KENYATAAN MEDIA KETUA PENERANGAN PUTRA MALAYSIA
28 Julai 2021 | 18 Zulhijjah 1442H
1. Sejak kebelakangan ini, pelbagai isu melanda negara kita, Malaysia. Lepas satu, satu. Doktorpun protes musim Covid-19. Di masa ancaman pandemik Covid-19 yang semakin serius ini, timbul pula isu doktor kontra. Amat memalukan. Budak-budak pun pening. Dunia ketawa Malaysia serba boleh. Dalam hal ini, kita tidak boleh menyalahkan doktor kontrak ini sahaja kerana ia adalah satu isu lapuk tetapi tiada penyelesaian. Buat pengetahuan semua, isu ini telah timbul sejak dari tahun 2016 lagi. Bagi pihak PUTRA, Doktor kontrak ini hanya menuntut keadilan dan hak mereka yang telah diabaikan setelah sekian lama.
2. Sejak hari Isnin 26 Julai 2021, semasa persidangan khas Parlimen diadakan yang khalayak awam dengar adalah isu salah-menyalah antara satu sama lain, ditambah dengan aksi-aksi ‘sarkas’ yang membuatkan rakyat Malaysia tertanya-tanya sejak bila wakil rakyat yang mereka undi menjadi lebih buruk dari perangai penghuni Zoo Negara sehinggakan tamatnya sidang pada hari itu, tanpa sebarang jalan penyelesaian isu-isu yang penting, yang membabitkan kesejahteraan dan kesihatan rakyat termasuk isu doktor kontrak ini.
3. Pada pendapat PUTRA, semua pihak bertanggungjawab dalam isu ini dan sepatutnya mengambil sikap proaktif dan bersama-sama bertanggungjawab akan hal ini. Isu ini sudah lama timbul sejak tahun 2016 lagi iaitu zaman pemerintahan kerajaan Barisan Nasional, kemudian apabila pemerintahan kerajaan bertukar tangan kepada Pakatan Harapan masih berlarutan, dan kini kerajaan Perikatan Nasional pula, menjadi barah yang semakin memudaratkan kesejahteraan rakyat dan negara lebih-lebih lagi isu kesihatan dan keselamatan rakyat di kala Covid-19 yang semakin meruncing.
Akhirnya menjadi bahan isu politik untuk parti-parti politik mencari political mileage dan bukan semuanya fokus ke arah mencari penyelesaian demi kebaikan doktor kontrak dan rakyat.
4. Persoalannya, asyik menuding jari, bila tidak berkuasa lagi untuk memerintah, masing-masing hendak mencari keuntungan politik dengan menyalahkan pihak itu dan ini kononnya ‘bersuara’ demi doktor kontrak, walhal semasa mereka menjadi kerajaan, di mana suara mereka bagi membela nasib doktor kontrak ini?
Dalam keadaan pandemik ini, kita seharusnya mengambil prinsip memandang kehadapan dalam menyelesaikan kemelut doktor kontrak agar ia tidak berpanjangan, kerana kita tidak mahu rakyat menjadi mangsa dan negara rugi, terutamanya rugi dari segi kepakaran sumber manusia. Kerajaan boleh mengimpot atau membawa masuk pakar-pakar luar yang tidak sedikit belanjanya, namun untuk melayan permintaan doktor kontrak yang merupakan rakyat negara sendiri, riuh rendah. Ibarat kata kera di hutan disusukan, anak sendiri kelaparan.
PUTRA menggesa dan mendesak kerajaan membuat pengumuman rasmi bahawa kerajaan bersetuju doktor kontrak akan diserapkan ke jawatan tetap dan untuk memastikan perlaksanaannya JPA harus menubuhkan Jawatankuasa Khas bagi melaksanakannya.
5. Janganlah bila hilang kuasa nanti, baru hendak bercakap hal penderitaan Melayu dan rakyat. Ketika berkuasa lain pula ceritanya. Pendek kata, 2 X 5 atau 5 X 2, jawapannya tetap sama, “BUKAN KAMI”. Sedangkan yang mengatakan “BUKAN KAMI” itulah yang telah membuat polisi dan MENJADI SEBAHAGIAN daripada pembuat polisi semasa era kerajaan-kerajaan terdahulu.
6. Di sinilah Presiden PUTRA Dato’ Paduka Dr Ibrahim Ali selalu tegaskan, ayam berkokok hari tidak siang.
7. Pada PUTRA, isu doktor kontrak sebenarnya boleh diselesaikan. Bak kata pepatah “Mahu seribu daya, tidak mahu seribu dalih”.
SEMOGA NASIB DOKTOR KONTRAK TERBELA.
Sekian.
Oleh Ashraf Bin Rosli
Ketua Penerangan PUTRA Malaysia