Oleh Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi
Keputusan MKT pada 7 Julai 2021 ialah tarik sokongan kepada Perdana Menteri serta-merta. Muhyiddin mesti letak jawatan dan lantik Perdana Menteri baru untuk tempoh terhad.
Setelah keadaan pulih maka PM baru itu (antara 6 hingga 12 bulan) mesti mohon perkenan YDP Agong untuk bubar Parlimen.
Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan:
Jika Perdana Menteri tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat, maka Perdana Menteri hendaklah meletakkan jawatan Jemaah Menteri melainkan jika atas permintaannya Parlimen dibubarkan oleh Yang di-Pertuan Agong.
Adakah Muhyiddin akan letak jawatan? Atau adakah dia akan minta Parlimen dibubarkan? Ramai yakin dia tidak akan lakukannya. Muhyiddin degil.
Muhyiddin tidak sama Perdana Menteri lain. Dia penting dirinya sendiri daripada rakyat. Antara PM yang letak jawatan kerana gagal tangani COVID-19 ialah PM Itali, Nepal, Slovakia dan Mongolia.
Muhyiddin tidak akan mengaku gagal. Tujuh bulan masa dibazir kerana proklamasi darurat yang tidak berfaedah. Itu gagal paling besar
Angka Covid-19 tetap tinggi. Hari ini naik 9,352. Bahkan ia lebih memudaratkan kerana pelabur asing tidak berani datang ke Malaysia.
Sebab itu keputusan UMNO menarik sokongan terhadap Perdana Menteri adalah tepat. Ia jadi agenda bersama rakyat untuk selamatkan negara.
Muhyiddin tidak boleh berlengah. Dia pernah desak Pak Lah segerakan peralihan kuasa. Pak Lah minta tangguh ke tahun 2010. Muhyiddin kata lambat sangat.
Rujuk pautan.
https://m.malaysiakini.com/news/89458
Ketika itu Pak Lah didesak kerana UMNO hilang kuasa majoriti dua pertiga di PRU ke-11 2008. Tetapi UMNO masih kerajaan majoriti mudah yang kukuh.
Ini kata Muhyiddin, “Tahun 2010 adalah terlalu lama,” katanya dalam satu sidang media di Singapura.
Malah, kata Muhyiddin, dia tanya Najib sama ada mahu tunggu lama kerana masa Najib amat singkat untuk urus kembali ‘trust’ rakyat kepada UMNO dan Barisan Nasional.
Kenapa Muhyiddin tidak mahu berfikiran sama seperti dilakukan kepada Pak Lah. Masa sudah singkat. Dia terus gagal. Bagi Perdana Menteri baru masa yang cukup untuk pulihkan kegagalan.
Muhyiddin sudah jadi liabiliti kepada PPBM. Kalau PPBM mahu partinya kekal dalam ‘mainstream‘ politik negara, Azmin dan Hamzah juga mesti desak Muhyiddin letak jawatan.
MKT putuskan, sokongan Ahli-ahli Parlimen UMNO setakat Parlimen mula bersidang. PM 8 mesti bertindak warak benarkan Parlimen buat keputusan. Hanya tinggal dua minggu lagi.
Ada pakar Perlembagaan beri pandangan Perkara 43.2a harus digunakan iaitu Ahli Parlimen pilih calon Perdana Menteri. Itupun jika Perkara 43(4) tidak berlaku.
Tetapi jika Perkara 43.2a juga tidak berlaku, semoga YDP Agong guna budi bicara melantik Perdana Menteri Interim.
Barang diingat bila Muhyiddin dilantik jadi PM ke-8 pada 1 Mac 2020, YDP Agong hanya tanya persetujuan Ketua parti politik sahaja
Tiada SD. Tiada MP dipanggil seorang demi seorang. Itu Muhyiddin kena ingat.
Bila gagal, berhenti sajalah.