TERIMA KASIH KERAJAAN ATAS INISIATIF UNTUK MAHASISWA DALAM BAJET 2022 – MPPK

102
SHARES
328
VIEWS

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) ingin menzahirkan ucapan setinggi penghargaan dan tahniah kepada pihak kerajaan atas pembentangan Bajet 2022.

Bajet 2022 yang telah dibentangkan ini telah menepati aspirasi Keluarga Malaysia yang inklusif kepada semua lapisan rakyat sejajar dengan matlamat dan hasrat kerajaan untuk membantu rakyat dan negara bangkit semula selepas pandemik ini.

MPPK juga sangat menghargai usaha kerajaan yang sentiasa memandang tinggi mahasiswa dan terus memastikan nasib mahasiswa terus terbela. Ia dapat dilihat pada usaha kerajaan untuk memperkenalkan pelbagai inisiatif khas untuk mahasiswa dan juga graduan.

Antara inisiatif khas untuk mahasiswa ialah Inisiatif Peranti Siswa Keluarga Malaysia yang akan memanfaatkan lebih 600,000 pelajar B40. Inisiatif hasil kerjasama kerajaan dan syarikat telekomunikasi terpilih ini berjumlah RM450 juta.

Selain itu, diskaun bayaran balik PTPTN bermula 1 November 2021 hingga 30 April 2022 turut diberikan dengan dibahagikan kepada tiga kategori iaitu diskaun sebanyak 15 peratus untuk penyelesaian penuh pinjaman, diskaun 12 peratus untuk bayaran sekurang-kurangnya 50 peratus pinjaman dan diskaun 10 peratus untuk bayaran balik melalui potongan gaji atau debit terus mengikut jadual.

Seterusnya, inisiatif MySTEP juga diteruskan dengan penawaran lebih 80,000 penempatan pekerjaan, peruntukan sebanyak RM6.6 bilion untuk melaksanakan pelbagai inisiatif bagi memperkasa bidang TVET bagi memenuhi keperluan industri semasa dan inisiatif Jamin Kerja bagi menjamin penyediaan lebih 600,000 peluang pekerjaan.

MPPK juga amat menghargai tindakan kerajaan yang terus mendengar hasrat yang telah dibawa oleh MPPK. Melalui Bajet 2022, kerajaan akan meneruskan insentif sebanyak RM900 kepada pelajar yang akan menjalani latihan industri serta menggalakkan majikan untuk melakukan perkara sama melalui pemberian insentif.

Selain itu, kerajaan juga akan mengkreditkan RM150 kepada mahasiswa dan belia berusia 18-20 tahun melalui akaun e-dompet mereka bagi membolehkan mereka membeli barang keperluan menggunakan Skim Transaksi Tanpa Tunai.

MPPK mengucapkan setinggi penghargaan kepada pihak kerajaan dibawa pimpinan YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob kerana terus mendengar suara dan denyut nadi mahasiswa.

MPPK juga turut menzahirkan setinggi penghargaan kepada Kementerian Pengajian Tinggi di bawah pimpinan YB Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad kerana terus berusaha memastikan keperluan mahasiswa terus terjaga melalui Bajet 2022 ini.

MPPK percaya kerajaan telah melakukan usaha yang terbaik dalam memastikan mahasiswa juga mendapat manfaat daripada Bajet 2022 ini.

Sekian, terima kasih.

Memartabat Mahasiswa Malaysia

Muhammad Amir Asyraf Bin Mohd Sabri

Presiden

Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts