KENYATAAN MEDIA PRESIDEN PUTRA
27 Ogos 2021
1. PUTRA mengucapkan tahniah kepada barisan Kabinet YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob dan ucapan mukadimah sebelum pengumuman yang menaruh harapan agar kabinetnya melaksanakan tanggungjawab dengan penuh amanah dan jujur
2. Barisan kabinet jangka hayat 21 bulan sebelum terbubarnya Parlimen untuk PRU-15 terdiri daripada muka-muka lama warisan kabinet bekas Perdana Menteri ke-8. Tidak ramai muka-muka baru kecuali 4-5 orang yang juga merupakan bekas-bekas menteri sebelum ini. Dalam erti kata lain, tidak ada kejutan besar dan ia pasukan lama.
3. Apapun sama-sama kita berharap Kabinet PM ke-9 ini dapat memenuhi aspirasi rakyat terutama menangani Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara. Perkara pokok ialah penyampaian hasil yang boleh dirasai oleh rakyat. Selalunya dasar dan pengucapan cukup indah retorik cukup sedap didengar tetapi akhirnya menang sorak kampung tergadai juga. Ibarat ayam berkokok hari tidak siang.
Kelemahan yang selalu berlaku dalam sejarah kepimpinan pembangunan dan pengurusan kerajaan Malaysia sejak dahulu sehingga kini dan tidak pasti kabinet YAB PM ke-9 ini ialah pelaksanaan.
Dasar dan pelaksanaan mesti berkesan. Dasar dan ucapan retorik baik namun pelaksanaan lebur menjadi indah khabar dari rupa. Ia disebabkan rasuah, ketirisan, penyalahgunaan kuasa nepotisme, kronisme, pembaziran, pilih kasih dan sebagainya yang sering disebut cakap tidak serupa bikin.
Kepimpinan tidak boleh menjadi teladan kepada rakyat. Murid tidak hormati guru kerana guru bersifat hipokrit dan munafik. Inilah yang terjadi dalam sejarah kepimpinan politik negara Malaysia yang menjadi bahan lawak. Negara kaya, penduduk kecil sekitar 32 juta tetapi masih ramai golongan B40 dan M40 serta kemiskinan tegar di desa dan di bandar.
4. Penyelewengan berluasa di kalangan berbagai agensi-agensi kerajaan daripada jual kad pengenalan, pasport, kebocoran di pintu masuk negara dan berbagai kerenah yang menyebabkan berjuta pendatang asing masuk ke negara ini. Kelulusan boleh dibeli dengan mudah. Ia seperti cerita hikayat seribu satu malam.
5. PUTRA sentiasa bersikap positif dan kritikal. Dasar PUTRA mana yang baik akan disokong dan yang perlu ditegur akan ditegur atau kalau perlu dikecam akan dikecam. Laporan polis, SPRM, protes atau serahan memo bantahan akan terus dilakukan oleh kepimpinan PUTRA berbagai peringkat yang peka dengan kepentingan rakyat dan negara sebagai sebahagian daripada modus operandi perjuangan parti PUTRA.
Secebis ingatan bahawa penubuhan parti PUTRA sebagai kuasa ketiga adalah untuk kesinambungan perjuangan nasionalisme Melayu Islam dan peribumi serta memenuhi aspirasi rakyat yang memastikan Malaysia negara kaya bukan indah dari khabar tetapi rakyat Malaysia makmur dan sejahtera sesuai dengan perjuangan nenek moyang menuntut kemerdekaan.
Sama-sama kita menyambut hari kemerdekaan ke-64 dengan perasaan keluh resah serta bertawakal kepada Allah SWT Yang Maha Esa.
PUTRA PERKASA NEGARA
Dato Paduka Dr Ibrahim Ali
Presiden PUTRA