Oleh Shahril Hamdan
1. Ramai pihak yang sentiasa memerhati perjalanan mesyuarat MKT, sepertimana juga liputan meluas berkenaan PAU.
2. Apapun spekulasi di luar sana, keputusan diambil atas semangat musyawarah dan bijaksana bagi memperjuang agenda rakyat dan parti. Dan apabila bercakap agenda partipun, ia bukan atas pertimbangan kepentingan pemimpin atau ahli parti semata-mata, tetapi juga kerana kita percaya kepimpinan oleh UMNO adalah yang terbaik untuk Malaysia.
Apatah lagi dengan segala pembuatan dasar setelah melihat 22 bulan PH dan 14 bulan PN yang menimbulkan keresahan rakyat – antara lain seperti yang digariskan dalam kenyataan rasmi Setiausaha Agung UMNO.
3. Dalam mesyuarat tadi, ketetapan PAU 2020 dijulang, dan hasrat untuk mengembalikan mandat kepada rakyat sejurus setelah situasi Covid-19 terkawal tetap menjadi keutamaan.
4. Tetapi semua ini menjadi tergendala selagi Parlimen ditutup dan darurat menjadi penghalang kepada proses semak dan imbang.
Jangankan soal membuktikan keabsahan majoriti Kerajaan PN, sedangkan bersidangpun tidak.
Jangankan hendak melulus perbelanjaan, sedangkan bersidangpun tidak.
Jika ada hujah mahu mengadakan pilihan raya kelak sebagai jalan keluar dari kemelut politik, itupun tidak mampu berlaku selagi Parlimen tak bersidang dan darurat terpakai.
5. Maka, antara keputusan utama mesyuarat tadi sepertimana terkandung dalam kenyataan rasmi – menggesa agar Parlimen dan DUN dibuka terlebih dahulu supaya demokrasi boleh dikembalikan ke tempat asalnya.
6. UMNO percaya selagi demokrasi berparlimen tergendala, selagi prinsip akauntabiliti dikesampingkan, selagi itulah pelabur menjauhi, selagi itulah ekonomi hambar, akibat pembuatan dasar negara tidak terurus seperti sedia kala.
7. Sebarang ketetapan berkenaan kelangsungan pembabitan UMNO dalam Kerajaan Perikatan Nasional pula akan diputuskan atas semangat musyawarah.
Apabila keputusan itu diambil, MKT yakin bahawa semua ahli parti termasuk yang menjadi anggota Kerajaan hari ini akan mematuhinya, sekaligus mempamerkan kesatuan tindakan dalam parti.
8. Dalam hal pemilihan parti, sekali lagi UMNO mengambil pendekatan komprehensif dan berhikmah yang memeriksa segala sudut sebelum menetapkan sebarang tarikh.
MKT memutuskan untuk mendapat panduan dari pihak berwajib berkenaan kaedah terbaik, mengambil kira kekangan SOP Covid-19.