Pertamanya marilah semua mengucapkan syukur ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah rahmat dan keizinannya jua kita menyambut Sambutan Hari Malaysia tahun 2021. Malaysia sebuah negara yang berdaulat dan walaupun mempunyai pelbagai bangsa, keturunan dan pengamalan agama namun keharmonian dan keamanan masih kekal walaupun ada pihak-pihak yang cuba mencalarkan kedamaian ini.
Sambutan Hari Malaysia pada tahun ini juga masih sedang dalam kemelut pandemik Covid-19. Tidak perlu ada rasa mengalah, keluh-kesah dan putus asa kesan ketakutan musibah. Namun saya yakin dengan mengamalkan aturan dan segala perintah negara ini akhirnya bebas mampu daripada wabak Covid-19.
Saya yakin semangat jati diri serta mempunyai keazaman dan optimis yang kuat menjadikan rakyat Malaysia sentiasa mematuhi arahan yang ditetapkan oleh kerajaan Malaysia. Namun, apabila terdapat beberapa pihak dan individu yang memaparkan etika dan adab yang kurang menyenangkan telah menimbulkan kekeliruan dan rasa kurang senang rakyat terhadap layan yang berat sebelah.
Kejadian seorang kenamaan yang bersolat Jumaat dengan diberikan layanan istimewa telah mencetuskan perasaan kecewa dan andaian bahawa ada pihak yang mengambil kesempatan untuk mencapai cita-cita dan kepentingan diri mereka. Manakala jemaah yang lain terpaksa menunggu dan beratur di luar.
Kejadian ini adalah amat tidak wajar berlaku, apatah lagi apabila melibatkan orang ramai dan juga pemimpin yang sepatutnya lebih mendahulukan rakyat. Mereka tidak langsung memikirkan tentang kemaslahatan rakyat, hanya yang mereka tahu dan mahu adalah supaya keinginan dan cita-cita mereka tercapai.
Saya penuh yakin bahwa budi bicara adalah sangat penting dalam hal ini. Para jemaah telah maklum terhadap pematuhan penjarakan sosial, malah mereka juga pasti akan bersolat dalam keadaan patuh kepada peraturan. Namun insiden yang dilakukan oleh orang kenamaan tersebut adalah amat memalukan malah mencemarkan kesucian Islam dan di luar adab dan akhlak Islam.
Berilah kelonggaran untuk membuka ruang ibadah dan memudahkan rakyat beribadah di masjid-masjid di negeri-negeri yang beralih ke Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) akan memberi manfaat yang amat besar kepada kesejahteraan dan kemaslahatan masyarakat Islam keseluruhannya.
Saya dengan ini menasihati kepada pihak berwajib untuk melonggarkan hal berkaitan solat berjemaah di masjid-masjid dan acara keagamaan dalam qariah berkaitan. Sudah sampai masanya penggunaan masjid secara maksimum dengan pematuhan mematuhi SOP memberikan manfaat bagi mengelakkan sebarang musibah termasuklah mengangkat wabak Covid-19 dari muka bumi.
Justeru dengan penuh rendah diri, saya mewakili seluruh barisan kepimpinan PARTI PUTRA MALAYSIA (PUTRA) mengucapkan selamat menyambut Hari Malaysia bagi tahun 2021M/1443H. Semoga kita semua akan mendapat rahmat dan kasih sayang Allah SWT.
Terima kasih.
Oleh Datuk Dr Aziz Jamaludin Bin Mhd Tahir
Naib Presiden Parti PUTRA Malaysia