HARAPAN MAHASISWA TERHADAP BAJET 2022 – MPPK

354
SHARES
2.1k
VIEWS

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Bajet 2022 bakal dibentangkan pada 29 Oktober 2021. Matlamat bagi Bajet 2022 adalah untuk melindungi dan memulih kehidupan serta mata pencarian, membina semula daya ketahanan negara dan memangkin pembaharuan. Matlamat ini dilihat selari dengan keperluan negara kita pada hari ini yang dalam usaha untuk pemulihan setelah dua tahun dibadai pandemik COVID-19.

Maka selaras dengan matlamat kerajaan, Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan juga ingin memohon pertimbangan pihak kerajaan untuk turut terus membantu mahasiswa melalui Bajet 2022. MPPK berharap agar beberapa inisiatif yang baik dan inklusif dapat diberikan kepada mahasiswa melalui bajet ini.

MPPK dengan ini ingin memohon pertimbangan kerajaan untuk:

1. Memberikan bantuan ‘one-off‘ sekurang-kurangnya sebanyak RM300 kepada mahasiswa

MPPK melihat bantuan sebegini amat diperlukan oleh mahasiswa pada hari ini. Hal ini kerana mahasiswa kini sedang beransur-ansur pulang semula ke kampus dan ada juga yang sudah mulakan sesi pembelajaran secara fizikal dan mereka sudah tentu sangat memerlukan bantuan ‘one-off‘ ini bagi meringankan bebanan mereka untuk memulakan semester baharu. Bantuan ini juga pada masa yang sama akan selari dengan hasrat kerajaan untuk memulih ekonomi dan kehidupan rakyat pasca pandemik COVID-19 yang kini memasuki fasa endemik.

2. Merealisasikan Penetapan Elaun Latihan Industri

MPPK juga berharap agar kerajaan dapat merealisasikan penetapan elaun latihan industri. Dalam usaha kerajaan untuk membina daya ketahanan negara, adalah amat penting untuk daya ketahanan mahasiswa juga dapat dibina.

Penetapan elaun latihan industri ini dapat memastikan mahasiswa dapat memperkasakan lagi kemahiran dan kebolehan mereka serta dibayar dengan bayaran yang setimpal untuk hasil kerja mereka semasa latihan industri dan memastikan tiada lagi penindasan terhadap mahasiswa yang sedang menjalani latihan industri.

3. Mewujudkan Semula Skim MyBrain

Skim MyBrain yang pernah diperkenalkan sebelum ini ternyata sangat menbantu para pelajar pasca siswazah dalam membiayai pengajian mereka. Namun sejak beberapa lama, skim ini telah dinyahaktifkan dan MPPK merasakan perlu untuk skim MyBrain ini diwujudkan semula kerana ramai mahasiswa pascasiswazah yang sangat memerlukan pembiayaan melalui skim ini. Mewujudkan semula MyBrain juga akan dapat menambah lagi jumlah tenaga kerja mahir dan profesional tempatan yang amat penting untuk melancarkan lagi kemajuan dan pembangunan negara.

4. Skim Rumah Graduan

Dalam memenuhi hasrat kerajaan untuk melihat lebih ramai rakyat Malaysia berumur 30 tahun ke bawah memiliki rumah sendiri, MPPK merasakan bahawa perlunya satu skim khas diperkenalkan bagi membolehkan graduan juga dipermudahkan urusan untuk memiliki rumah. Skim Rumah Graduan ini akan membolehkan lebih ramai graduan memiliki rumah pertama sendiri dan sekaligus akan meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat Malaysia.

MPPK berharap agar pihak kerajaan dapat pertimbangkan hasrat dan harapan yang telah dinyatakan oleh MPPK bagi Bajet 2022 ini.

MPPK juga percaya kerajaan akan terus komited dalam membela serta terus mendengar hasrat dan denyut nadi mahasiswa

Sekian, terima kasih.

“Memartabat Mahasiswa Malaysia”

Muhammad Amir Asyraf Bin Mohd Sabri

Presiden

Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts