KOMPROMI ISMAIL SABRI

368
SHARES
2.2k
VIEWS

Tindakan Perdana Menteri kesembilan Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob ‘berkompromi’ dengan jawatan menteri kabinet termasuk melantik bekas Perdana Menteri Tan Sri Mahiaddin Yassin sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), dilihat sebagai ‘harga’ yang perlu beliau lunaskan demi sebuah kompromi yang terpaksa dilakukan untuk memastikan negara kekal stabil di bawah pentadbirannya. 

Adakah tindakan meletakkan Mahiaddin sebagai ‘ketua’ untuk memulihkan negara bakal memusnahkan hasrat dan usaha 100 hari yang Ismail Sabri sasarkan? Jika beliau tidak lebih berhati-hati dikhuatiri tindakan ini hanya akan merugikannya kelak kerana individu yang sama dilantik inilah yang telah terbukti gagal menerajui negara selama 17 bulan memerintah – hatta mempunyai kuasa penuh di bawah kuasa-kuasa darurat. 

Namun di sebalik lantikan ini, adalah jauh lebih baik jika beliau terpaksa berkompromi dengan desakan Bersatu untuk melantik Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali atau Datuk Seri Hamzah Zainuddin selaku Timbalan Perdana Menteri. Ini tentu membuka ruang lebih besar untuk Ismail Sabri dikecam lebih teruk oleh pelbagai pihak. Ia juga tentu akan merencatkan pembaharuan yang ingin beliau lakukan untuk membawa negara segera keluar daripada kemelut pandemik dan ekonomi, seperti yang telah dititahkan oleh Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong. 

Tindakan komprominya dengan pembangkang juga terlihat jauh lebih baik daripada cadangan yang dikemukakan oleh Tan Sri Mahiaddin Yassin yang dilakukannya beberapa hari sebelum meletakkan jawatan kerana kehilangan sokongan, yang boleh diumpamakan sebagai rasuah dan penyogokan politik. Tindakan Mahiaddin ini jauh lebih merosakkan negara jika DAP dan Pakatan Harapan menyahut seruan beliau itu  kerana tentu ia akan menambah parah politik dan ekonomi negara yang sudah sedia teruk di bawah pemerintahannya. 

Selain itu, cabaran Ismail Sabri selaku Perdana Menteri yang ketiga dilantik selepas PRU-14 dan mempunyai sokongan tipis kerana kerajaannya ini tidak dibentuk melalui mandat pilihan raya umum seperti lazimnya, telah membuatkan beliau terpaksa lebih banyak ‘mengalah’ dengan lantikan-lantikan kabinet lama yang terpaksa dikompromi olehnya. Mengalah ini bukanlah petanda beliau mengikut seluruh kemahuan Bersatu melainkan hanya dilakukan dengan meminimakan mudarat yang berlaku asalkan negara segera dipulihkan. 

Hakikatnya, inilah nilai sebuah kompromi yang perlu ‘dibayar’ oleh beliau demi untuk menstabilkan suhu politik negara sehinggalah Parlimen sesuai untuk dibubarkan kelak bagi memberi laluan kepada PRU-15 diadakan – walaupun ini membuatkan dirinya sendiri dikecam banyak pihak, dikritik oleh majoriti netizen serta rakyat secara umumnya.

Namun jika tidak dilakukan kompromi sedemikian, tentu negara akan terjerumus jauh lebih memburuk daripada sebelumnya dan ini merumitkan tindakan memulihkan negara. Ismail Sabri jelas mempunyai tugasan berat yang menanti dan ketika ini seluruh dunia tertumpu terhadapnya di sebalik jawatan panas selaku Perdana Menteri. 

Justeru, ini antara perkara yang perlu dititik-beratkan oleh Ismail Sabri dan pasukannya termasuk para penasihat beliau dalam mendepani cabaran 100 hari yang tidak lagi boleh dilihat sebagai tempoh waktu ‘honeymoon‘, sebaliknya 100 hari ini adalah tempoh Menteri Kabinet dan penjawat awam bekerja keras memulihkan negara dan mengembalikan keyakinan rakyat.

Tempoh yang Ismail Sabri tetapkan ini sepatutnya dimanfaatkan sebaik mungkin dan seumpama memberi peluang kedua kepada Menteri-menteri Perikatan Nasional yang kini berada dalam kerajaan Keluarga Malaysia untuk membuat perubahan di bawah pemerintahan Perdana Menteri baharu yang diharapkan jauh lebih baik daripada Perdana Menteri sebelumnya.

Semoga beliau diberi kekuatan dan kebijaksanaan untuk memerintah dengan saksama dan dalam masa yang sama apa yang telah rosak sebelumnya dan perlu diperbetulkan serta dibaiki perlu juga beliau laksanakan. Jika ini berlaku, walaupun memerintah dalam waktu yang singkat, beliau mungkin boleh dikenali sebagai Bapa Pemulihan Negara dan nama serta jasa baiknya bakal dikenang selama-lamanya. 

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts