusan khas’ yang menjadi bahan sinikal rakyat. Maka bertindaklah sebelum terlewat.

Oleh Zamani Zaman

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts