Malaysia kini semakin tenat. Krisis Covid-19, politik, ekonomi dan tadbir urus negara. Apa kesudahannya? Entah! Parlimen digantung. “Parlimen maya” panas membahas, mencemuh, mengutuk dan tidak kurang juga menyebar berita palsu. Bukankah ini krisis?
Krisis kali ini lebih teruk daripada 13 Mei 1969. Darurat juga ketika itu. Hanya melibatkan isu perkauman. Kepimpinan ketika itu bijak dan mengutamakan kepentingan negara dan rakyat.
Alhamdulillah, fungsi MAGERAN berjaya menstabilkan negara. Rekod boleh diauta. Sejarah tetap menjadi fakta.
Bebal atau jahil kepimpinan sekarang? Cukuplah bermodalkan kepentingan fahaman parti yang bersifat perkauman, menunggang agama dan permainan persepsi memperjudikan rakyat dan negara.
Rakyat juga perlu menerima ‘habuan’ tempias kerana memilih mereka. Krisis politik, beberapa kerat pemimpin daripada dahulu sehingga sekarang masih orang yang sama ‘mencetus’ pergolakan. Sepatutnya mereka ini perlu direhatkan.
Pemimpin yang berpegang kepada ‘akidah’ politik “cash is king” dan “pemberi dedak” seharusnya ditolak tetapi sebaliknya merekalah idola politik. Sama sahaja, mahupun pemimpin kluster kerajaan atau pembangkang. Amalan “politik loncat” merupakan trend baru “politik toksid” yang dipelopori oleh “pemimpin fasik”.
Babak realiti drama politik yang sedang ditayangkan, rakyat masih belum fahamkah jalan ceritanya. Dalam PRU-15 nanti ‘peminat’ masih mahu memilih “artis politik” yang sama?
Pilihan di tangan anda!
Kerajaan sekarang, mempunyai ahli kabinet yang terbesar dalam sejarah. Emolumen yang tinggi tetapi tidak mempunyai keupayaan tadbir urus yang berkesan.
“Lebih banyak sudu daripada kuah”. Ada yang terlebih bijak sehinggakan menimbul kemarahan dan kebencian rakyat. Ini adalah gejala kelemahan peneraju utama dan negara yang akan memudaratkan jika berterusan begini.
Gagal membuat keputusan yang tepat dan tidak mengawal ahli kabinet yang membuat sesuka hati. Dalam darurat kes jangkitan Covid-19 dan kematian semakin meningkat.
Tidak ada pilihan lain, hanya MAGERAN wajib ambil alih tadbir urus negara untuk keluar dari kemelut krisis yang tidak berkesudahan. Demi untuk menyelamatkan rakyat dan negara terjerumus mudarat yang lebih parah.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong mempunyai kuasa sepenuhnya untuk menyelamatkan negara.
Terima kasih.
Oleh Hj Nasir Othman
Pengerusi Badan Perhubungan Parti PUTRA Pulau Pinang
ADT PUTRA Malaysia