JOHOR KURANG KESEDARAN POLITIK ISLAM? HAJI HADI GAGAL FAHAMI REALITI PENOLAKAN RAKYAT

188
SHARES
606
VIEWS

Demi politik kepartian, sekali lagi Haji Hadi gagal mengawal keceluparan mulutnya sejak daripada dahulu lagi. Jika ‘amanat’ beliau sebelum ini menjadi punca pecah-belah umat Islam di negara ini sejak sekian lama, kini Haji Hadi menghina pula rakyat Johor dengan berkata kononnya “kurang kesedaran politik Islam di Johor adalah punca PAS tidak mampu menawan hati penduduk negeri itu“.

Haji Hadi dan PAS sekali lagi menggunakan naratif kononnya rakyat menolak mereka kerana tidak faham Islam, tidak suka Islam, tidak mahu negara Islam, tidak sukakan perpaduan ummah dan bermacam lagi. Sedangkan umat Islam di seluruh dunia faham bahawa usaha dakwah Nabi SAW dan para Sahabat R.Anhum tidak pernah sekalipun akan menghina atau menyindir mana-mana kaum yang menolak Islam. Usaha dakwah mengajak manusia kepada Allah akan diteruskan siang dan malam tanpa rasa jemu dan putus asa.

Hatta ketika Baginda ke Taif sekalipun, Rasulullah SAW yang dihina dan dibaling batu sehingga berdarah seluruh tubuhnya tidakpun berkata bahawa orang di Taif menolak Islam atau kurang kesedaran mengenai Islam, apatah lagi jika dinilai mengikut kata-kata Haji Hadi yang bernaratifkan “politik Islam”. 

Haji Hadi dan partinya sepatutnya menyeru dan mengajak manusia kepada Allah SWT dan bukannya kepada politik kepartian seperti PAS. Apapun hujah PAS dalam hal ini, PAS ini tidak lebih daripada sebuah parti, sama seperti UMNO, Bersatu, PKR dan hatta DAP sekalipun. Dalam konteks politik dan parti, PAS merupakan wadah politik yang dipenuhi oleh para ustaz dan profesional, namun PAS tidak mungkin sesekali akan menjadi agama itu sendiri. Justeru jika rakyat atau Bangsa Johor atau mana-mana negeri sekalipun menolak PAS, ini bukan bererti menolak Islam atau kurang kesedaran mengenai politik Islam seperti tuduhan Haji Hadi.

Sebagai seorang ‘ulama’, Haji Hadi bukan sahaja tidak boleh menuduh sembarangan, beliau juga sepatutnya pandai menjaga lidah dan tentu tahu mengenai pelbagai hadis ‘tarhib’ atau ancaman mengenai bahaya lidah ini apabila tersalah berkata-kata. Jangan kerana politik kepartian dan kecewa apabila rakyat Johor menolak PAS maka negeri itu disindir dan dihina sebagai kurang kesedaran mengenai politik Islam. Dalam Islam tidak wujud perkataan putus asa, kecewa ataupun berpaling daripada usaha dakwah sehingga kita melabelkan pihak lain sekaligus menyakiti hati mereka.

Jika putus asa atau kecewa ini bermakna Haji Hadi daripada awal sudah tersalah niat. Bukan mahu membawa manusia kepada Allah melalui wadah partinya tetapi semata-mata hanya mahu membawa rakyat kepada PAS sahaja. Maka ini bukanlah dakwah tapi sama sahaja dengan parti lain termasuk DAP yang mahu rakyat datang kepada partinya. 

Haji Hadi, dalam dakwah atau menyeru manusia kepada Allah ini tidak boleh mengalah. Dalam kisah Rasulullah SAW ke Taif, Nabi SAW diberi pilihan oleh Malaikat yang diutus oleh Allah Taala di satu tempat bernama Qarnul Manazil, bertemu Baginda untuk menawarkan agar penduduk di sana dimusnahkan. Namun Rasulullah SAW menolaknya dengan baik kerana faham dirinya diutus sebagai rahmat dan Baginda malah mendoakan jika seandainya saat itu orang di Taif tidak menerima Islam, semoga kelak di antara keturunan mereka akan lahir orang-orang yang menyembah dan beribadah kepada Allah SWT.

Jika Rasulullah SAW kecewa tentu pada hari ini kita tidak lagi melihat rakyat Taif dan negerinya berada di muka bumi ini kerana telah dihancurkan oleh Malaikat. Asbab doa Baginda SAW itu kini rakyat Taif yang kebanyakannya terdiri daripada Bani Tsaqif semuanya kini beragama Islam. Inilah dakwah, menyeru manusia kepada Allah dan bukannya meletakkan ‘makhluk’ di antara umat dan KhaliqNYA.

Sedikit nasihat buat Haji Hadi, bersabarlah dan berhati-hatilah dalam berkata-kata hatta ‘desperate‘ mahukan kemenangan PAS di PRN Johor. Gunakanlah pendekatan ‘targhib‘, berikan galakan, dorongan dan nyatakan kebaikan apabila memilih PAS. Jangan seperti sekarang di mana PAS terlalu banyak menggunakan pendekatan ‘tarhib‘ termasuk kerap menyindir, mencela dan menggunakan frasa mengumpamakan manusia dengan binatang tertentu, termasuk kononnya rakyat Johor kurang kesedaran politik Islam.

Hakikatnya rakyat atau Bangsa Johor sedar dan faham mana satu parti politik yang bertunjangkan “politik kepartian” seperti PAS dan mana satu parti politik yang bertunjangkan “politik Islam” yang tidak akan menyindir atau menghina rakyat yang tidak memilihnya.

Haji Hadi juga janganlah perasan, menolak PAS tidak bererti rakyat menolak politik Islam. Cuma menolak sebuah parti bernama PAS yang sebelum ini selalu mencari dalil bagi ‘menghalalkan’ apa jua tindakannya sehingga sampai ke tahap sanggup menyanggah titah Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong untuk mengelak Sidang Parlimen. Ini membuatkan rakyat termasuk akar umbi PAS sendiri membuka mata bahawa PAS tidak lebih daripada sebuah “parti tin kosong”. Berbunyi kuat apabila diketuk tetapi isinya kosong.

Muhasabahlah Haji Hadi, jangan mudah kecewa dan putus asa serta menyindir dan menghina apabila rakyat menolak parti anda PAS. Lihatlah diri anda sendiri, di manakah silapnya? Semoga anda beroleh ketenangan dan jawapan, seterusnya diberikan kefahaman agama oleh Allah Taala. 

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts