REAKSI PUTRA TERHADAP PELAN PEMULIHAN NEGARA

420
SHARES
2.5k
VIEWS

KENYATAAN MEDIA PRESIDEN PUTRA

15 Jun 2021

1. Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin baru sahaja mengumumkan 4 Fasa Strategi Pelan Pemulihan Negara pada petang 15 Jun 2021, sehari sebelum perjumpaan Raja-raja Melayu pada 16 Jun 2021. Apa strateginya fikir-fikirlah sendiri. 

2. Pelan ini juga boleh diibaratkan sebagai “Pelan Talian Hayat” Perikatan Nasional untuk mengekalkan darurat dan dijangka Parlimen akan bersidang pada September atau Oktober tetapi dengan syarat-syarat tertentu. Darurat patut tamat pada 1 Ogos 2021 maka kenapa pula Parlimen dijangka bersidang pada bulan September atau Oktober? Sepatutnya awal September sudah boleh bersidang.

MALAH SEKARANGPUN PARLIMEN BOLEH BERSIDANG KERANA DYMM SPB YDP AGONG TELAHPUN BERI PERKENAAN UNTUK PARLIMEN BERSIDANG PADA FEBRUARI LEPAS. 

Rakyat tidak bodoh untuk berfikir permainan licik politik yang mempersendakan sistem demokrasi berparlimen di negara ini. Kalau dahan sudah rapuh, buat macamanapun, dahan tetap akan patah. Ikatlah dahan selagi boleh.

3. Mungkin benar ada yang mendakwa darurat kekal dan mahu dilanjutkan kerana mahu ‘bergayut’ pada kuasa kerana kerajaan telah hilang majoriti. Benjamin Netanyahu di Israelpun hilang jawatan Perdana Menteri hanya dengan satu undi sahaja. Bila kekal berkuasa di bawah darurat, banyak keputusan boleh dibuat tanpa proses semak dan imbang serta boleh ‘dinyahkan’ semua prosedur. Mudahlah lulus segala projek direct nego dan macam-macam lagi. Inilah yang menjadi dakwaan sesetengah pihak dan persepsi rakyat.

4. PUTRA tidak mahu memberi apa-apa reaksi atau ulasan terhadap rancangan Pelan Pemulihan yang diumumkan. PUTRA hanya mahu tunggu dan lihat keberkesanannya. Budaya kita belum apa-apa sudah puji melangit tetapi hasilnya belum ada. Atau mengecam secara tiba-tiba, tanpa beri peluang kepada pihak yang bertanggungjawab melaksanakannya.

Selalunya yang dikatakan sebagai good policy tetapi berakhir dengan kegagalan demi kegagalan yang sudah banyak berlaku sebelum ini. Keupayaan pelaksanaan adalah terburuk di Malaysia.

Tengok sahajalah program vaksinasi yang kelam-kabut dan pencapaiannya boleh dinilai sebagai gred ‘F’ sahaja namun belanjanya berpuluh juta. Seumpama bunyi guruh di langit tetapi hujannya tidak juga turun. Ayam berkokok tetapi hari tidakpun siang.

5. PUTRA tidak bercadang untuk memberi apa-apa cadangan, kecuali menggesa agar Parlimen bersidang segera. Biar Ahli-ahli Parlimen membuat cadangan serta semak dan imbang. Kalau bagi cadanganpun, bukan diberi perhatian. WIRA PUTRA sebelum ini telahpun menyuarakan 10 cadangan pasca Covid-19 tetapi tidakpun dipedulikan. 

6. Semoga perjumpaan Raja-raja Melayu pada 16 Jun ini menghasilkan kegembiraan untuk rakyat jelata. Keputusan yang akan dilihat sebagai RAJA BERDAULAT RAKYAT BERKAT.

Salam perjuangan rakyat.

PUTRA PERKASA NEGARA. 

Dato Paduka Dr Ibrahim Ali

Presiden PUTRA

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts