Oleh Abdul Rahim Hilmi Zakariya
Agong kita ni baik tuan-tuan. Mungkin antara yang paling baik yang pernah kita ada.
Walaupun YDP Agong yang menggubal Ordinan Darurat dan secara implikasinya bagindalah yang ada kuasa membatalkannya, tetapi baginda umum supaya ia dibentang dan diputuskan di Parlimen dahulu. Dibincang dan dibahas terlebih dahulu.
Ini supaya demokrasi hidup dan terus subur dalam negara. Betapa sayangnya baginda pada sistem yang ada sampai 3 kali baginda titah Parlimen dibuka ketika tempoh darurat. Kali ketiga barulah kerajaan dengar kata. Itupun sekerat jalan.
Tetapi saya fikir kerajaan hari ini tidak berapa nak faham bahasa untuk junjung titah YDP Agong. Ya, kita semua mahu Ordinan Darurat dibatal. Kita mahu Proklamasi Darurat ditamatkan. Tetapi biarlah dengan adab dan mengikut norma biasa.
Takkanlah sebab kita lapar, maka tidak apa kalau makan pakai kaki?
Dah tangan kanankan ada. Pakailah. Itu namanya adab
Melayu ini tiangnya adab. Islam ini tunjangnya akhlak. Kenapa tidak amal?
Kalau kita takut mahu bahas sebab tidak ada majoriti, apa salahnya Menteri bangun dan usulkan agar Ordinan Darurat dibatalkan tadi di Parlimen? Biar tenganga belaka.
Kalau pembangkang tolak usul, maknanya darurat kekal dan kerajaan hari ini tetap memerintah.
Kalau pembangkang terima usul, maknanya usul kerajaan berjaya dan kerajaan masih ada legitimasi untuk kekal memerintah.
Payah sangat ke mahu fikir? Duk ‘mengelat’ ini buat orang nampak kerajaan bacul sahaja.