CABARAN MEMUPUK JATI DIRI KANAK-KANAK MERDEKA DI ERA PANDEMIK

428
SHARES
2.5k
VIEWS

Setiap kanak-kanak mempunyai tingkah laku dan keperibadian tersendiri. Tingkah laku yang melibatkan jati diri mereka adalah berbeza bergantung bagaimana mereka ini dibentuk dalam budaya keluarga di rumah. Menurut pakar psikologi, kanak-kanak biasanya belajar daripada apa yang sedang dan yang telah terjadi, bukannya daripada apa yang dikatakan atau diberitahu kepada mereka semata-mata. Perlakuan bertingkah laku positif di hadapan anak-anak adalah lebih baik berbanding hanya banyak memberikan arahan berbentuk lisan.

Dalam hal ini, tugas ibu bapa dalam mendidik anak dalam era pandemik akan menjadi lebih bermakna atau sebaliknya. Bermaknanya di sini apabila ibu bapa mempunyai banyak masa dengan mengambil peluang untuk membudayakan kehidupan jati diri anak-anak dengan lebih berkesan. Dengan kata lain, pengurusan tingkah laku kanak-kanak di rumah bergantung sepenuhnya terhadap kawalan dan cara gaya keibubapaan yang diamalkan. 

Setelah beberapa bulan berada di rumah dengan aktiviti PdPr dan kehidupan seharian, seharusnya ibu bapa sudah mendapat rentak dengan inspirasi semangat kemerdekaan dengan menjadi suri tauladan kepada anak-anak. Menerapkan elemen jati diri melalui amalan menghargai diri, hormat-menghormati dan menyayangi keluarga dalam kalangan kanak-kanak seharusnya menjadi agenda utama dalam kerukunan rumah tangga. 

Berdasarkan perkembangan sosioemosi kanak-kanak, mereka merupakan insan yang suka berimaginasi, mempunyai semangat ingin tahu untuk mengenali dunia baru melalui penerokaan dan melakukan apa sahaja yang dianggap benar tanpa mengetahui kesan baik atau buruknya. Bagi mereka, sesuatu yang menyeronokkan akan lebih mendapat perhatian dari perkara yang lain. Jika kawalan ibu bapa terhadap anak-anak didapati kurang berkesan, sesuatu yang mencabar akan mereka hadapi terutama berkaitan pengaruh gajet yang keterlaluan. 

Kanak-kanak yang di bawah pengaruh gajet yang teruk didapati boleh menunjukkan sikap malas, tidak patuh dan suka melawan. Perkara tersebut boleh menyebabkan hilangnya jati diri kanak-kanak termasuk nilai kemanusiaan dan kasih sayang sesama keluarga. Tahap obses yang tinggi dalam kalangan kanak-kanak ini boleh menjadi bahaya sekiranya tanggungjawab ibu bapa tidak dapat dilaksanakan dengan sebaiknya untuk memulihkan keadaan ini. Oleh yang demikian, pengurusan tingkah laku yang tepat melalui aktiviti jati diri yang bermanfaat perlu diberikan perhatian lebih-lebih lagi dalam bulan kemerdekaan.

Terdapat beberapa amalan jati diri yang bersesuaian dalam mendidik anak-anak dalam bulan kemerdekaan ini. Antara aktiviti yang disyorkan adalah dengan membudayakan aktiviti membaca bersama keluarga. Tidak kira berapa umur anak kita, menerapkan budaya membaca ini merupakan peluang terbaik untuk mendekatkan diri mereka dengan buku berbanding gajet. Lebih banyak anak-anak dibudayakan dengan membaca terutama berkaitan tokoh kemerdekaan, lebih banyak perkembangan jati diri melalui ilmu dan emosi yang dapat dibentuk.

Selain itu, membudayakan anak-anak dengan nilai murni dengan mematuhi peraturan atau disiplin perlu dilaksanakan di rumah. Anak-anak akan belajar untuk merasa tanggung jawab melalui aktiviti seperti gotong royong, mengemas serta membersihkan ruang di dalam dan di luar rumah. Mereka akan belajar untuk sentiasa hormat-menghormati sesama adik beradik serta amanah dalam memastikan kebersihan sentiasa dipelihara. 

Kalau dahulu, aktiviti main masak-masak atau pondok-pondok merupakan aktiviti tradisi kanak-kanak ketika berada di luar rumah. Kini, eksplorasi di luar rumah boleh dilaksanakan di dalam rumah melalui aktiviti menanam pokok di dalam pasu yang diletakkan di ruang tertentu atau digantung di cermin yang menghadap cahaya. Anak-anak akan belajar untuk menghargai alam dan kaitannya dengan kehidupan manusia. 

Pelbagai kegiatan di dalam rumah yang boleh disemarakkan sama ada melibatkan diri di dapur, di ruang tamu atau di ruang solat yang melibatkan aktiviti ibadah. Jika perkara tersebut dapat dijalankan bersama-sama mengikut peraturan yang ditetapkan, tidak hairanlah jika ada sesetengah keluarga menjadi lebih akrab dan harmoni walaupun dalam tempoh PKP yang agak lama ini. 

Walaupun kawalan pergerakan masih berlaku, ia tidak menghalang kita untuk mengadakan aktiviti sosial secara online. Aktiviti seperti sambutan hari lahir, sambutan kemerdekaan, acara ibadah dan sebagainya kini telah menjadi trend secara online yang dapat mengeratkan tali silaturrahim serta menghormati orang yang lebih tua. Aktiviti tersebut perlu dirancang dengan teliti dengan masa yang ditetapkan bagi memastikan setiap pihak dapat mengambil peranan yang sama untuk menjayakan aktiviti sosial secara alam maya ini. 

Secara keseluruhannya, sebagai ibu bapa, kita perlulah berusaha untuk menambah baik cara didikan dan asuhan mengikut acuan yang bersesuaian dengan situasi pandemik dan peredaran zaman. Komitmen ibu bapa dalam membudayakan jati diri dalam jiwa anak-anak merdeka ini perlulah dilaksanakan dengan konsisten dan berterusan. Ini bagi menjamin kesejahteraan anak-anak dari pengaruh anasir-anasir luar yang boleh mendorong mereka untuk melakukan perkara negatif dan tidak bermanfaat.

Oleh Prof. Madya Dr. Abdul Halim Bin Masnan

Pensyarah Kanan Jabatan Pendidikan Awal Kanak-kanak

Fakulti Pembangunan Manusia

Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) 

(Penulis juga merupakan Timbalan Pengerusi Sub-Kluster Pendidikan Awal Kanak-kanak, Akademi Profesor Malaysia serta Profesor Adjung dalam bidang Pendidikan Awal Kanak-kanak di UNITAR

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts