Pengajaran dan pembelajaran di rumah yang berlaku sepanjang pandemik Covid-19 telah memberi cabaran dan kesibukan kepada guru-guru dalam menyediakan bahan pengajaran dan pembelajaran untuk dilaksanakan secara online. Untuk guru-guru dalam pendidikan awal kanak-kanak sama ada kerajaan atau swasta, PdPR menjadi satu cabaran yang hebat kepada mereka berbanding dengan guru-guru arus perdana.
Menyampaikan pengajaran dan pembelajaran secara online bukanlah satu yang mudah, terutamanya kepada kanak-kanak yang berumur 4 hingga 6 tahun. Guru memerlukan perancangan aktiviti yang teliti dan dapat menarik minat kanak-kanak untuk belajar secara online dan offline untuk memastikan setiap kanak-kanak tidak tercicir dalam menguasai 3M sebelum mereka menjejakkan kaki ke Tahun Satu.
Pelaksanaan PdPR juga memerlukan kesediaan daripada aspek fizikal dan mental dalam kalangan guru kerana menlaksanakan PdPR tidak sama situasinya seperti melaksanakan pengajaran dan pembelajaran bersemuka. Kita sedia maklum melaksanakan pengajaran dan pembelajaran bersama kanak-kanak yang berumur 4 hingga 6 tahun secara talian memerlukan kesabaran yang tinggi. Guru bukan sahaja menghadapi masalah berhadapan dengan fokus kanak-kanak dalam pembelajaran secara online tetapi masalah dalam mengakses internet dan kemudahan teknologi juga boleh mengganggu proses PdPR berlaku dengan sempurna.
Terdapat guru yang mungkin tidak mempunyai capaian internet yang baik dan kemudahan komputer yang canggih dalam melaksanakan PdPR dengan lebih berkesan, mereka terpaksa menyediakan latihan atau modul untuk keperluan kanak-kanak belajar di rumah bagi memastikan kanak-kanak tidak ketinggalan. Modul-modul yang kreatif dan menarik disediakan oleh mereka dengan tujuan kanak-kanak seronok melakukan latihan di rumah dengan bantuan dan bimbingan ibu bapa. Terdapat guru yang mengeluarkan perbelanjaan sendiri untuk membuat salinan modul bagi untuk diedarkan kepada kanak-kanak secara percuma. Mereka ini tidak berkira wang ringgit apatah kudrat dan tenaga dalam menyampaikan ilmu.
Sehubungan itu, pelbagai usaha kreatif yang dilaksanakan oleh guru prasekolah dalam memastikan kanak-kanak ini boleh menguasai 3M harus diberikan pujian. Rata-rata guru menggunakan segala kemahiran yang ada berkaitan penggunaan teknologi dengan mengikuti kursus dan juga mencari ilmu melalui Youtube, Google dan pelbagai aplikasi lain untuk meningkatkan kemahiran mereka dalam penyampaian pengajaran.
Walaupun kebanyakan daripada mereka sebelum ini tidak mempunyai kemahiran seperti membuat video, permainan online, dan memuat naik bahan, namun apabila negara dilanda pandemik Covid-19 dan perintah kawalan pergerakan dilaksanakan, semua kemahiran tersebut terpaksa diterokai sendiri. Kebanyakan daripada guru-guru prasekolah ini sudah mahir menggunakan aplikasi Google Meet, Zoom, Webex dan sebagainya untuk berinteraksi dengan kanak-kanak semasa melaksanakan PdPR. Walaupun pada mulanya semua ini dilakukan kerana terpaksa, namun akhirnya mereka menerima segala perubahan ini dengan hati terbuka demi anak-anak didik.
Terdapat juga guru-guru prasekolah yang mempunyai Youtube Channel mereka sendiri dengan tujuan memuat naik video pengajaran dan pembelajaran. Kaedah ini memberi peluang kepada kanak-kanak untuk melihat video tersebut berulangkali bagi memantapkan penguasaan mereka terhadap sesuatu kemahiran. Guru-guru ini juga berkongsi pautan video yang dimuat naik dalam Youtube kepada rakan-rakan guru yang lain. Kerjasama antara mereka telah membantu guru-guru yang kurang kemahiran dalam teknologi melaksanakan PdPR dengan baik. Selain Youtube Channel mereka juga mempunyai akaun Tik-Tok yang mana aplikasi ini menarik minat kanak-kanak kerana mempunyai unsur kreatif dan menarik.
Justeru itu, kursus dan latihan dalam teknologi perlu diberikan kepada guru-guru prasekolah agar mereka dapat menyampaikan pengajaran dan pembelajaran dengan lebih kreatif. Guru perlu didedahkan kemahiran menyediakan aktiviti yang menarik dan interaktif kepada kanak-kanak. Kebanyakan mereka adalah sangat kreatif dalam menyediakan bahan bantu mengajar tetapi terbatas apabila mungkin tidak semua dapat menguasai kemahiran berkaitan teknologi ini dengan baik disebabkan halangan seperti kemudahan internet dan kekurangan kemudahan lain.
Diakui terdapat guru-guru yang kreatif menyediakan aktiviti belajar melalui bermain supaya kanak-kanak tidak bosan dengan latihan bertulis. Mereka juga perlu melakukan aktiviti pergerakan kerana setiap hari mengadap komputer boleh memberi kesan yang tidak baik terhadap kesihatan. Kanak-kanak lebih mudah menguasai kemahiran 3M sekiranya pembelajaran dijalankan secara menyeronokkan dan mereka tidak akan merasa bosan. PdPR yang dilaksanakan secara online juga tidak perlu dilaksanakan terlalu lama, memandangkan tumpuan mereka tidak sama seperti belajar bersemuka.
Berbagai pendekatan dan strategi yang boleh dilakukan untuk melaksanakan PdPR. Antaranya adalah pendekatan projek yang boleh melibatkan ibu bapa bersama anak-anak melakukan aktiviti. Kerjasama ibu bapa adalah penting dalam membantu perkembangan anak-anak. Guru boleh memberi tajuk projek yang menarik dan tidak memerlukan modal kepada kanak-kanak untuk dilakukan bersama ibu bapa. Sudah pasti aktiviti seperti ini memberi keseronokkan kepada kanak-kanak dan juga ibu bapa.
Justeru itu pelaksanaan PdPR guru dan ibu bapa bukan sahaja perlu memastikan kanak-kanak diberi asas dalam menguasai 3M tetapi menyediakan aktiviti yang menyeronokkan dan tidak membebankan mereka. Ibu bapa juga mempunyai tanggungjawab seiring dengan usaha guru dalam memastikan anak-anak tidak tercicir dalam kemahiran asas. Sediakan peluang yang bersesuaian dengan kemampuan anak-anak dan memastikan sumber yang digunakan dapat membantu mereka menguasai 3M secara santai dan bukan tekanan. Sumber dan bahan PdPR mestilah mudah diakses secara online atau offline. Peranan setiap ibu bapa adalah menyokong pembelajaran anak-anak mereka di rumah melalui PdPR.
KPM juga telah menjalankan usaha gigih dalam membantu mengatasi masalah sumber pembelajaran yang sukar diakses melalui internet dengan menyediakan TV Pendidikan. Ini adalah satu usaha bagi memastikan kanak-kanak prasekolah tidak ketinggalan dalam memahami konsep asas 3M. DidikTV yang disediakan oleh KPM meliputi semua tahap pendidikan dan tidak ketinggalan untuk pendidikan prasekolah dengan menyediakan rancangan pendidikan yang menarik daripada guru-guru berpengalaman.
Oleh itu tiada alasan untuk tidak memberi pendidikan di peringkat awal walaupun di rumah. TV Pendidikan juga memberi ruang kepada guru untuk menggunakannya sebagai sumber dalam PdPR. Oleh itu walau apa jua cabaran yang dihadapi, bertabahlah demi pendidikan anak-anak di peringkat prasekolah. Jadilah guru yang kreatif dan bertanggungjawab dalam memastikan kanak-kanak belajar dalam keadaan yang menyeronokkan.
Oleh Dr. Azizah Zain
(Penulis merupakan Pensyarah Kanan dan Ketua Jabatan Pendidikan Awal Kanak-kanak, Fakulti Pembangunan Manusia, Universiti Pendidikan Sultan Idris – UPSI)