RMK-12: KE ARAH PENDIDIKAN TINGGI YANG BERKUALITI

683
SHARES
2.2k
VIEWS

Penularan pandemik COVID-19 yang melanda hampir dua tahun ini telah memberi impak kepada krisis kesihatan, pendidikan dan ekonomi global amnya. Melalui Rancangan Malaysia Kedua Belas, 2021-2025 (RMK-12), pelan jangka sederhana dengan objektif “Malaysia Makmur, Inklusif, Mampan“, merupakan permulaan kepada fasa baharu dalam hala tuju pembangunan negara – Wawasan Kemakmuran Bersama 2030. 

RMK-12 memperkenalkan pendekatan baharu yang membawa perubahan berdasarkan tiga tema, empat pemangkin dasar dan 14 pemacu perubahan bagi menyediakan asas yang kukuh demi masa hadapan negara. Sembilan fokus utama RMK-12 telah digariskan dan antara fokus utamanya ialah memperkukuh pemangkin pertumbuhan melalui pembangunan bakat. Ia menjadi elemen penting dalam usaha menjadikan Malaysia sebagai negara berpendapatan tinggi. Maka, sistem pendidikan perlu mengeluarkan modal insan berkualiti dan berkemahiran tinggi bagi memenuhi kehendak industri. 

Dalam konteks pendidikan tinggi, hala tuju RMK-12 telah menggariskan penumpuan kepada pembangunan bakat masa hadapan iaitu pelajar melalui peningkatan kualiti pendidikan. Pendidikan yang berkualiti adalah penting bagi memastikan pelajar yang dihasilkan memenuhi standard yang diperlukan terutamanya oleh industri. 

Antara inisiatif yang telah dilaksanakan dalam memperkukuh kolaborasi antara industri dan akademia ialah program dua tahun di universiti dan dua tahun dalam industri (2u2i) dan tiga tahun di universiti dan satu tahun dalam industri (3u1i). Dilaporkan sebanyak 17 universiti awam telah menawarkan program 2u2i atau 3u1i dalam memberikan pendedahan pengalaman kerja yang lebih luas kepada para pelajar. 

Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob berkata sistem yang lebih fleksibel akan diwujudkan dalam meningkatkan kerjasama dengan industri bagi menambah baik kualiti graduan dan memenuhi keperluan industri. Langkah ini termasuk mempelbagaikan laluan pendidikan dan latihan, penawaran program ‘transdisciplinary‘ dan menyusun semula program sedia ada untuk menerapkan pendekatan yang lebih inovatif. Langkah ini akan membolehkan institut pengajian tinggi (IPT) menawarkan lebih banyak kurikulum yang fleksibel dan dinamik serta boleh dikemas kini dan disesuaikan mengikut permintaan industri. 

Seterusnya, IPT digalakkan untuk terus mempertingkat pendidikan keusahawanan untuk membudayakan nilai keusahawanan dalam kalangan pelajar. Inisiatif ini akan mentransformasi landskap keusahawanan di IPT daripada yang berasaskan keperluan kepada yang berasaskan peluang dan melahirkan usahawan dalam kalangan pelajar yang mampu bersaing dalam pasaran global. 

Selain itu, dasar latihan industri akan dikaji semula untuk dimantapkan bagi memastikan pelajar mendapat pendedahan industri yang sewajarnya. Dalam pada itu, pelajar juga akan digalakkan untuk mengikuti program kelayakan dan pensijilan profesional sebagai persiapan untuk mendapatkan peluang pekerjaan yang lebih baik termasuk bekerja sendiri. 

Sementara itu, IPT juga digalakkan untuk memperkukuh kerjasama dengan pemain industri dalam aktiviti penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan dan inovasi. Usaha ini akan mendorong kepada pembiayaan dan pelaburan yang lebih baik daripada industri dan seterusnya menyumbang kepada kadar pengkomersialan dan inovasi yang lebih tinggi. Peruntukan dana melalui geran penyelidikan perlu disediakan untuk mempertingkat serta membangunkan aktiviti pengajaran dan pembelajaran berdasarkan penyelidikan, termasuk pembangunan sistem pengurusan penyelidikan bagi menyokong aktiviti penyelidikan di IPT.

RMK-12 juga memperkenalkan pelan pendidikan digital di peringkat pengajian tinggi dalam memastikan akses yang lebih luas kepada pendidikan yang berkualiti. Dalam tempoh RMK-12, inisiatif untuk memanfaatkan teknologi baru muncul dalam pendidikan akan memperkukuh ekosistem pembelajaran digital. Inisiatif ini akan menyumbang kepada pewujudan ekosistem pembelajaran yang berkesan dan institusi yang mampu mengeluarkan graduan tersedia masa hadapan.

Dalam pada itu, penutupan IPT yang disebabkan oleh pandemik Covid-19 telah mengubah aktiviti pembelajaran dan pengajaran (PdP), iaitu daripada interaksi secara fizikal kepada pembelajaran secara dalam talian. Situasi ini memerlukan IPT untuk segera mengubah kaedah penyampaian PdP bagi memastikan pendidikan berkualiti. Hal ini boleh diperkukuhkan melalui pendekatan pembelajaran jarak jauh bagi meneruskan PdP. Para pensyarah dan pelajar di IPT akan dilengkapi dengan kemahiran digital bagi meningkatkan lagi outcome pembelajaran dalam pengajian tinggi. 

Selain itu, semua aktiviti di kampus akan menjurus kepada usaha mewujudkan persekitaran kampus pintar seperti bilik kuliah dan makmal pintar, PdP interaktif menggunakan realiti terimbuh (AR) dan teknologi realiti maya (VR) serta pengurusan pelajar secara digital. Di samping itu, penggunaan ruang pembelajaran, termasuk makmal di IPT akan dikaji semula bagi menggalakkan perkongsian sumber dan pembangunan bersama merentas disiplin dan institusi dengan menggunakan platform digital. Langkah ini akan menambah baik pengalaman pendidikan, kecekapan operasi serta meningkatkan keupayaan IPT bagi memenuhi keperluan masa hadapan.

Dalam usaha untuk menambah baik outcome pembelajaran, peningkatan kualiti PdP perlu diambil perhatian. Keberkesanan PdP ini berkait rapat dengan keupayaan staf akademik dalam menyampaikan ilmu pengetahuan dan kemahiran kepada pelajar. Dalam hubungan ini, PdP sedia ada perlu diperkukuh dengan menerapkan pendekatan pembelajaran kendiri, berorientasikan rakan sebaya, secara maya dan berasaskan pengalaman. Staf akademik juga digalakkan untuk melanjutkan pengajian ke program pensijilan atau kelayakan profesional supaya kemahiran mereka terus relevan dengan standard dan teknologi terkini. Di samping itu, program mobiliti akademik merentas sektor boleh diperluas bagi meningkatkan pengetahuan staf akademik dan seterusnya menambah baik kompetensi mereka apabila berhadapan dengan teknologi baru.

Lanjutan daripada itu, pelbagai langkah perlu diambil dalam usaha untuk memperkukuh kaedah penilaian pelajar di IPT. Antaranya ialah dengan memperkenalkan penilaian alternatif bagi melahirkan graduan yang serba boleh dan seimbang. Penilaian baharu ini akan memberi penekanan kepada elemen kemahiran insaniah seperti kecerdasan emosi, keperibadian dan kemahiran menyelesaikan masalah di samping pencapaian akademik. 

Sementara itu, pelbagai langkah juga boleh diambil untuk menaik taraf infrastruktur bagi memastikan persekitaran yang kondusif di IPT. Langkah ini akan menyokong pembangunan bakat tersedia masa hadapan dan penyelidikan yang berkualiti serta memastikan potensi IPT dicapai sepenuhnya. Di samping itu, langkah ini akan menambah baik reputasi dan penjenamaan IPT, menarik lebih ramai pelajar dan seterusnya membolehkan IPT menjana pendapatan. 

Akhir sekali adalah melalui pengukuhan pembudayaan pembelajaran sepanjang hayat (PSH). Pembudayaan dan pelaksanaan program PSH akan terus diberi penekanan bagi membangunkan masyarakat peribelajar. Tumpuan akan diberikan kepada pembangunan dan peningkatan program PSH yang inovatif bagi memastikan lebih peluang tersedia kepada rakyat. Usaha juga akan dipergiat untuk menambah baik persepsi melalui penjenamaan PSH yang berkesan.

Tuntasnya, usaha-usaha yang digariskan ini akan membolehkan akses kepada pendidikan yang lebih luas, tadbir urus yang lebih cekap dan penyampaian pendidikan yang lebih berkualiti dalam menyediakan bakat untuk memenuhi permintaan industri pada masa hadapan.

Dr. Wan Mohd Nuzul Hakimi Wan Salleh

(Penulis merupakan Pensyarah Kanan di Jabatan Kimia, Fakulti Sains dan Matematik, Universiti Pendidikan Sultan Idris – UPSI)

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts