MENTERI DAN PEMIMPIN PERLU JAGA SOP LEBIH KETAT

360
SHARES
2.1k
VIEWS

Oleh Isham Jalil

Semalam tular suatu gambar yang telah diposkan oleh seorang Menteri Azmin Ali di Facebook-nya pada Hari Raya menunjukkan dia meraikan Hari Raya Aidilfitri bersama keluarga termasuk anak cucunya.

Mengikut SOP, rakyat dilarang menziarah dan merentas daerah dan negeri untuk menyambut Hari Raya.

Sambutan dan ziarah hanya dibenarkan untuk ahli keluarga yang duduk satu rumah (atau satu bumbung sahaja).

Ramai rakyat rata-ratanya patuh akan arahan dan SOP ini dan tidak menziarah walaupun ke jiran sebelah rumah.

Setelah melihat gambar yang dipos oleh Azmin tersebut, tentunya rakyat dan netizen mempersoal adakah Azmin dan keluarganya mengikut SOP dan adakah semua dalam gambar tersebut duduk serumah?

Adik kepada Azmin Ali iaitu Umi Hafilda turut mempersoalkan hal ini dalam Facebook-nya di mana setahu beliau tidak semua ahli keluarga Azmin dalam gambar tersebut duduk sebumbung dengannya.

Ada 10 orang dalam gambar itu dan mengikut laporan, kejadian telah berlaku di kediaman rasmi Menteri Azmin Ali di Presint 10, Putrajaya, iaitu kediaman ramai menteri-menteri termasuk kediaman rasmi Perdana Menteri, dan kediaman pegawai-pegawai tinggi kerajaan.

Mengikut laporan akhbar, polis telah menerima laporan dan akan memanggil Azmin untuk memberi keterangan.

Polis juga menyatakan, siasatan awal menunjukkan yang berdasarkan keterangan pengawal keselamatan kediaman Azmin, tiada pergerakan masuk atau keluar dari kediaman tersebut “pada hari kejadian (Hari Raya)“.

Polis perlu (dan mungkin sedang menyiasat secara lanjut) adakah benar semua orang di dalam gambar tersebut duduk sebumbung dengan Azmin di Putrajaya?

Atau adakah mereka sebenarnya tinggal di tempat lain atau di luar daerah dan masuk sebelum Hari Raya dan tidur di rumah Azmin pada malam sebelum untuk menziarah pada Hari Raya?

Sebab jika ini berlaku, maka walaupun tiada pergerakan masuk keluar pada hari tersebut, pelanggaran SOP tetap berlaku kerana rentas daerah dan orang yang tidak tinggal serumah telah menziarah raya walaupun mereka masuk pada malam sebelumnya.

Azmin dan ahli keluarganya yang terlibat perlu jawab ini dan membuat kenyataan untuk memperjelaskan fakta sebenar bagi mengelakkan spekulasi pelbagai pihak mahupun fitnah terhadap mereka jika ia tidak benar.

Seperkara lagi, sebagai Menteri atau selebriti dan ‘public figure‘, mereka sepatutnya perlu menjaga SOP lebih ketat daripada orang lain.

Malah apa-apa tindakan yang boleh mendatangkan waima persepsi perlanggaran SOP oleh merekapun perlu dijauhkan dan dielakkan.

Ini kerana menteri-menteri ini adalah pemimpin yang sepatutnya menjadi contoh teladan kepada rakyat.

Tambahan lagi jika perlanggaran SOP dilihat berlaku di kediaman atau premis rasmi kerajaan.

Dan lebih-lebih lagi dalam kes ini apabila Azmin Ali sendiri adalah salah seorang ahli majlis mesyuarat khas MKN.

Jika menteripun dilihat melanggar SOP maka ia menghakis keyakinan rakyat kepada SOP tersebut dan kepada undang-undang.

Dan jika menteri itu lepas begitu sahaja maka penguatkuasaan undang-undang dilihat tidak adil (double standard).

Undang-undang yang tidak diyakini dan dilihat tidak adil akan sukar dipatuhi oleh rakyat.

Ini akan lebih menyukarkan penguatkuasaan oleh petugas benteng hadapan atau front-liners serta menurunkan keberkesanan undang-undang dan SOP tersebut.

Apabila ini berlaku, maka mungkin sampai bilapun wabak ini tidak akan terkawal dan akan berleluasa seperti sekarang dan kitaran PKP akan berterusan dan berpanjangan di negara ini.

Sebab itu menteri-menteri ini perlu jaga SOP dan mengikut undang-undang dengan lebih baik berbanding rakyat dan jika menteri-menteri ini langgar SOP tindakan yang lebih tegas perlu diambil.

Saya harap pihak berkuasa akan menjalankan tugas dan mengambil tindakan yang sepatutnya dengan amanah dan profesional mengikut lunas undang-undang tanpa takut atau terhutang budi.

https://www.facebook.com/220524935369705/posts/973417196747138/?d=n

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts