KENYATAAN MEDIA PRESIDEN PUTRA
1 Julai 2021
1. KERAJAAN GAGAL, ini adalah sentimen utama rakyat yang turut disuarakan PUTRA apabila 6,276 angka kes baharu yang dicatatkan sehingga semalam (30 Jun 2021) diumumkan. Dalam keadaan darurat dan juga ‘lockdown’ separuh masak ini, angka kes baharu ini menunjukkan KERAJAAN GAGAL segagal-gagalnya menangani pandemik COVID-19 seperti yang diharapkan rakyat, dan dicanang sebagai ‘kejayaan’ oleh kerajaan dan penyokong kerajaan.
2. Mengapa KERAJAAN GAGAL? Pada pandangan saya, selaku seorang yang pernah berada dalam kerajaan dahulu dan pernah menjadi sebahagian daripada perangka polisi negara, pelan tindakan dan mekanisme pelaksanaan SANGAT LEMAH menjadi sebab kepada kegagalan secara menyeluruh pentadbiran negara Malaysia.
3. Dasar yang digubal adalah ‘flip-flop‘ dan ‘double-standard‘ yang lebih memihak kepada pihak kapitalis dan bukan ke arah kepentingan rakyat dan negara. Pelan dan inisiatif yang ‘direka’ umpama melepaskan batuk di tangga, nampak sahaja gah apabila diumumkan tetapi dari segi impaknya kepada rakyat dan negara, bukan menyenangkan, malah makin menyusahkan dan menekan rakyat. Pelaksanaannya juga tidak menyeluruh dan mampan atau dalam erti kata lain tiada “thought through process“.
4. Dalam PKP 3.0 ini, hampir semua rakyat Malaysia berada dalam keadaan lockdown, dan perniagaan tidak ‘essential‘, seperti kedai alat tulis dan percetakan, salon gunting rambut, servis komputer dan telefon bimbit dan lain-lain tidak dibenarkan beroperasi. Sekolah pula terpaksa ditutup akibat dari kes COVID-19 yang masih lagi tinggi. Dalam keadaan kesempitan dan kesulitan, anak-anak di rumah tetap terpaksa menjalani pembelajaran atas talian (PdPR) dan pada masa yang sama ada latihan-latihan yang diberikan memerlukan percetakan dan ada juga yang kehabisan alat tulis seperti kertas A4, buku latihan dan sebagainya.
Hal ini amat menyukarkan dan lebih buruk lagi jika peranti atau komputer mereka rosak, mereka tidak dapat meneruskan pembelajaran akibat daripada kedai membaiki alat peranti dan komputer tidak dibenarkan beroperasi. Ada pula ahli politik yang menangguk di air keruh dengan mencadangkan agar anak-anak yang tidak hadir ke kelas PdPR sebanyak tiga kali berturut-turut wajar digantung persekolahan. Kezaliman apakah yang sedang dihadapi oleh rakyat Malaysia ini, dan adakah virus Covid-19 ini telah ‘merosakkan’ ahli politik Malaysia sehingga hilang kewarasan dalam berbicara hal ehwal kelestarian rakyat?
5. Kerajaan telah membelanjakan RM600b sejak pandemik COVID-19 ini melanda negara. Ini adalah satu perbelanjaan yang amat besar akan tetapi masih lagi belum berhasil untuk menangani pandemik ini, malangnya menjadi lebih teruk berbanding tahun 2020.
Kerajaan boleh berbincang dengan pengusaha-pengusaha kilang dan pemilik hotel untuk menyewa dewan dan fasiliti mereka untuk tujuan mengagihkan vaksin. Pengusaha hotel boleh hidup dan tidak perlu tutup atau buang pekerja. Apa guna melaksanakan Darurat, jika kerajaan tidak boleh bertegas untuk kepentingan rakyat? Bukankah di bawah kuasa Darurat kerajaan boleh menggunakan apa sahaja hak swasta dan individu termasuk hak kebebasan bergerak rakyat?
Jika dari awal lagi kerajaan bijak menguruskan kewangan negara bagi menangani pandemik Covid-19, pastinya perbelanjaan ini tidak perlulah sebanyak RM600b kerana angka kes sudah menurun kepada 3 atau 2 angka sahaja. Pepatah Melayu ada mengatakan “mencegah lebih baik daripada mengubati”, namun apa yang berlaku umpama “harapkan pegar, pegar makan padi”, harapkan kerajaan, kesusahan rakyat pula makin menjadi-jadi. Mungkin ada yang mengaut keuntungan besar di musim darurat dan Covid-19 dari pembelian vaksin dan program vaksinasi yang bercelaru tetapi kos perbelanjaannya tinggi.
6. Ini belum lagi mengambil kira faktor kerajaan yang GAGAL MEMBAWA MASUK PELABURAN dari luar negara bagi merancakkan ekonomi negara agar dapat meningkatkan pendapatan rakyat, dan secara tidak langsung menjamin kestabilan ekonomi negara. TIADA KEJAYAAN LANGSUNG yang boleh diperkatakan tentang kerajaan Malaysia masa kini. Hanya KERAJAAN GAGAL serba-serbi.
Apabila KERAJAAN GAGAL membawa masuk pelabur dan berbelanja sebesar ini, maka ia memberi impak negatif kepada mikro ekonomi iaitu ekonomi seharian rakyat. Apabila ekonomi rakyat tidak rancak, ia akan mengurangkan peluang perniagaan. Secara tidak langsung peluang pekerjaan semakin sempit. Dengan peningkatan kadar pengangguran, maka kadar jenayah dan penyakit-penyakit tekanan mental juga akan meningkat.
7. Dengan pelaksanaan PKP banyak sektor ekonomi seperti, pelancongan, sukan, hiburan, peniaga kecil dan sebagainya terpaksa ditutup dan hilang pendapatan bagi menurunkan kes baharu pandemik ini. Apabila lockdown yang dikuatkuasakan oleh kerajaan gagal mengekang kes baharu Covid-19, sia-sia sahaja ‘pengorbanan’ rakyat dari segi hilang punca pendapatan dan simpanan yang makin menyusut dan akhirnya tiada apa yang tinggal jika pentadbiran KERAJAAN GAGAL ini berterusan.
Tidak dapat dinafikan rentetan kegagalan kerajaan telah menimbulkan masalah baharu iaitu masalah psiko-sosial yang berpunca daripada hilang sumber pendapatan dan juga perbelanjaan harian yang perlu ditanggung. Ini adalah salah satu faktor peningkatan kes bunuh diri di kalangan rakyat dan juga timbulnya inisiatif kibar bendera putih. INI MEMBUKTIKAN KERAJAAN TELAH GAGAL MENJAGA KEBAJIKAN, KESELAMATAN DAN KESEJAHTERAAN RAKYAT. Sepatutnya KERAJAAN GAGAL yang MENGIBARKAN BENDERA PUTIH dan bukan rakyat.
8. Perdana Menteri telah mengumumkan dalam Pelan Pemulihan, rakyat akan dapat moratorium bagi semua pinjaman bermula bulan Julai nanti. Tetapi rakyat perlu menghubungi pihak bank untuk memohon moratorium. Tidakkah kerajaan sedar bahawa apabila melibatkan moratorium secara tidak langsung ia juga melibatkan penukaran perjanjian lama kepada yang baharu? Tidakkah juga Perdana Menteri sedar bahawa apabila tempoh perjanjian sesuatu pinjaman pihak bank akan mengenakan caj-caj yang tertentu? Banyak birokrasi yang rakyat perlu lalui semata-mata untuk melanjutkan tempoh moratorium. Kerajaan perlu fikirkan kaedah untuk meringankan beban rakyat untuk tidak membayar sebarang caj tambahan pada masa depan.
Apabila pengumuman moratorium dibuat, ia hanya melibatkan perkara pinjaman sahaja. Bagaimana pula bagi sewa rumah dan sewaan premis? Adakah kerajaan lupa, atau berpura-pura terlepas pandang bahawa inilah antara punca kerisauan rakyat dan peniaga untuk meneruskan kehidupan seharian mereka. Perniagaan tidak beroperasi tetapi sewa bulanan perlu dibayar begitu juga dengan penyewa rumah. Ini salah satu punca meningkatnya masalah psiko-sosial ini.
9. Dari sudut i-Citra pula, usahlah kerajaan bangga dengan meluluskan pengeluaran wang daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) KERANA ITU ADALAH WANG SIMPANAN RAKYAT. Sepatutnya kerajaan mencari dana lain untuk disalurkan terus kepada rakyat. BUKAN GUNA DUIT SIMPANAN RAKYAT.
10. Oleh itu, saya menyarankan kepada pihak kerajaan, terutamanya Perdana Menteri, untuk menyemak semula inisiatif yang diberikan kepada rakyat agar ia berbentuk satu pelan yang menyeluruh dan mampan serta berpijak di bumi yang nyata dan bukannya semakin menyusahkan rakyat. Berhentilah memperkotak-katikkan rakyat yang telah banyak merana atas kegilaan kerajaan yang lemah dan serabut ini. Banyak sumber kewangan rakyat telah dibazirkan dan hasilnya gagal. Inilah punca mengapa Parlimen perlu bersidang SEGERA SEBELUM KEADAAN MAKIN TERUK.
DYMM YDP Agong sudah tiga kali bertitah agar Parlimen segera bersidang sebelum tamat tempoh darurat pada 1 Ogos 2021.
Terima kasih.
Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali