AHMAD MASLAN DILEPAS DAN DIBEBASKAN ATAS KEDUA-DUA PERTUDUHAN

110
SHARES
356
VIEWS

KENYATAAN MEDIA

Hari ini telah ditetapkan untuk satu pengurusan kes melibatkan pertuduhan-pertuduhan terhadap Datuk Seri Ahmad Bin Maslan. Sebutan kes tersebut telah dibuat di hadapan Yang Arif Dato’ Ahmad Shahrir Bin Mohd Salleh di Mahkamah
Tinggi 5, Mahkamah Kuala Lumpur. Pada hari ini, Datuk Seri Ahmad Bin Maslan telah DILEPASKAN DAN DIBEBASKAN daripada kedua-dua pertuduhan yang telah dipertuduhkan ke atas beliau. Perintah pelepasan dan pembebasan ini adalah suatu perintah yang perlu dihormati oleh semua pihak kerana ianya adalah suatu perintah mahkamah yang dikeluarkan hari ini oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Untuk makluman, perintah Mahkamah yang telah melepaskan dan membebaskan Datuk Seri Ahmad Maslan daripada pertuduhan-pertuduhan tersebut telah diberikan selepas pendakwaan memaklumkan kepada Mahkamah berkenaan dengan satu proses penyelesaian melalui pembayaran kompaun yang telah diselesaikan oleh beliau bagi tujuan penyelesaian kes ini dan Pendakwaan juga telah menyatakan bahawa pihaknya tidak akan meneruskan pertuduhan tersebut ke atas anak guam kami.

Untuk makluman semua, proses penyelesaian ini bukan satu proses baru. Malah, proses penyelesaian ini telah mengambil masa hampir setahun lebih sebelum ia diterima dan direkodkan di Mahkamah pada hari ini. Beberapa siri representasi juga telah dimasukkan ke Jabatan Peguam Negara sepertimana pengetahuan umum yang dilaporkan di dalam media. Proses penyelesaian ini telah melalui beberapa siri permohonan, perbincangan, timbang tara antara pihak-pihak yang berkenaan dan hanya direkodkan di Mahkamah selepas dimuktamadkan oleh pihak-pihak.

Proses penyelesaian ini juga telah dimuktamadkan selepas pihak-pihak bersedia untuk memberikan komitmen
masing- masing terhadap terma penyelesaian yang dipersetujui. Garis masa ringkas kes ini adalah seperti berikut. Pada 20.01.2020, Datuk Seri Ahmad Maslan telah dituduh di Mahkamah Sesyen Di Kuala Lumpur dengan dua pertuduhan di bawah Seksyen 4(1) dan Seksyen 32(8)(C) AMLTFA 2001. Anak guam sehingga kini mengekalkan pengakuan tidak bersalah atas pertuduhan- pertuduhan tersebut. Seawal 4 Februari 2021 (sebelum kes dipindahkan ke Mahkamah Tinggi) Pasukan Pembelaan telahpun menulis suatu surat kepada Suruhanjaya Pilihan Raya bagi mendapatkan penjelasan berkenaan status Ahli Parlimen dan kelayakan bertanding pilihan raya anak guam selaras dengan Artikel 48A(1)(e) Perlembagaan Persekutuan bagi isu pembayaran kompaun yang di kenakan ke atasnya.

Di peringkat ini jelas anak guam bukan sahaja bersedia untuk menghadapi perbicaraan ke atasnya dan membuktikan ketidakbersalahannya di Mahkamah, malah anak guam juga mencari jalan agar suatu jalan penyelesaian menang-menang boleh dicapai. Suruhanjaya Pilihan Raya menjawab surat tersebut pada 9 Februari 2021 dengan menyatakan bahawa mereka akan merujuk untuk pandangan daripada Jabatan Peguam Negara. Surat jawapan dari Suruhanjaya Pilihan Raya berkenaan inkuiri kami di atas dijawab pada 5 Mei 2021 dengan jawapan yang positif bahawa anak guam di dalam membuat pembayaran kompaun (bukan denda mahkamah) tidak akan menjejaskan kelayakannya sebagai Ahli Parlimen dan tidak akan hilang kelayakan untuk bertanding kerusi parlimen pada Pilihan Raya akan datang. Jawapan yang positif ini yang membawa kepada keputusan anak guam untuk menilai pembayaran kompaun sebagai jalan penyelesaian yang terbaik bagi kes terhadap beliau.

Bermula daripada itu, beliau telah dikehendaki untuk hadir ke Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur untuk beberapa sesi penyerahan dokumen dan pengurusan kes. Kemudian, pasukan pembelaan juga telah membuat permohonan untuk memindahkan kes ke Mahkamah Tinggi pada 28.06.2021 dan permohonan tersebut telah dibenarkan oleh Yang Arif Tuan Collin Lawrence Sequerah pada 13.07.2021 memandangkan kes-kes seumpamanya juga telah dipindahkan dan didengar oleh Hakim-Hakim Mahkamah Tinggi.

Semenjak daripada tarikh pertuduhan, pasukan pembelaan telah membuat pelbagai persiapan untuk tujuan perbicaraan. Persiapan yang dibuat oleh pasukan pembelaan bagi tujuan perbicaraan ini adalah termasuk membuat beberapa permohonan dan mendapatkan klarifikasi daripada agensi-agensi yang terlibat untuk memastikan hak Datuk Seri Ahmad Maslan untuk mendapatkan satu perbicaraan yang adil terbela. Datuk Seri Ahmad Maslan juga telah memberikan komitmen yang sepenuhnya kepada kes ini bermula daripada proses penyiasatan sehingga selesai kes ini pada hari ini.

Berkenaan dengan penyelesaian ini, Pembelaan perlu menegaskan beberapa perkara. Pertama, penyelesaian ini adalah bukan pengakuan bersalah Datuk Seri Ahmad
Maslan terhadap pertuduhan-pertuduhan yang dikenakan ke atas beliau. Kedua, proses penyelesaian ini telah dibuat menurut undang-undang dan telah melalui proses yang telus dan teratur. Proses penyelesaian ini adalah semata-mata bagi tujuan kes ini dan tiada sebarang kaitan dengan apa-apa faktor politik atau luaran dan tidak melibatkan mana-mana orang atau agensi lain selain agensi siasatan dan agensi pendakwaan yang terlibat. Ketiga, penyelesaian ini adalah satu penyelesaian yang menang-menang (“win-win situation”) bagi semua pihak dan seiring dengan undang-undang. Datuk Seri Ahmad Maslan juga telah menyelesaikan komitmen beliau bagi tujuan penyelesaian ini iaitu melunaskan pembayaran kompaun sepertimana yang telah dipersetujui oleh Pendakwaan dan Pembelaan.

Untuk makluman, jumlah kompaun yang dibayar iaitu RM 1,100,000.00 adalah bantuan dan pinjaman daripada rakan-rakan yang telah menyokong Datuk Seri Ahmad Maslan sepanjang perjuangan beliau. Diharapkan dengan adanya pengenalan suatu Akta baru berkenaan Pendanaan Politik, garis panduan berkenaan apakah itu Dana Politik, bilakah ia menjadi Dana Politik dan sebagainya akan lebih memanfaatkan semua dan tiada lagi pendakwaan atau apa-apa tindakan dikenakan berkenaan penerimaannya di mahkamah pada masa hadapan.

Keputusan banyak kes oleh Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan yang melepaskan wang yang telah disita di dalam kes-kes sitaan yang mana bersumber dari dana politik yang sama adalah adil. Datuk Seri Ahmad Maslan berharap agar suatu masa nanti, kes yang dikompaun juga akan dibebaskan.

Kesimpulannya, pasukan pembelaan, bagi pihak Datuk Seri Ahmad Maslan, merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak pendakwaan dan agensi siasatan atas kerjasama dalam memuktamadkan penyelesaian ini.

Sekian terima kasih.

TETUAN SHAHRUL HAMIDI & HAZIQ

29 September 2021

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts