Semenjak bermulanya zaman pandemik Covid-19 ini, jumlah kes bunuh diri semakin meningkat ke paras yang amat membimbangkan. Kebanyakan individu memilih untuk menamatkan riwayat hidup disebabkan mereka tidak mampu berhadapan dengan tekanan, masalah kewangan, kemurungan dan sebagainya. Mereka menganggap ini sahaja pilihan yang ada bagi melarikan diri daripada keperitan dan kesengsaraan hidup.
Sungguhpun begitu, perbuatan cuba membunuh diri merupakan satu kesalahan jenayah di negara ini. Sekiranya cubaan bunuh diri ini tidak berjaya, mereka akan dikenakan tindakan undang-undang di bawah Seksyen 309 Kanun Keseksaan yang menyatakan pesalah yang cuba membunuh diri ini boleh dihukum penjara setahun, atau didenda, ataupun dengan kedua-dua nya sekali.
Jika suatu perbuatan membunuh diri tersebut adalah lengkap, bidang kuasa undang-undang sedia ada tidak berupaya untuk bertindak terhadap individu yang mati akibat membunuh diri. Oleh itu, perbuatan ‘cuba’ membunuh diri sahaja yang ditakrifkan sebagai kesalahan jenayah di mana penggubalan Seksyen 309 ini adalah berasaskan undang-undang Inggeris.
Menurut Saint Thomas Aquinas, seorang ahli falsafah “Natural Theory of Law” (Undang-undang Semulajadi), beliau mengatakan bahawa individu yang memilih untuk mengambil nyawa mereka sendiri telah ‘mengenyahkan’ kuasa dan kehendak Tuhan. Oleh itu, perbuatan membunuh diri dianggap berdosa dan bertentangan dengan arahan Tuhan, iaitu dilarang untuk mengambil nyawa diri mereka sendiri.
Pengaplikasian teori naturalisme dalam seksyen ini tidak sesuai sekiranya tujuan penggubalan seksyen ini adalah semata-mata untuk memenuhi kehendak Tuhan kerana perintah Tuhan seharusnya terikat kepada para penganut agama tersebut dan ditekan kan melalui didikan dan ajaran agama sahaja. Undang-undang haruslah diwujudkan atau digubalkan selari dengan keperluan dan keadaan semasa sesebuah masyarakat tersebut dan bukannya terhadap pihak berkuasa sahaja. Fahaman ini diungkapkan oleh Eugene Ehrlich, seorang pakar perundangan yang berteraskan sosiologi yang memperkenalkan konsep ‘Living Law’ (Undang-undang Hidup) dalam sesebuah struktur masyarakat yang menekankan undang-undang haruslah tidak bersifat statik dan seharusnya digubal mengikut kesesuaian peredaran zaman.
Justeru, hukuman yang dikenakan terhadap mereka yang cuba membunuh diri ini haruslah dimansuhkan atau dipinda dengan segera oleh penggubal undang-undang di negara ini. Mengenakan hukuman ke atas tindakan cuba membunuh diri tidak akan mampu mengurangkan kadar kes membunuh diri atau memotivasikan serta meningkatkan kesedaran mereka untuk terus mengharungi cabaran hidup melainkan ia hanya menambahkan tekanan mereka untuk memilih jalan terakhir ini.
Langkah pencegahan yang berbentuk klinikal seperti memberikan sokongan dan preskripsi ubat-ubatan oleh pakar psikiatri merupakan langkah yang paling efektif dalam membantu golongan ini. Rawatan dan sokongan seumpama ini akan menjadi sinar harapan baru kepada mereka kerana ia mampu mengurangkan tekanan dan mengubah perspektif kehidupan mereka kelak. Dengan ini, mereka bukan sahaja akan dirawat oleh golongan profesional malah sekaligus kes cubaan membunuh diri di negara ini pasti dapat dikurangkan.
Oleh Stephanie Wong Su Ling
Prof. Madya Dr. Shahrul Mizan bin Ismail
Fakulti Undang-undang
Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)