FORGOTTEN BABY SYNDROME: KEKESALAN SEPANJANG HAYAT ATAS KECUAIAN

420
SHARES
2.5k
VIEWS

Kejadian yang sama masih berulang setiap tahun dan kita dipaparkan dengan berita kematian akibat kanak-kanak ditinggalkan dalam kereta  oleh ibu bapa atau penjaga. Kecuaian ini telah mengundang padah kepada kanak-kanak yang masih kecil dan tidak tahu untuk bertindak menyelamatkan diri apabila kejadian ini berlaku. Namun begitu terdapat segelintir ibu bapa yang masih tidak mengambil ikhtibar di atas peristiwa yang setiap tahun terpapar di akhbar tentang kematian kanak-kanak ditinggalkan dalam kereta.

Forgotten Baby Syndrome dikenali pasti sebagai salah satu penyebab kanak-kanak ditinggalkan dalam kereta oleh ibu bapa atau penjaga mereka. Sindrom ini merujuk kepada ibu bapa yang secara tidak sengaja meninggalkan bayi atau anak kecil di dalam kereta yang terkunci dan boleh menyebabkan kematian.

Ia berlaku kerana tabiat dalam sistem otak kita yang menyebabkan kita melakukan sesuatu perkara tanpa berfikir. Kebiasaan dalam rutin yang berubah akan menyebabkan individu terlupa perkara yang sepatutnya dilakukan. Fokus terhadap perbuatan atau pekerjaan yang perlu dilakukan semasa anak berada bersama mereka di dalam kereta mengganggu pemikiran individu tersebut terhadap perkara yang perlu dilakukan pada masa itu. Ibu bapa yang mempunyai sindrom ini akan terlupa untuk membawa keluar anak daripada kereta yang telah dikunci kerana mereka memberi fokus kepada perkara lain yang perlu dilaksanakan pada masa yang sama.

Tidak sengaja atau terlupa? Persoalan ini hanya dapat dijawab oleh ibu bapa yang mengalami peristiwa ini. Kita juga sering mengalami terlupa untuk membawa keluar barang yang dibeli daripada kereta. Situasi yang hampir sama tetapi berbeza kerana objek yang ditinggalkan  dalam kereta adalah objek bernyawa. Kita percaya sebilangan ibu bapa yang terlibat dalam situasi ini tidak mempunyai niat untuk meninggalkan anak mereka dalam kereta yang berkunci.

Kecuaian ini mungkin  berlaku disebabkan terlupa atau sikap tidak bertanggungjawab bagi ibu bapa yang sengaja meninggalkan sekejap anak-anak dalam kereta untuk melakukan tugasan lain. Ada segintir ibu bapa yang meninggalkan anak mereka di dalam kereta yang dikuncikan dengan niat mereka meninggalkannya sekejap sahaja tetapi akhirnya lupa kerana leka melakukan sesuatu tugasan. Terdapat juga segelintir  ibu bapa yang menghadapi situasi ini adalah mereka yang sangat prihatin dan berhati-hati dengan keselamatan anak-anak mereka.  Namun kejadian ini akan tetap berlaku juga apabila berhati-hati bertukar menjadi tragedi apabila mereka terlupa yang mereka telah meninggalkan anak dalam kereta berkunci. 

Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan Forgotten Baby Syndrome ini berlaku. Antaranya adalah ibu bapa yang sentiasa sibuk dengan tugasan harian dan tidak dapat memberi tumpuan ke atas apa yang mereka patut lakukan. Apabila anak dibawa bersama dalam kenderaan, mereka secara tidak sengaja terlupa kehadiran anak mereka di dalam kereta. Terdapat juga ibu bapa yang meninggalkan anak mereka yang sedang tidur di dalam kenderaan kerana tidak mahu mengejutkan anak tersebut dan keluar melakukan perkara lain dengan beranggapan mereka tidak akan mengambil masa yang lama semasa keluar. Tetapi akhirnya terlupa tentang anak anak mereka yang sedang tidur dalam kereta.

Meninggalkan anak yang terlalu lama boleh  menyebabkan mereka mengalami strok haba dalam kereta yang berkunci. Sikap kelam-kabut juga boleh menyebabkan seseorang terlupa. Contohnya lewat ke tempat kerja dan terlupa untuk menghantar anak ke TASKA atau TADIKA, sehingga mereka sampai di tempat kerja tanpa menyedari anak ditinggalkan di dalam kereta.

Rutin harian yang  berubah  seperti bapa yang mengambil tugas untuk menghantar anak ke TASKA atau TADIKA yang selalunya  dilakukan oleh ibu atau sebaliknya juga merupakan punca tradegi ini berlaku. Fikiran yang kusut dan tidak tenang juga boleh mempengaruhi ibu bapa untuk mudah terlupa. Faktor seterusnya boleh berlaku adalah disebabkan ada sesuatu yang berlaku dan mengubah rutin tersebut. Sebagai contoh dalam perjalanan ke tempat kerja dan menghantar anak ke TASKA atau TADIKA anda singgah ke tempat lain dahulu. Perubahan aktiviti yang sepatutnya dilakukan dalam perjalanan tersebut juga boleh mempengaruhi tindakan yang sepatutnya anda lakukan.

Kanak-kanak yang tertinggal dalam kereta terlalu lama akan mempunyai masalah    ‘Hyperthermia’ atau heatstroke (strok haba) kerana suhu badan anak yang terperangkap di dalam kereta menyebabkan kegagalan organ tertentu untuk berfungsi, kerosakan otak dan boleh menyebabkkan kematian.

Terdapat beberapa tindakan yang boleh dan perlu diambil oleh ibu bapa bergantung kepada situasi yang berlaku. Antaranya ialah sekiranya ibu atau bapa tersedar atau tiba-tiba teringat anak mereka tertinggal keseorangan dalam kereta bergegaslah  ke kereta tersebut dan melihat keadaan anak tersebut untuk memastikan keadaannya. Jika tidak ada apa yang berlaku keluarkan anak tersebut untuk bersama anda sekiranya anda masih ada urusan untuk diselesaikan atau lakukan apa yang sepatutnya seperti menghantarnya ke TASKA atau TADIKA sekira itu adalah tujuan anda membawa anak bersama.

Sekiranya anak  anda kelihatan pucat dan ada tanda-tanda  lemas terkunci di dalam kereta, ada beberapa perkara yang perlu  dilakukan seperti anda perlu membuat panggilan telefon kepada bomba  atau ambulan sambil memaklumkan keadaan anak anda kepada mereka, Sekiranya pintu terkunci langkah memecahkan tingkap perlu dilakukan dengan mengambil kira keselamatan anak tersebut.

Pecahkan tingkap kereta yang berada jauh daripada tempat duduk anak anda dan buka pintu, keluarkan anak dan  bawa mereka ke tempat teduh serta mempunyai pengudaraaan yang baik, berikan minum dan segera membawanya ke hospital jika mereka mengalami simptom strok panas. Ibu bapa yang mungkin berada dalam keadaan panik boleh meminta bantuan orang sekeliling untuk membantu mengeluarkan anak tersebut.

Ibu bapa yang terlibat dalam kecuaian menjaga anak-anak mereka sehingga menyebabkan kemalangan atau kehilangan nyawa tetap tidak terlepas daripada dikenakan tindakan undang-undang di bawah Seksyen 31 Akta Kanak-kanak 2001. Selain daripada tindakan undang-undang yang dikenakan mereka juga perlu diberi khidmat kaunseling sebagai langkah intervensi dan mengurangkan rasa kesedihan akibat daripada kehilangan anak.

Agak menyedihkan selain daripada hukuman mereka juga mendapat kecaman daripada masyarakat sekeliling dan netizen yang meletakkan kesalahan dan kecuaian tersebut kepada ibu bapa. Kekesalan menjadi satu pengajaran untuk mengelak daripada peristiwa ini berlaku lagi. Namun sejauh manakah kekesalan ini memberi kesedaran kepada ibu bapa lain di masa akan datang? 

Oleh Dr. Azizah Zain

(Penulis merupakan Pensyarah Kanan dan Ketua Jabatan Pendidikan Awal Kanak-kanak, Fakulti Pembangunan Manusia, Universiti Pendidikan Sultan Idris – UPSI

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts