BENARKAN KEDAI BUKU, ALAT TULIS DAN KOMPUTER BEROPERASI – MPPK

118
SHARES
382
VIEWS

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) maklum mengenai pengumuman kerajaan pada 27 Jun 2021 untuk mengekalkan Fasa 1 Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana kes yang masih tidak menurun dan tidak memenuhi indikator yang telah ditetapkan oleh kerajaan.

Dalam pengumuman yang dikeluarkan oleh YB Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Menteri Kanan Pertahanan pada 27 Jun, beliau juga turut menyatakan berkenaan perluasan operasi bagi positif sektor yang antaranya merangkumi kebenaran untuk kedai buku dan alat tulis serta kedai komputer dan telekomunikasi untuk beroperasi.

MPPK memohon agar kerajaan dapat mempertimbangkan untuk membenarkan kedai buku dan alat tulis serta kedai komputer dan telekomunikasi untuk beroperasi semula tanpa perlu menunggu sehingga PKP ini menuju Fasa 2.

Hal ini kerana sungguhpun PKP dilaksanakan, sesi pembelajaran masih lagi berlangsung dengan PDPR masih berlangsung bagi pelajar yang bersekolah dan sesi pembelajaran atas talian masih berjalan seperti biasa bagi mahasiswa di institut pengajian tinggi (IPT).

Semua pihak yang terlibat hakikatnya memerlukan akses untuk memudahkan urusan pengajaran dan pembelajaran mereka. Guru-guru perlu mencetak bahan-bahan mengajar, pelajar-pelajar memerlukan alat tulis. Ada juga pelajar yang perlu membeli komputer riba baharu untuk kegunaan pembelajaran.

Ditambah pula dengan mahasiswa yang pada ketika ini sedang menjalani minggu-minggu akhir semester serta minggu peperiksaan. Peperiksaan yang dilakukan secara dalam talian memerlukan mahasiswa untuk mempunyai peranti yang baik bagi memudahkan urusan mereka.

Oleh yang demikian, MPPK melihat kewajaran sektor ini dibuka kembali dan kerajaan tidak boleh menunggu sehingga tiba Fasa 2 yang sehingga hari ini nampak masih jauh.

MPPK berharap agar cadangan yang dibawa oleh MPPK dapat dipertimbangkan oleh kerajaan dan sekaligus akan dapat memastikan sistem pendidikan di negara kita dapat terus berjalan dengan baik.

Sekian, terima kasih.

Muhammad Amir Asyraf Bin Mohd Sabri

Presiden

Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts