Abdul Rahim Hilmi Zakariya
Tidak betul kalau kata kerajaan tidak boleh bagi moratorium automatik atas alasan kerajaan tidak memiliki bank. Ini sangat salah in so many level
Pertama, kerajaan memang memiliki bank melalui GLC atau GLIC. Contohnya Tabung Haji, KWSP, PNB dan KWAP memiliki 82 peratus Bank Islam. Khazanah memiliki 30 peratus Bank Muamalat. PNB, KWSP dan KWAP memiliki 62 peratus Maybank dan 62.1 peratus CIMB Bank.
Perubahan kepada struktur pemilikan bank ini kebanyakannya bermula selepas Pak Lah dilantik sebagai Perdana Menteri ke-5. Dan Datuk Seri Najib pula kembangkan polisi tersebut untuk menjadikan GLC dan GLIC sebagai pemegang kekayaan negara.
Sebab apa GLC berebut memasuki industri perbankan? Sebab bisnes yang tidak akan rugi adalah bisnes bank.
Kedua, kerajaan ada kuasa penuh untuk arah bank bagi moratorium. Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 jelas memberikan kuasa kepada Menteri Kewangan dan Bank Negara bagi memperbaharui lesen perbankan.
Dan apa-apa syarat termasuk arahan pemberian moratorium boleh diberikan sebelum pembaharuan lesen diluluskan.
Awal 1980-an, Tengku Razaleigh (Menteri Kewangan) pernah arahkan semua bank bagi pinjaman mikro tanpa cagaran kepada peniaga kecil. Kena bagi pinjaman ikut kuota. Kalau gagal bagi pinjaman, kerajaan akan denda.
Akhirnya ada 2 bank kecil tidak mahu ikut dan bank tersebut didenda. Bank lain buat belaka.
Benda-benda ini semua tidak payah pinda Ordinan Daruratpun. Undang-undang sudah tersedia.
Kerajaan perlu tahu bagaimana hendak seimbangkan antara rayuan rakyat dan kehendak bank. Beri moratorium automatik walaupun baik, tetapi akan beri kesan juga kepada rakyat pada akhirnya.
Contoh katalah Bank Islam mengalami penurunan keuntungan sebanyak RM1 bilion sebab bagi moratorium automatik. Maka Tabung Haji yang memiliki 54 peratus Bank Islam secara teorinya juga akan hilang RM540 juta keuntungan.
Tidak dapatlah bagi hibah tinggi tahun ini.
Moratorium memang lebih baik dibuat secara bersasar. Itupun sudah cukup. Tidak perlu lagi sampai berkali-kali nak benar rakyat korek Tabung KWSP
Itu biarlah menjadi pilihan paling akhir.
Cuma bagi moratorium ini, kerajaan perlu tegas tetapkan kriteria dan arah bank untuk ikut. Kriteria itu mesti ambil kira kesukaran rakyat di setiap peringkat.
Bukan setakat bergaji rendah, hilang kerja atau kurang pendapatan.
Jika bank tidak mahu ikut, maka kerajaan akan ambil tindakan. Bukannya kerajaan lepaskan kepada bank untuk nilai dan timbang.
Macam itu Mat Sabupun boleh jadi Menteri Kewangan.