DYMM Sultan Johor Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, bertitah kerajaan perlu menyegerakan semakan semula syarat ketat Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) yang ditetapkan baru-baru ini.
Baginda Tuanku Sultan membangkitkan isu berkenaan ketika menerima mengadap Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada hari ini (25 September).
DYMM Sultan Johor bertitah, Johor merupakan antara destinasi utama pelaburan asing, selain negeri ini juga antara penyumbang utama kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia.
“Johor bukan sahaja berjiran dengan Singapura, malah Program MM2H adalah antara penyumbang kepada kekuatan ekonomi negeri.“
“Kaji semula syarat ketat yang ditetapkan sebelum ini dan kekalkan juga syarat lama dengan membuat berapa penambahbaikan supaya ia dapat memberikan imbangan positif khususnya pertumbuhan ekonomi,” titah DYMM Sultan Johor.
Baginda Tuanku Sultan turut membincangkan pelbagai perkara lain berkaitan kemajuan Johor dalam pertemuan bersama Perdana Menteri.
Pertemuan bersama Baginda Tuanku Sultan berlangsung di Istana Pasir Pelangi, Johor Bahru dengan turut dihadiri Menteri Besar. Dato’ Hasni Mohammad.
Ini merupakan kunjungan rasmi pertama Datuk Seri Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera selepas mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Ke-9 pada 20 Ogos lalu.
Perdana Menteri turut diraikan dalam majlis santapan tengah hari bersama Baginda Tuanku Sultan.
Rujukan: https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=1947095342123816&id=456817247818307