APA FORMULA PAS MAHU PERKUKUHKAN PN DAN PERTAHAN MN?

379
SHARES
2.2k
VIEWS

Semuapun tahu mengenai laungan PAS mahu “memperkukuh Perikatan Nasional, mempertahan Muafakat Nasional” yang kerap dimainkan akhir-akhir ini. Dalam satu ayat ini sahaja sudah jelas tanpa berselindung bahawa PAS sudahpun memihak kepada Perikatan Nasional berbanding Muafakat Nasional kerana jika tidak tentu ayat PAS berubah kepada “memperkukuh Muafakat Nasional, mempertahan Perikatan Nasional”. Sedangkan jika PAS berhajat menjadi orang tengah atau pendamai antara UMNO dan Bersatu, sikap memihak ini sudahpun membuatkan mereka tidak layak lagi untuk meneruskannya. 

PAS wajib sedar, perjuangan menegakkan Islam ini tidak boleh dibuat mengikut acuan politik mereka yang ‘berkecenderungan’ dan bersikap memihak. Jika formula memperkasa atau ‘memperkukuhkan’ Perikatan Nasional mahu dibuat serentak dengan ‘mempertahan’ Muafakat Nasional, PAS wajar mengemukakan formula atau cadangan itu kepada kedua-dua pihak iaitu UMNO yang mewakili Barisan Nasional dan Bersatu yang mewakili Perikatan Nasional.

Sungguhpun begitu, formula yang dicadangkan tidak boleh berkecenderungan atau daripada awal lebih memihak kepada Bersatu namun wajib adil kepada kedua-duanya. Keadilan ini wajar dicapai untuk semua pihak bukan hanya demi untuk menyelamatkan Bersatu dan pemimpin-pemimpinnya sahaja.

Sepertimana rundingan damai yang kerap diadakan antara dua pihak yang bertelagah di seluruh dunia, hanya pihak ketiga yang tidak berkepentingan akan dilantik. Dalam konteks politik gabungan di Malaysia, PAS mempunyai kepentingan jawatan dalam Perikatan Nasional berbanding dalam Muafakat Nasional yang tiada apa-apa tawaran jawatan mampu diberikan. Jika diikutkan, mereka ini tidak layak.

Ini kerana pada dasarnya, dalam menggerakkan diplomasi, sikap berkepentingan ini sudah cukup membuatkan PAS tertolak menjadi pendamai. Bukan sahaja tidak sesuai malah dilihat sangat memihak kepada Bersatu dan Perikatan Nasional daripada awal berbanding Muafakat Nasional yang mempunyai jumlah umat Islam yang lebih besar. Jika ini berlaku, ia tidak akan memberi keadilan sebenar kepada UMNO dan Barisan Nasional.

Jika alasan “penyatuan ummah” pula mahu digunakan, sudah tentu maksud ‘ummah’ ini mewakili jumlah umat Islam yang jauh lebih besar, bukannya merujuk kepada gabungan ataupun parti yang lebih disukai. Jika dihimpunkan jumlah ahli-ahli PAS dan UMNO sahaja, ia dianggotai lebih daripada empat juta umat Islam. Jumlah ini jauh lebih besar daripada gabungan ahli-ahli dalam PAS dan Bersatu serta seluruh Perikatan Nasional yang hanya sekitar sejuta setengah sahaja.

Jelas, maksud penyatuan ummah ini lebih tepat antara PAS dan UMNO berbanding antara PAS dan Bersatu. Tentu lebih baik jika ketiga-tiganya dapat digabungkan namun seperti kata PAS sendiri, “PAS tidak boleh dipaksa oleh sesiapa”. Maka samalah juga PAS tidak boleh memaksa UMNO untuk menerima kerjasama dalam Perikatan Nasional bersama Bersatu yang dipenuhi oleh Ahli Parlimen katak dan khianat. Jika PAS sendiri tidak mahu ada mana-mana pihak memaksanya, maka begitulah juga parti lain.

Jika PAS tidak mahu ada pihak yang berlaku tidak adil kepadanya sama juga parti lain tidak mahu PAS berlaku tidak adil terhadap mereka. Atau jika PAS mahu parti lain memahaminya, PAS juga perlu memahami parti lain seperti UMNO yang akur dan taat keputusan menyuarat mereka bersama Majlis Tertinggi dan akar umbi mereka yang sepakat menolak Bersatu.

Jika PAS tidak mahu UMNO meletakkan sebarang syarat, sama juga seperti UMNO tidak mahu PAS meletakkan syarat jika mempertahan Muafakat Nasional mesti bersama Bersatu. Adakah menurut hopetesis PAS, jika UMNO tidak boleh menerima Bersatu maka lenyaplah Muafakat Nasional? Bukankah ini namanya ‘ugutan’? Bukannya semangat persaudaraan Islam apabila meletakkan syarat yang sukar buat saudara Islam lainnya. Malangnya bukan UMNO yang lakukan tetapi PAS sendiri yang berlaku zalim terhadap saudara seIslam.

PAS yang mengaku “parti memperjuang Islam” sepatutnya menunjukkan contoh dan teladan kepada semua umat Islam yang lain tidak kira apapun parti mereka. Malah bebanan ini lebih berat ke atas PAS kerana imej Islam dan perjuangan mereka. Jika hanya mahu memperguna Islam tetapi tidak mahu mengamalkan seluruh cara hidup yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW, adalah lebih baik PAS memfokuskan perjuangannya bagi membebaskan negara daripada politik sempit kepartian kepada politik kenegaraan. Setidak-tidaknya tidaklah ada ahli-ahli yang taksub menyokong apa sahaja dalil yang dibuat walaupun ia salah dan kadang kala bertentangan dengan agama Islam.

Rakyat Malaysia masih tidak lupa mengenai satu ‘amanat’ yang sejak sekian lama memecah-belahkan umat Islam di negara ini yang masih tiada permohonan maaf ataupun kekesalan diumumkan. Yang ada hanyalah ‘kehilangan’ amanat tersebut secara tiba-tiba daripada laman web JAKIM namun mujurnya ia disedari oleh netizen yang mempertikainya.

Sebagai rekod, sehingga kini misteri ini masih tidak terungkai, jawapan JAKIM pada 21 Jun 2021 untuk menyemaknya masih senyap sehingga kini. Jika benar ia perlu dihilangkan kerana mungkin JAKIM baru jumpa “dalil baharu” untuk ‘menghalalkan’ amanat tersebut, jabatan tersebut perlu membuat kenyataan media dan penerangan untuk memberi keadilan kepada penulis amanat tersebut. Jika semua berdiam diri, ini adalah sikap bacul dalam ‘menghilangkan’ amanat yang telah memecah-belahkan umat sejak dahulu.

Kesimpulannya, sebagai sebuah parti yang menggunakan Islam sebagai perjuangannya, PAS perlu menampilkan formula atau cadangannya kepada semua pihak yang terlibat untuk dinilai. Bukan asyik beretorik demi penyatuan ummah, demi mempertahan Muafakat Nasional, demi memperkukuh Perikatan Nasional dan pelbagai ‘demi’ lagi, tetapi tiada  formula penyelesaian yang adil diutarakan. 

Jangan sampai orang lain termasuk yang bukan Islam memandang lekeh kepada orang Islam – asbab salah pemimpin-pemimpin politik yang hanya bercakap dan berimejkan Islam, tetapi hakikatnya berbolak-balik dalam berkata-kata dan mengeluarkan dalil yang hanya menguntungkan partinya.

Wallahualam. 

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts